Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rundingan Thai-Kemboja belum dipastikan susulan pertikaian lokasi

Thai tolak permintaan Kemboja agar rundingan dua hala diadakan di ‘lokasi yang selamat dan berkecuali’
Dec 23, 2025 | 7:43 PM
Seorang lelaki memeriksa sebuah kediaman yang rosak akibat serangan udara Thailand di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey, Kemboja, susulan pertempuran di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand pada 18 Disember.
Seorang lelaki memeriksa sebuah kediaman yang rosak akibat serangan udara Thailand di bandar Poipet, wilayah Banteay Meanchey, Kemboja, susulan pertempuran di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand pada 18 Disember. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand pada 23 Disember menolak permintaan Kemboja untuk mengadakan rundingan dua hala di sebuah negara berkecuali, sekali gus menimbulkan ketidakpastian sama ada pertemuan bagi membincangkan penamatan pertempuran maut di sempadan kedua-dua negara itu akan berlangsung.

Konflik sempadan yang telah berlarutan sekian lama antara kedua-dua negara kembali meruncing pada Disember, dan turut membatalkan gencatan senjata sebelum ini.

Konflik terbaru ini telah mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa lebih 900,000 penduduk di kedua-dua sempadan berpindah, menurut pegawai.

Pada 22 Disember, dua negara jiran itu bersetuju untuk merundingkan syarat gencatan senjata pada minggu ini, namun Kemboja meminta Thailand supaya rundingan tersebut diadakan di lokasi berkecuali iaitu Kuala Lumpur.

Namun, kementerian pertahanan Thailand pada 23 Disember berkata mesyuarat jawatankuasa sempadan dua hala akan diteruskan di wilayah Chanthaburi, Thailand, mulai 24 Disember seperti yang dirancang.

“Kami jamin kawasan Chanthaburi selamat. Wilayah ini merupakan lokasi asal bagi mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) sebelum pertempuran bermula,” kata jurucakap kementerian pertahanan Thailand, Encik Surasant Kongsiri, kepada wartawan.

Encik Surasant berkata pegawai jawatankuasa sempadan akan mengadakan pertemuan dari 24 hingga 27 Disember, sambil menambah bahawa sama ada mesyuarat itu akan berlangsung atau tidak bergantung kepada keputusan Kemboja.

Seorang jurucakap kerajaan Kemboja memberitahu AFP bahawa beliau tiada maklumat terkini mengenai lokasi mesyuarat itu.

Konflik itu berpunca daripada pertikaian wilayah berkaitan sempadan sepanjang 800 kilometer yang ditetapkan pada era kolonial serta beberapa runtuhan kuil purba yang terletak di sempadan.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca pertempuran yang kembali meletus sejak 7 Disember, dan saling menuduh berhubung serangan terhadap orang awam.

Ini selepas pertempuran selama lima hari pada Julai lalu mengorbankan puluhan nyawa.

Amerika Syarikat, China dan Malaysia menjadi perantara untuk memeterai gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran pada Julai, namun gencatan senjata tersebut bertahan hanya seketika.

Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, pada 22 Disember mengumumkan rundingan dengan Kemboja selepas mengadakan mesyuarat krisis di Kuala Lumpur bersama rakan sejawatnya dari negara Asean, yang turut dianggotai Kemboja.

Namun, Menteri Pertahanan Kemboja, Encik Tea Seiha, dalam surat kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Encik Nattaphon Narkmhanit, meminta agar mesyuarat itu diadakan di Kuala Lumpur atas alasan keselamatan.

“Disebabkan pertempuran yang masih berterusan di sepanjang sempadan, mesyuarat ini sepatutnya diadakan di lokasi yang selamat dan berkecuali,” tulis Encik Tea dalam surat yang dilihat AFP pada 23 Disember.

Menteri Pertahanan Thailand memberitahu wartawan bahawa kali terakhir mesyuarat jawatankuasa sempadan ini diadakan di wilayah Koh Kong, Kemboja.

Oleh itu, kini giliran Thailand menjadi tuan rumah, sambil menambah bahawa pihak Kemboja tiada sebab untuk bimbang kerana Thailand mampu memisahkan hal ketenteraan dengan hal diplomatik.

Namun, Encik Nattaphon turut menegaskan bahawa pasukan Thailand akan terus bertempur selagi pasukan Kemboja tidak henti menyerang kerana pertempuran yang meliputi hampir keseluruhan sempadan setakat ini hanya reda di sebahagian dua wilayah.

Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, pasukan Thailand telah melancarkan serangan ke atas bandar sempadan Poipet dan mengebom sebahagian wilayah sempadan Preah Vihear pada 23 Disember.

Pada Oktober, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyokong satu perjanjian  gencatan senjata yang termeterai antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur.

Namun, Thailand menggantung perjanjian itu pada November.

Encik Trump sekali lagi pada 22 Disember menggelar konflik antara Kemboja dengan Thailand itu sebagai salah satu daripada lapan peperangan dunia yang beliau telah “selesaikan”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg