Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik Thai-Kemboja: Lebih 500,000 warga Kemboja terpaksa berpindah

Dec 21, 2025 | 2:28 PM
konflik sempadan Kemboja-Thailand, penduduk berpindah, dialog bagi tamatkan ketegangan
Penduduk Kemboja terpaksa berpindah susulan serangan udara di wilayah Siem Reap, Kemboja, pada 15 Disember. - Foto AFP

PHNOM PENH: Lebih setengah juta penduduk Kemboja telah terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran sempadan berdarah dengan negara jiran, Thailand, yang berlarutan selama dua minggu, menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja pada 21 Disember.

“Sehingga kini, lebih setengah juta penduduk Kemboja, termasuk wanita dan kanak-kanak, mengalami penderitaan kerana terpaksa meninggalkan kediaman dan sekolah mereka bagi melarikan diri daripada terkena serangan artileri, roket, serta pengeboman udara yang dilakukan pesawat jet F-16 Thailand,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan. 

Menurut kementerian tersebut, bilangan penduduk yang dipindahkan telah mencapai 518,611 orang.

Sementara itu, sekitar 400,000 penduduk Thailand terpaksa berpindah akibat konflik di sempadan yang kembali meletus, menurut kenyataan Bangkok.

Pertempuran yang tercetus semula antara kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu pada Disember, melibatkan penggunaan kereta kebal, dron dan artileri.

Pertempuran terbaru itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 22 nyawa di Thailand dan 19 nyawa di Kemboja, menurut para pegawai.

Konflik ini berpunca daripada pertikaian wilayah berkaitan sempadan sepanjang 800 kilometer yang ditetapkan semasa era kolonial, serta beberapa runtuhan kuil purba yang terletak di kawasan sempadan.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca pertempuran yang kembali meletus dan saling menuduh berhubung serangan terhadap orang awam.

Ini berlaku selepas pertempuran selama lima hari pada Julai lalu mengorbankan puluhan nyawa.

China, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Malaysia, sebagai pengerusi serantau Asean, kesemuanya menggesa supaya kedua-dua negara ini melaksanakan gencatan senjata.

Menteri-menteri luar Asean, termasuk Kemboja dan Thailand, bakal mengadakan pertemuan pada 22 Disember di Kuala Lumpur bagi membincangkan konflik tersebut. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg