Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PANDANGAN

Kemelut berterusan libat Agong, Umno dan PN

Aug 04, 2021 | 05:30 AM



UMNO, sebagai parti Melayu terbesar paling terkesan apabila berlakunya pertembungan terbuka melibatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai pembatalan Ordinan Darurat 2021.



Parti yang mempunyai lebih tiga juta anggota, majoritinya orang Melayu dan beragama Islam menjadi pilihan kaum tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 memberi 54 kerusi Parlimen di kawasan yang pengundinya majoriti orang Melayu dan Islam.



Di manakah kerugian Umno itu?



Pertama, Umno sudah dilihat tidak lagi mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.



Kedua, keputusan tertinggi parti sudah tidak lagi dihormati pemimpin parti dan akhir sekali Umno sudah kehilangan kewibawaan di kaca mata rakyat jelata.



Menurut Fasal 3.2 Perlembagaan Umno, parti Melayu tersebut mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.



Sejak penubuhan parti Melayu itu pada 11 Mei 1946, Umno akan ke depan apabila timbul isu-isu melibatkan institusi raja Melayu walaupun pada satu ketika semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi presidennya berlaku krisis Perlembagaan Persekutuan melibatkan kuasa raja-raja Melayu.



Pada semasa itu, Dr Mahathir yang mendapat sokongan penuh anggota Umno dan rakyat jelata melakukan pindaan Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 dalam Perlembagaan Malaysia menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu daripada boleh diambil tindakan undang-undang jika melanggar undang-undang negara.



Berikutan pindaan tersebut buat pertama kalinya sebuah Mahkamah Khas ditubuhkan untuk membicarakan raja-raja Melayu.



Jadi apa yang berlaku pada Khamis lepas apabila Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempersoalkan keputusan kerajaan PN yang turut dianggotai oleh Umno mengenai pembatalan Ordinan Darurat, menteri, timbalan menteri dan Anggota Parlimen (AP) menyebelahi kerajaan.



YDPA dalam kenyataan media melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, bertitah pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan baginda dan YDPA menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Parlimen ordinan tersebut sudah dibatalkan berkuat kuasa pada 21 Julai 2021).



Sebaliknya, kerajaan PN melalui kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) mempertahankan keputusan kabinet mengenai pembatalan ordinan adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.



Tambah PMO, YDPA sedia maklum bahawa baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat kabinet seperti terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.



Naib Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai kumpulan Umno dalam kerajaan PN, berselindung di sebaliknya menjunjung titah YDPA untuk terus menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Tan Sri Muyiddin yang telah melakukan penderhakaan apabila ingkar dengan titah YDPA supaya ordinan tersebut dibentang, dibahas dan dirungkai di Parlimen.



Secara terangan kumpulan Datuk Ismail Sabri bukan saja tidak taat kepada titah YDPA malah melanggar Fasal 3.2 perlembagaan parti yang menyatakan anggota parti wajib mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.



Keduanya, menurut Fasal 9 perlembagaan Umno, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal parti bawah kekuasaan dan kerajaan Perhimpunan Agung dan MKT berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung.



Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 pada 28 Mac lalu memutuskan parti itu tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menolak pembentukan gabungan politik bersama PN pada PRU15.



Susulan kegagalan Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN dalam mentadbir negara seperti yang didakwa Umno, MKT dalam mesyuarat pada 7 Julai lepas menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri (PM) dan setiap AP Umno wajib mematuhi keputusan parti itu.



Bagaimanapun, beberapa jam selepas penjelasan pihak Istana Negara, kumpulan Datuk Ismail Sabri yang didakwa disertai 40 AP Umno dan Barisan Nasional (BN) melalui kenyataan media BN menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.



Sekali lagi, pada malam Ahad lalu di sebuah premis milik kerajaan, lebih 30 AP Umno dan BN berkumpul menandatangani Akaun Bersumpah menyatakan sokongan ke atas PM.



Sikap AP Umno tersebut yang langsung tidak mengendahkan nasihat dan amaran Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan supaya mematuhi arahan MKT itu, adalah satu perbuatan bukan saja biadap malah tidak menghormati keputusan badan tertinggi parti tersebut.



Di manakah kesetiaan kumpulan Datuk Ismail Sabri? Mereka tidak segan silu mengutamakan kedudukan dan laba yang mereka manfaatkan daripada mengorban semua ini demi kesetiaan kepada parti.



Ada yang melihat tindakan kumpulan Datuk Ismail Sabri ini seolah-oleh mereka melekehkan kepimpinan dan tidak menghormati keputusan parti yang mengikat anggota tidak kira kedudukan mereka dalam kerajaan.



Sepatutnya, apabila parti sudah membuat pendirian, kumpulan tersebut perlu mengutamakan keputusan parti itu berbanding jawatan yang mereka pegang dalam kerajaan, tetapi senario semasa sebaliknya.



Timbul persoalan, adakah Umno sanggup mengambil tindakan terhadap kumpulan itu kerana mengingkari arahan parti?



Di bawah Fasal 20.9 perlembagaan parti, mana-mana anggota yang melanggar peruntukan perlembagaan parti atau tataetika, anggota Umno boleh dikenakan mana-mana hukuman seperti diberi amaran; digantung hak-haknya dalam parti dan dikenakan tindakan pecat.



Setakat ini belum ada 'bunyi' MKT akan mengambil tindakan ke atas mereka. Malah kumpulan tersebut semakin berani menyuarakan pendirian mereka secara terbuka.



Presiden Umno sendiri dilihat gagal 'checkmate' tindak tanduk kumpulan itu yang langsung tidak menghormati institusi presiden parti itu.



Akhir sekali, sekiranya Umno masih gagal membersihkan parti daripada 'anasir-anasir' yang membelakangkan keputusan parti, Umno akan kehilangan sokongan orang Melayu yang menjadi penyokong setia parti itu sejak penubuhannya 75 tahun lepas.



Sebenarnya, orang Melayu kini agak keliru dengan hala tuju parti itu yang menjadi pembangkang dan pada masa sama menganggotai kerajaan.



Mereka tertanya-tanya kenapa presiden dan AP yang tidak menganggotai kabinet menghentam kerajaan PN sedangkan PN turut dianggotai anggota parti Umno.



Apa-apa yang dikritik berbalik kepada parti tersebut sekali gus keadaan menjadi bercelaru dalam kalangan anggota akar umbi.



Sehubungan itu, kempimpinan Umno perlu mengambil langkah penjajaran politik baru dengan memutuskan terus dengan kerajaan PN kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan sehingga dilabelkan sebagai 'kerajaann derhaka', Umno turut terpalit.



Apabila pemimpin Umno dalam kerajaan ingkar titah YDPA, tindakan mereka itu mewakili Umno.



Sepatutnya, pemimpin Umno turut bersama pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka pada pagi Isnin menyatakan pendirian membantah keputusan kerajaan menutup Parlimen untuk menyambung mesyuarat atas alasan pandemik Covid-19.



Berikutan itu, Umno hilang peluang untuk menunjukkan mereka bersama YDPA dan rakyat dalam isu yang hangat diperkatakan ramai.



Sekiranya Umno mahu orang Melayu menyokong parti itu pada PRU15 nanti, parti itu perlu bertindak berani memulihkan kewibawaan parti itu kerana isu yang dihadapi kini melibatkan YDPA dan institusi raja yang dekat di hati orang Melayu.



Apabila raja murka, ada sesuatu yang tidak kena, Umno perlu ke depan mengadap memohon kemaafan daripada baginda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >