Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan anak imigran Muslim, Zohran Mamdani bawa harapan baru politik AS

Nov 5, 2025 | 5:03 PM
Calon Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani (kanan), meraikan kemenangan bersama isterinya, Rama Duwaji (kiri), semasa acara malam pilihan raya di Teater Brooklyn Paramount, New York, pada 4 November 2025.
Calon Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani (kanan), meraikan kemenangan bersama isterinya, Rama Duwaji (kiri), semasa acara malam pilihan raya di Teater Brooklyn Paramount, New York, pada 4 November 2025. - Foto AFP

NEW YORK: Encik Zohran Mamdani mencatat sejarah sebagai individu Muslim pertama yang memegang jawatan Datuk Bandar New York City. Dalam satu kejutan politik, Encik Mamdani menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa, membuktikan kekuatan gerakan akar umbi dan sokongan generasi muda terhadap agenda progresif.

Ahli politik berusia 34 tahun itu dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India dan menetap di Amerika sejak berusia tujuh tahun, sebelum menjadi warganegara pada 2018.

Kemenangan Encik Mamdani sebagai Datuk Bandar New York menandakan kemuncak kebangkitan luar biasa oleh ahli politik berhaluan kiri yang sebelum ini kurang dikenali.

Beliau muncul daripada dunia politik tempatan tanpa nama besar namun berjaya memimpin kempen berprofil tinggi untuk merebut jawatan tertinggi di bandar mega Amerika Syarikat.

Sejak memenangi pemilihan calon Parti Demokrat Jun lalu, warga New York sudah terbiasa melihat wajahnya di kaca televisyen dan beliau adalah orang Islam pertama menjawat jawatan itu.

Dengan pentadbiran baru yang akan bermula awal tahun 2026, tumpuan kini terarah kepada bagaimana Encik Mamdani akan mengubah New York menjadi sebuah bandar contoh yang inklusif serta berpusat pada kepentingan rakyat dari dasar yang digubal hinggalah kepada gaya kepimpinannya.

Kemenangannya mencerminkan keterbukaan baru terhadap kepelbagaian identiti dalam politik arus perdana Amerika Syarikat.

Beliau adalah anak kepada pengarah filem terkenal Mira Nair (”Monsoon Wedding,” “Mississippi Masala”) dan Mahmood Mamdani, seorang profesor serta pakar Afrika yang dihormati, menjadikan sesetengah pengkritiknya melabel beliau sebagai “nepo baby” atau anak yang berjaya kerana pengaruh keluarga.

Dalam satu hantaran di Instagram, Mira memuat naik semula kiriman pengarah filem India, Zoya Akhtar, selepas anaknya diumumkan sebagai Datuk Bandar baru New York. Menariknya, kapsyen itu berbunyi “Zohran you beauty“ (“Zohran, kamu mengagumkan!”) dengan emoji menarik terkandung dalam pautan berkenaan.

Seperti remaja daripada keluarga liberal elit, beliau mendapat pendidikan di Bronx High School of Science yang berprestij sebelum melanjutkan pelajaran ke Bowdoin College di Maine, sebuah universiti yang dianggap kubu pemikiran progresif.

Beliau dipilih sebagai wakil rakyat dari Queens pada 2018, kawasan yang terkenal sebagai komuniti pelbagai etnik dan penduduk berpendapatan rendah, mewakili daerah itu dalam Perhimpunan Negeri New York.

Antara perjuangan beliau adalah untuk menjadikan New York lebih mampu didiami bagi golongan bukan berada iaitu majoriti daripada kira-kira 8.5 juta penduduknya, sebagai teras kempen pilihan raya.

Janji lain termasuk kawalan sewa lebih ketat, penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan bas percuma, serta pasar raya komuniti yang diuruskan bandar. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg