Takaichi dijangka raih mandat kukuh dalam pilihan raya 8 Februari
Takaichi dijangka raih mandat kukuh dalam pilihan raya 8 Februari
TOKYO: Jepun akan mengadakan pilihan raya mengejut pada Ahad, 8 Februari ini, dengan tinjauan pendapat menunjukkan kemenangan besar buat gabungan konservatif pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi, selepas permulaan yang digambarkan sebagai “bulan madu” bagi perdana menteri wanita pertama negara itu.
Namun, selepas tiga bulan memegang jawatan yang menyaksikan beliau menyebabkan ketegangan dengan China dan menggoncang pasaran kewangan, persoalan kini tertumpu kepada apa makna mandat yang lebih kukuh buat rantau ini dan ekonomi kedua terbesar Asia.
Cik Takaichi, 64 tahun, seorang konservatif tegar yang pada usia muda pernah menjadi pemain dram ‘heavy metal’ dan mengagumi Margaret Thatcher, dilantik sebagai perdana menteri pada Oktober lalu. Pelantikannya menjadikan beliau perdana menteri kelima Jepun dalam tempoh lima tahun, selepas rentetan keputusan pilihan raya yang menjejaskan Parti Liberal Demokratik (LDP) sehingga kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen.
Di kalangan rakyat biasa, khususnya pengundi muda, Cik Takaichi bermula dengan cemerlang. Gaya komunikasinya yang ringkas dan penampilan yang segar menjadikan beliau ikon fesyen serta bintang media sosial.
“Bukan semata-mata kerana beliau seorang wanita… tetapi kerana beliau memperjuangkan idea sebuah masyarakat yang memberi harapan untuk masa depan,” kata pelajar sekolah menengah, Makoto Hara, 17 tahun, kepada AFP.
Nada tegasnya mengenai imigresen pula, setakat ini, dilihat mengekang kebangkitan parti populis ‘Japanese first’ Sanseito yang menekankan agenda keutamaan warga Jepun. Profesor politik Jepun di Institut Siswazah Nasional bagi Kajian Dasar, Encik Mikitaka Masuyama, berkata kelebihan Cik Takaichi terletak pada kejelasan bahasa.
“Perkataan yang digunakannya mudah difahami,” katanya. “Pendahulunya, Shigeru Ishiba, mempunyai banyak pemikiran mendalam, tetapi bertutur seperti seorang akademik.”
Walaupun sokongan kabinetnya menurun sedikit kebelakangan ini, kadar tahap penerimaan sekitar 70 peratus kekal jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran terdahulu.
Tinjauan menjelang pilihan raya Dewan Rendah pada 8 Februari - dengan mengambil kira bahawa sebahagian pengundi masih belum membuat keputusan – menunjukkan LDP berkemungkinan memenangi lebih daripada 233 kerusi yang diperlukan untuk kembali membentuk majoriti.
Gabungan pemerintah LDP bersama rakan gabungan Parti Inovasi Jepun (JIP) malah berpotensi melepasi 300 kerusi daripada 465 kerusi dipertandingkan, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.
Sebaliknya, gabungan pembangkang utama Gabungan Reformasi Sentris yang menyatukan Parti Demokratik Perlembagaan (CDP) dan rakan lama LDP, Komeito – dijangka kehilangan separuh daripada 167 kerusi sedia ada.
Namun, hala tuju hubungan Jepun–China kekal menjadi tanda tanya. Sebelum menjadi perdana menteri, Cik Takaichi kerap mengunjungi Kuil Yasukuni, lokasi sensitif yang sering mencetuskan ketegangan serantau. Kurang dua minggu selepas dilantik, beliau menyatakan Jepun akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya China menggunakan kekerasan untuk menawan Taiwan yang memerintah sendiri.
China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya, bertindak balas keras selepas kenyataan itu – apatah lagi ia dibuat sejurus Cik Takaichi menyambut lawatan Presiden Amerika Donald Trump. Beijing memanggil duta Jepun, memberi amaran kepada rakyatnya agar berhati-hati melancong ke Jepun, serta mengadakan latihan udara bersama Russia di sekitar kepulauan Jepun. Malah, dua ekor panda terakhir Jepun – simbol diplomasi China – dipulangkan.
Namun, Profesor keselamatan antarabangsa di Universiti Tokyo, Dr Yee Kuang Heng, berpendapat ketegangan mungkin mereda jika Cik Takaichi memperoleh mandat kukuh. “Beijing menghormati kekuatan. Ia mungkin mengambil kira bahawa Takaichi mempunyai daya tahan politik lebih lama daripada jangkaan dan tidak tunduk kepada tekanan, lalu terpaksa berurusan dengannya,” katanya.
Di bidang ekonomi, dasar Takaichi termasuk pakej rangsangan AS$135 bilion (S$171 bilion) menimbulkan kebimbangan pelabur, apabila hasil bon meningkat dan nilai yen menjadi tidak menentu. Jepun kini mencatat nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi dalam kalangan ekonomi utama, dijangka melebihi 230 peratus tahun fiskal ini.
Pada Januari, hasil bon jangka panjang melonjak ke paras tertinggi rekod selepas Cik Takaichi berjanji mengecualikan makanan daripada cukai penggunaan lapan peratus bagi meringankan beban inflasi isi rumah. Beliau juga mencetuskan kegusaran dengan menekankan manfaat yen lemah, walaupun menteri kewangan berulang kali menyatakan Tokyo bersedia menyokong mata wang itu.
Namun, penganalisisEncik Abhijit Surya dari Capital Economics menilai kebimbangan tersebut sebagai tidak berasas. “Jika kerajaan cuba melonggarkan disiplin fiskal secara keterlaluan, pasaran bon akan segera mengekangnya,” katanya, sambil menegaskan beliau tidak melihat Takaichi sebagai “boros fiskal”.
Jika unjuran kemenangan menjadi kenyataan, Cik Takaichi akan memasuki fasa baru kepimpinannya dengan mandat politik yang kuat. Penyokong melihat ini sebagai peluang untuk kestabilan selepas tempoh pergolakan, manakala pengkritik menunutut pendekatan yang lebih berimbang agar ketegasan luar negara dan eksperimen ekonomi tidak menjejaskan keyakinan serantau dan pasaran. - Agensi berita

