Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan pilihan raya dijangka perkuat Albanese berurusan dengan Amerika

May 5, 2025 | 12:49 PM
Anthony Albanese, Australia, pilihan raya
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese (tengah), gembira merai kemenangan besar Parti Buruh yang dipimpinnya dalam pilihan raya pada 3 Mei. - Foto REUTERS

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkemungkinan akan bekerjasama lebih rapat dengan Britain dan Canada, serta sekutu demokratik lain, selepas kemenangan pilihan raya umum (PRU) yang memberangsangkan.

Ini sekali gus akan mengukuhkan “tangan” Encik Albanese dalam berurusan dengan Amerika Syarikat, kata penganalisis.

Parti Buruh pimpinan Encik Albanese menyuarakan tindak balas pengundi terhadap dasar presiden Amerika, Encik Donald Trump, kepada kemenangan yang menyaksikan majoriti lebih besar di Parlimen, menyusuli kemenangan pemilihan semula seminggu lalu oleh parti pemerintah Canada.

Selepas Kabinetnya mengangkat sumpah, Encik Albanese dijangka melawat Washington untuk perbincangan mengenai tarif Amerika dan soal pertahanan.

Ia turut termasuk langkah bekerjasama dengan negara Asia dan Eropah untuk meluaskan pasaran eksport dan pertahanan serta mengurangkan pergantungan kepada Amerika.

Encik Albanese mengetengahkan dirinya kepada pengundi sebagai “sepasang tangan yang selamat” di tengah-tengah kegawatan peringkat sejagat.

Ini berbeza daripada pemimpin pembangkang konservatif, Encik Peter Dutton, yang disamakan dengan Encik Trump, kata mantan pakar strategi pembangkang Parti Liberal dalam menilai kekalahan mereka.

Ketua Perbendaharaan Australia, Encik Jim Chalmers, berkata pada 4 Mei bahawa terdapat cabaran sejagat di hadapan untuk pemerintah yang kembali berkuasa.

“Orang ramai berpandangan jika anda mahukan kestabilan semasa kegawatan ekonomi sejagat, maka majoriti pemerintah Parti Buruh adalah yang terbaik untuk menanganinya,” katanya dalam temu bual dengan stesen penyiar, ABC.

Encik Chalmers berkata tumpuan segeranya ialah terhadap ketidaktentuan ekonomi sejagat, terutama kesan ketegangan tarif antara Amerika, sekutu keselamatan utama Australia, dengan China, rakan dagang terbesarnya.

Parti Buruh diunjurkan menambah kerusinya di Parlimen, mengukuhkan kedudukan Encik Albanese dalam berurusan dengan Rumah Putih, kata penganalisis.

“Apabila negara paling berkuasa di dunia kelihatan tidak menentu dan tidak boleh dipercayai, adalah masuk akal untuk mempelbagaikan hubungan anda,” kata Pengarah Eksekutif, Institut Lowy, Encik Michael Fullilove.

Beliau menjangkakan Australia mengukuhkan hubungan dengan Canada, Britain dan negara demokrasi lain di Eropah dan Asia.

“Bagaimanapun, tiada satu pun daripada negara ini boleh menggantikan Amerika sebagai sekutu keselamatan utama Australia,” tambahnya.

Walaupun dasar Encik Trump tidak popular di Australia, tinjauan Institut Lowy menunjukkan 80 peratus rakyat Australia menganggap perikatan dengan Amerika sebagai penting demi keselamatan.

Pengiraan Suruhanjaya Pilihan Raya Australia, yang berterusan, menunjukkan Parti Buruh telah memenangi sekurang-kurangnya 82 kerusi daripada 150 kerusi, meningkatkan majoritinya di Dewan Rakyat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg