Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Australia yang dipilih semula: pergelutan AS-China akan diutama

May 4, 2025 | 3:06 PM
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berucap selepas memenangi pilihan raya umum pada acara malam pilihan raya Parti Buruh di Sydney pada 3 Mei.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berucap selepas memenangi pilihan raya umum pada acara malam pilihan raya Parti Buruh di Sydney pada 3 Mei. - Foto AFP

SYDNEY: Melindungi Australia daripada “bayangan suram” perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan menjadi tumpuan utama bagi kerajaan Parti Buruh yang dipilih semula, kata Menteri Kewangan, Encik Jim Chalmers, pada 4 Mei, selepas kemenangan besar parti beliau dalam pilihan raya pada 3 Mei.

Parti Buruh, yang dipimpin Perdana Menteri Anthony Albanese, dilihat berkemungkinan dapat memperluaskan majoritinya di Parlimen kepada sekurang-kurangnya 85 kerusi daripada 77 kerusi sedia ada, menurut ramalan Australian Broadcasting Corp (ABC), setelah kebanyakan tinjauan menunjukkan mereka akan bergelut untuk mengekalkan pegangan nipis mereka terhadap Dewan Rakyat yang mempunyai 150 kerusi.

Lebih dua pertiga undi telah dikira, dengan pengiraan dijangka disambung pada 5 Mei.

Ketua pembangkang parti konservatif Liberal, Encik Peter Dutton, kehilangan kerusinya apabila para pengundi – yang pada awalnya menumpukan perhatian terhadap isu kos sara hidup – semakin bimbang tentang tarif meluas dan dasar lain yang diperkenalkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Mengulas kemenangan partinya, Encik Chalmers berkata kepada ABC pada 4 Mei:

“Keputusan ini melebihi jangkaan kami yang paling optimistik.

“Tumpuan segera kami adalah (menangani) ketidaktentuan ekonomi global, (hubungan) Amerika dan China, serta kesannya terhadap kita.

“Apa yang sedang berlaku, khususnya antara Amerika dan China, sememangnya melemparkan bayangan suram ke atas ekonomi global... Kita perlu ada keupayaan, dan kita ada keupayaan untuk menguruskan ketidaktentuan ini.”

Tinjauan sebelum ini menunjukkan Parti Buruh ketinggalan di belakang gabungan konservatif pembangkang selama sembilan bulan sehingga Mac, di tengah-tengah kebimbangan meluas terhadap cara kerajaan menangani isu inflasi.

Namun, perubahan sokongan berlaku apabila pihak konservatif mencadangkan pengurangan jumlah tenaga kerja persekutuan – langkah yang disamakan dengan tindakan pentadbiran Encik Trump yang mahu mengehadkan peranan agensi-agensi pemerintah.

Usul mereka untuk mewajibkan kakitangan persekutuan kembali bekerja di pejabat lima hari seminggu turut dikritik sebagai tidak adil kepada golongan wanita.

Pengumuman tarif oleh Encik Trump pada 2 April pula menambah kebimbangan pengundi apabila ia menggoncang pasaran global dan menimbulkan kegusaran terhadap kesannya ke atas dana persaraan mereka.

“Jelas bahawa parti kami menghadapi masalah di kawasan bandar Australia, iaitu tempat kebanyakan penduduk tinggal,” kata mantan anggota parlimen konservatif, Encik Keith Wolahan, yang tewas dalam pilihan raya kali ini.

Menyusuli pilihan raya pada 3 Mei, Encik Albanese kembali dilantik sebagai Perdana Menteri Australia bagi penggal kedua. Ia merupakan satu pencapaian bersejarah yang menandakan kebangkitan dramatik Parti Buruh menentang pihak konservatif, yang sebelum ini dilihat mula meraih semula sokongan daripada para pengundi.

Encik Dutton mengakui kekalahan partinya serta kehilangan kerusinya sendiri – satu nasib serupa yang dialami oleh parti konservatif dan ketuanya di Canada, yang turut tewas dalam pilihan raya beberapa hari lalu dek tindak balas pengundi terhadap pengaruh Encik Trump pada landskap global.

Encik Albanese menjadi Perdana Menteri Australia pertama dalam tempoh dua dekad yang memenangi jawatan itu buat dua penggal berturut-turut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg