Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Australia 3 Mei: Albanese di ambang kemenangan semula, isu Trump jadi tumpuan pengundi

May 2, 2025 | 2:41 PM
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese (kanan), dan calon Parti Buruh bagi kawasan Sturt, Claire Clutterham (lima dari kiri), bergambar swafoto bersama sukarelawan semasa lawatan ke pusat pengundian awal di kawasan pilihan raya Sturt, Adelaide, pada 1 Mei 2025. Pilihan raya persekutuan Australia 2025 dijadual berlangsung pada 3 Mei bagi memilih ahli Parlimen ke-48 negara itu.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese (kanan), dan calon Parti Buruh bagi kawasan Sturt, Claire Clutterham (lima dari kiri), bergambar swafoto bersama sukarelawan semasa lawatan ke pusat pengundian awal di kawasan pilihan raya Sturt, Adelaide, pada 1 Mei 2025. Pilihan raya persekutuan Australia 2025 dijadual berlangsung pada 3 Mei bagi memilih ahli Parlimen ke-48 negara itu. - Foto EPA-EFE

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menutup kempen pilihan rayanya dengan langkah berani apabila turun berkempen di kawasan lawan utamanya, Encik Peter Dutton, sehari sebelum rakyat Australia membuang undi dalam pilihan raya persekutuan pada 3 Mei.

Di sebalik tekanan inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, tinjauan pendapat menunjukkan Parti Buruh pimpinan Encik Albanese kekal mendahului gabungan konservatif Liberal-Nasional.

Menurut laman The Poll Bludger, purata undian semasa menunjukkan sokongan kepada Parti Buruh pada 52.6 peratus, berbanding 47.4 peratus untuk gabungan pembangkang. Satu tinjauan oleh YouGov yang diterbitkan pada 1 Mei meramalkan Buruh bakal memperoleh 84 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 150 kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Manakala Liberal-Nasional dijangka memperoleh 47 kerusi, dengan selebihnya dimenangi oleh calon bebas, Parti Hijau dan parti kecil lain.

Namun, di Dewan Senat yang berdasarkan sistem perwakilan negeri, tiada satu pun parti dijangka menguasai majoriti, menjadikan rundingan pasca pilihan raya penting dalam menentukan kelangsungan dasar.

Walaupun kempen kedua-dua parti utama tertumpu kepada isu kos sara hidup dan harga rumah yang melonjak, penganalisis menyatakan bahawa ketidakstabilan global, khususnya disebabkan dasar luar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut mempengaruhi pengundi.

Encik Dutton sebelum ini dilihat sebagai pesaing utama, namun mula kehilangan sokongan selepas mengemukakan cadangan yang tidak popular, termasuk larangan bekerja dari rumah untuk penjawat awam dan dasar pemotongan besar terhadap sektor awam.

“Dalam zaman yang tidak menentu, anda boleh yakin bahawa Parti Buruh mempunyai pelan untuk membina masa depan Australia. Sebaliknya, gabungan lawan hanya menawarkan pemotongan dan kekacauan,” kata Encik Albanese dalam sidang media terakhirnya di Brisbane.

Dalam satu wawancara radio bersama Australian Broadcasting Corporation, Encik Albanese turut mengkritik cadangan Encik Dutton yang mahu memansuhkan dasar perubahan iklim dan memberhentikan 41,000 penjawat awam. “Australia bukan Amerika Syarikat. Rakyat kita mahukan kestabilan, bukan polisi melulu,” katanya.

Encik Dutton yang berkempen di kawasannya sendiri sehari sebelum pengundian menekankan cabaran yang dihadapi keluarga dan perniagaan kecil. Beliau menyeru pengundi untuk menilai kehidupan mereka sejak tiga tahun lalu. “Adakah anda lebih baik hari ini berbanding tiga tahun dahulu?” soal Encik Dutton kepada penyokongnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa pilihan raya 2019 menyaksikan kemenangan mengejut bagi pihak konservatif meskipun diramalkan kalah dalam tinjauan awal.

Bagaimanapun, tinjauan terkini menunjukkan laluan semakin sukar buat beliau. Tinjauan RedBridge-Accent yang diterbitkan oleh News Corp menunjukkan Parti Buruh mendahului 53 berbanding 47 peratus dalam sistem dua parti pilihan Australia, dengan kebimbangan pengundi terhadap Trump dan cadangan Encik Dutton membina loji janakuasa nuklear – yang masih diharamkan di Australia menjadi antara faktor utama penolakan.

Satu lagi tinjauan oleh Australian Financial Review/Freshwater pula mencatatkan kelebihan lebih kecil, iaitu 51.5 peratus untuk Buruh dan 48.5 peratus untuk gabungan konservatif.

Suruhanjaya Pilihan Raya Australia memaklumkan bahawa hampir tujuh juta daripada 18 juta pengundi layak telah mengundi lebih awal melalui pusat undi atau pos, menjadikan pilihan raya kali ini antara yang paling aktif dari segi penyertaan awal.

Encik Albanese, yang terbang sejauh 1,600 kilometer dari Queensland ke Tasmania sebelum meneruskan kempen ke Victoria dan New South Wales, memberi amaran bahawa masih ramai pengundi yang belum membuat keputusan.

“Kita tidak boleh mengambil ringan undi terakhir. Saya tidak akan membuat sebarang perjanjian dasar dengan parti kecil atau calon bebas,” katanya, merujuk kepada pengalaman kerajaan minoriti Buruh pada 2010.

“Rakyat Australia mahukan kestabilan, bukannya ketidaktentuan. Dalam pilihan raya ini, pilihan mereka bukan sekadar tentang ekonomi, tetapi juga tentang siapa yang boleh dipercayai untuk memimpin dalam dunia yang semakin tidak menentu,” tegas Encik Albanese menutup kempen dengan nada keyakinan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg