TEL AVIV: Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mencetuskan perhatian selepas memaparkan Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, bersama pemimpin Iran, Turkey dan Hezbollah dalam papan iklan kempen menjelang pilihan raya Israel pada Oktober.

Papan iklan besar di tengah Tel Aviv itu memaparkan wajah Encik Mamdani bersama Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei; Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; dan pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, berlatarbelakangkan warna hitam.

“Mereka mahu Netanyahu kalah... Jangan biarkan mereka menang,” menurut mesej pada papan iklan itu yang turut memaparkan logo Likud.

Encik Netanyahu kemudian berkongsi gambar papan iklan tersebut menerusi media sosialnya dengan mesej serupa: “Jangan biarkan mereka menang.”

Kempen itu dilancarkan ketika Encik Netanyahu meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya nasional pada 27 Oktober, yang pertama di Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Parlimen Israel, Knesset, dibubarkan pada Julai, membuka laluan kepada pilihan raya ketika gabungan pemerintahan Encik Netanyahu dilaporkan ketinggalan dalam beberapa tinjauan pendapat.

Pilihan raya terakhir pada 2022 menyaksikan Likud membentuk gabungan dengan parti berhaluan kanan, termasuk parti yang dipimpin Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben-Gvir, dan Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich.

Kemunculan Encik Mamdani dalam bahan kempen Likud berlaku selepas pertikaian terbuka antara beliau dengan Encik Netanyahu berhubung perang Gaza dan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pemimpin Israel itu.

Encik Mamdani, yang lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza, bulan lalu menyifatkan Encik Netanyahu sebagai “penjenayah perang” yang sepatutnya berada di The Hague.

Beliau turut menggesa pemerintah persekutuan Amerika Syarikat menguatkuasakan waran tangkap ICC sekiranya Encik Netanyahu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September.

Encik Mamdani pada mulanya berkata pihaknya sedang meneliti langkah yang boleh diambil sekiranya Encik Netanyahu memasuki New York, tetapi kemudian menjelaskan perkara itu berada di luar bidang kuasanya sebagai datuk bandar dan menyerahkan isu tersebut kepada pemerintah persekutuan Amerika.

ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu pada November 2024 atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan operasi Israel di Gaza.

Antara tuduhan yang dikemukakan ialah menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan dan serangan terhadap penduduk awam.

Encik Netanyahu menolak semua tuduhan itu dan menyifatkan tindakan ICC sebagai bersifat “antisemitik”.

Amerika bukan anggota ICC dan Presiden Donald Trump mempertahankan Encik Netanyahu dengan menegaskan pemimpin Israel itu tidak akan ditangkap ketika berada di Amerika.

Encik Netanyahu pula membalas kritikan Encik Mamdani dengan menuduh Datuk Bandar New York itu “mencetuskan kebencian” serta cuba melaga-lagakan masyarakat daripada latar belakang agama berbeza.

Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, turut menuduh Encik Mamdani bersikap antisemitik dan menyokong Hamas.

Setakat ini, Encik Mamdani belum memberi respons secara terbuka terhadap tindakannya dimasukkan dalam bahan kempen pilihan raya Likud bersama pemimpin Iran dan Hezbollah.

Papan iklan terbaru itu juga memperlihatkan perubahan ketara dalam strategi kempen Encik Netanyahu berbanding pilihan raya Israel tujuh tahun lalu.

Menjelang pilihan raya September 2019, papan iklan besar Likud memaparkan Encik Netanyahu berjabat tangan dengan Encik Trump dengan slogan “Netanyahu. Liga yang berbeza”.

Bahan kempen lain ketika itu turut memaparkan Encik Netanyahu bersama Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi.

Strategi ketika itu bertujuan menonjolkan hubungan Encik Netanyahu dengan pemimpin kuasa besar sebagai bukti bahawa kepimpinannya meningkatkan kedudukan diplomatik Israel di pentas antarabangsa.

Kempen 2026 membawa pendekatan berbeza.

Daripada menonjolkan pemimpin dunia yang mempunyai hubungan baik dengannya, kempen terbaru memaparkan tokoh yang dianggap Likud sebagai penentang Encik Netanyahu.

Mesejnya ialah jika tokoh seperti pemimpin Iran, Hezbollah, Turkey dan Encik Mamdani mahu Encik Netanyahu kalah, pengundi Israel sebaliknya perlu memastikan beliau terus berkuasa.

Kempen itu muncul ketika Encik Netanyahu turut berdepan tekanan berhubung masa depan Gaza.

Rundingan selama tiga jam dengan utusan Amerika, Encik Jared Kushner, pada 17 Ogos gagal menghasilkan terobosan dalam usaha menghidupkan semula pelan damai Gaza.

Israel menegaskan tenteranya tidak akan berundur dari wilayah itu sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya, sementara Hamas mahu Israel menghentikan serangan dan memulakan pengunduran terlebih dahulu.

Dengan pilihan raya semakin hampir, isu keselamatan, perang Gaza dan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa dijangka menjadi antara perkara utama dalam kempen.

Papan iklan terbaru Likud menunjukkan Encik Netanyahu kini berusaha menjadikan tentangan terhadap dirinya – sama ada daripada musuh serantau mahupun pengkritik di luar negara – sebagai sebahagian daripada hujah mengapa pengundi Israel perlu mengekalkannya sebagai perdana menteri. - Agensi berita