Topik diikuti
Pergi ke BHkuMamdani akui New York tiada kuasa tangkap Netanyahu walau pernah janji laksana waran ICC
Mamdani akui New York tiada kuasa tangkap Netanyahu walau pernah janji laksana waran ICC
Mamdani akui New York tiada kuasa tangkap Netanyahu walau pernah janji laksana waran ICC
NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengakui beliau tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menangkap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekali gus menarik balik janji yang dibuat semasa kempen pilihan rayanya untuk melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Bagaimanapun, Mamdani menegaskan Encik Netanyahu tetap tidak dialu-alukan ke New York menjelang kehadiran pemimpin Israel itu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung pada September ini.
Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada 21 Julai, Encik Mamdani berkata pentadbirannya telah meneliti semua saluran undang-undang bagi menentukan sama ada bandar raya New York boleh melaksanakan waran tangkap ICC terhadap Netanyahu.
“Hasil semakan mendapati kami tidak mempunyai kuasa undang-undang secara bebas untuk melaksanakan waran tersebut,” katanya.
Sebaliknya, beliau menggesa pemerintah Amerika Syarikat mengambil tindakan kerana hanya pemerintah persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan waran berkenaan.
“Benjamin Netanyahu tidak dialu-alukan di New York, begitu juga mana-mana individu yang berstatus penjenayah perang. Walaupun kami tidak mampu menghentikan apa yang berlaku di Gaza bersendirian, kami boleh memilih untuk tidak berdiam diri,” katanya.
Kenyataan itu menandakan perubahan pendirian Encik Mamdani selepas beliau selama beberapa bulan berulang kali menegaskan bahawa beliau akan mengarahkan Jabatan Polis New York (NYPD) menahan Netanyahu sekiranya pemimpin Israel itu memasuki bandar raya berkenaan.
Malah, beberapa hari lalu dalam wawancara bersama The New York Times, beliau sekali lagi mengulangi hasrat tersebut walaupun mengakui terdapat keraguan mengenai kuasa undang-undang yang dimilikinya.
Janji itu mula dibuat ketika kempen pilihan raya Datuk Bandar New York pada 2025 sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap rakyat Palestin ketika perang Israel-Hamas.
Pada ketika itu, Encik Mamdani berkata beliau akan mengarahkan NYPD melaksanakan waran tangkap ICC terhadap Netanyahu, yang dituduh bertanggungjawab atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Beliau juga berulang kali melabel Netanyahu sebagai “penjenayah perang” serta menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai satu “genosid”.
Perubahan pendirian Encik Mamdani dibuat beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menegaskan Encik Netanyahu tidak akan ditahan sepanjang berada di negara itu.
Dalam hantaran di media sosial pada 20 Julai, Encik Trump berkata Perdana Menteri Israel itu “tidak akan ditangkap dalam apa jua keadaan atau dengan apa jua cara” ketika melawat Amerika Syarikat.
Encik Trump sejak sekian lama menjadi sekutu rapat Encik Netanyahu walaupun hubungan kedua-dua pemimpin itu dilaporkan mengalami ketegangan berhubung konflik berterusan dengan Iran.
Amerika Syarikat juga bukan negara anggota ICC dan tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah antarabangsa itu.
Atas sebab itu, ramai pakar undang-undang sebelum ini menyatakan bahawa Datuk Bandar New York tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan polis tempatan menangkap seorang ketua kerajaan asing berdasarkan waran ICC.
Malah, pentadbiran Trump sebelum ini turut mengenakan sekatan terhadap ICC sebagai tindak balas kepada keputusan mahkamah itu mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu.
Pejabat Netanyahu turut mengecam kenyataan Encik Mamdani.
Dalam satu kenyataan pada 19 Julai, pejabat Perdana Menteri Israel itu mendakwa Encik Mamdani cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan pentadbirannya dengan menyerang pemimpin negara Yahudi berkenaan.
“Mamdani kelihatan lebih berminat mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan pentadbirannya dengan menyerang pemimpin satu-satunya negara demokrasi di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.
Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, turut mengkritik kenyataan Mamdani dan menuduh beliau menggunakan isu berkenaan sebagai sandiwara politik.
“Cukuplah dengan fitnah berdarah. Anda dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat New York, bukannya menyebarkan propaganda Hamas. Laksanakan tugas anda,” katanya.
ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, pada 2024 atas dakwaan melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Mahkamah itu mendakwa kedua-duanya sengaja menafikan akses penduduk Gaza kepada makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan sepanjang konflik.
Encik Netanyahu dan Encik Gallant menafikan semua tuduhan berkenaan.
ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas ketua sayap tentera Hamas, Encik Mohammed Deif, atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Namun, Israel mendakwa beliau telah terbunuh dalam satu serangan udara sebelum waran itu dikeluarkan.
Konflik di Gaza yang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 70,000 penduduk Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Tindakan Israel sepanjang peperangan itu turut disifatkan sebagai genosid oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia Israel dan antarabangsa serta dua suruhanjaya siasatan PBB.
Israel bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan menegaskan tenteranya telah mengambil langkah luar biasa bagi mengurangkan kematian orang awam ketika melancarkan operasi terhadap Hamas.
Tinjauan terbaharu Pew Research Center pula menunjukkan imej Israel semakin merosot dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat, dengan majoriti responden kini mempunyai pandangan negatif terhadap negara itu.
Sentimen itu paling ketara dalam kalangan rakyat Amerika berusia bawah 50 tahun serta penyokong Parti Demokrat. - Agensi berita