GAZA: Beribu-ribu rakyat Palestin telah melarikan diri daripada tengah Gaza selepas Israel arahkan mereka segera berpindah, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di kawasan yang sudah dibanjiri dengan penduduk dari selatan.
Kumpulan Hamas yang menuduh Israel menghalang gencatan senjata, berkata pemerintah Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu telah mengenakan syarat baru ke dalam cadangan gencatan senjata dalam rundingan yang diusahakan pengantara antarabangsa.
Bagaimanapun, Encik Netanyahu menafikan membuat sebarang perubahan dan berkata Hamas adalah pihak yang mendesak banyak perubahan kepada cadangan asal.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengumumkan semenanjung itu kini menjadi zon epidemik polio, sekali gus memberi amaran bahawa program antiepidemik tidak akan mencukupi melainkan serangan ke atas kawasan itu ditamatkan.
“Selepas bertahun-tahun pembasmian polio di Palestin, kami mengisytiharkan Semenanjung Gaza kini kawasan epidemik polio. Ia susulan keadaan teruk dialami penduduk Gaza akibat serangan kejam Israel yang telah menyebabkan mereka kehilangan air yang boleh digunakan, pemusnahan infrastruktur sanitasi, timbunan ribuan tan sampah sarap, membawa kepada ketidakselamatan makanan serta penduduk hidup bersesak di lapangan pemindahan secara paksa, dan dengan penemuan virus polio CVPV2 dalam air kumbahan di kawasan gabenor Tengah dan Khan Younis,” kata Kementerian Kesihatan sebagaimana dilaporkan portal Al-Quds.
Tentera Israel, yang kini telah menawan hampir seluruh Jaluran Gaza sepanjang perang 10 bulan, telah melancarkan operasi besar-besaran di kawasan yang mereka dakwa telah menumpaskan Hamas.
Beratus-ratus ribu orang telah berkumpul di Deir al-Balah, sebuah bandar kecil di tengah-tengah Gaza yang merupakan satu-satunya kawasan utama yang belum diserang.
Ramai yang terpaksa ke sana dengan meredas puing-puing runtuhan bangunan di Khan Younis yang lebih jauh ke selatan Gaza.
Dalam serangan terbarunya, Israel mengarahkan penduduk supaya melarikan diri dari Al-Bureij, di timur laut Deir al-Balah.
Tentera Israel berkata, jet-jet pejuangnya telah menyerang 35 sasaran di serata Gaza ketika tentera bertempur dengan pejuang Hamas di Khan Younis dan Rafah, dekat sempadan Mesir.
Hamas dan Jihad Islam berkata pertempuran sengit telah berterusan di kedua-dua kawasan itu serta di pinggir bandar Tel Al-Hawa di Bandar Gaza lebih jauh ke utara.
Pegawai perubatan Palestin berkata sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan udara Israel sebelum ini di Khan Younis.
Dalam tanda terbaru kecemasan kesihatan awam yang semakin buruk, Kementerian Kesihatan Gaza mengisytiharkan wabak polio, berikutan pengesanan virus dalam sampel kumbahan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg