Kenaikan harga akibat perang Iran jejas syahdu Aidilfitri di Pakistan
Kenaikan harga akibat perang Iran jejas syahdu Aidilfitri di Pakistan
MULTAN, Pakistan: Persediaan untuk akhir Ramadan sedang giat dijalankan di sebuah salun kecantikan di Punjab Pakistan, dengan pelanggan mendapatkan khidmat memotong rambut, menyikat kening dan tatu inai.
Di pasar-pasar Multan, ramai wanita muda dan tua membeli-belah gelang tangan berwarna-warni, kasut, pakaian baru, alat solekan dan makanan manis.
Di sebalik kemeriahan di Multan dan di tempat lain di Pakistan, kesan perang Amerika Syarikat-Israel menentang Iran jelas dapat dirasakan.
“Ia terasa sangat berbeza kerana inflasi telah meningkat dengan begitu banyak disebabkan oleh perang yang berterusan. Setiap orang miskin tertekan. Ia memberi kesan yang mendalam kepada mereka,” kata jurusolek Cik Rozina Amjad.
Chaand Raat atau Malam Bulan – malam menjelang Aidilfitri – dahulunya sangat meriah tetapi kini daya tarikan itu telah hilang. Ia tidak seperti dahulu, tambahnya.
Pakistan bergantung kepada minyak dan gas dari Teluk tetapi sejak perang meletus pada 28 Februari, tekanan bekalan bahan api telah menyaksikan kenaikan harga di pam-pam minyak dan langkah-langkah penjimatan oleh pemerintah.
Kenaikan harga minyak telah meningkatkan kos secara menyeluruh, menjejaskan kuasa beli sebelum perayaan paling penting dalam kalendar Islam.
Cik Suriya Muslim, seorang suri rumah berusia 35 tahun, berkata beliau telah pun membeli-belah dan hanya perlu menyelesaikan rutin kecantikannya di salon sebelum bersiap sedia untuk menyambut tetamu di rumahnya.
Tetapi beliau bimbang keluarganya mungkin terpaksa mengurangkan kunjungan ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan tahun ini.
“Disebabkan perang di Iran, kenaikan harga telah banyak menjejaskan bajet kami. Semua barang keperluan untuk Hari Raya menjadi sangat mahal.
“Kini kereta kami hanya diletakkan di rumah. Memandangkan bajet, kami tidak boleh membawa anak-anak keluar, membeli-belah, atau melawat mana-mana saudara mara.
“Kini nampaknya petrol akan menjadi lebih mahal, dan dalam situasi ini, rasanya Hari Raya akan kekal terhad di rumah kami sahaja,” keluh Cik Suriya.
Perdana Menteri Encik Shehbaz Sharif berkata minggu ini tiada perarakan tentera dan penerbangan lampau pada cuti umum Hari Pakistan pada 23 Mac kerana krisis di Teluk.
Lebih jauh ke timur dari Multan, di Lahore, kemeriahan menyambut Raya telah bermula, dengan kereta api penuh sesak dengan penumpang berhimpit di dalam dan atas bumbung bas berwarna-warni.
Tambang pengangkutan awam juga telah meningkat, kerana orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing. - AFP

