Pakistan, Afghanistan setuju gencatan sementara sempena Aidilfitri di tengah konflik berdarah
Pakistan, Afghanistan setuju gencatan sementara sempena Aidilfitri di tengah konflik berdarah
Gencatan mula tengah malam 19 Mac hingga tengah malam 24 Mac susulan permintaan negara termasuk Arab Saudi, Qatar dan Turkey
ISLAMABAD/KABUL: Pakistan dan Afghanistan bersetuju melaksanakan “rehat sementara” dalam pertempuran sempena sambutan Aidilfitri minggu ini, ketika konflik antara kedua-dua negara jiran itu semakin memuncak selepas beberapa minggu keganasan yang meragut ratusan nyawa.
Menteri Penerangan Pakistan, Encik Attaullah Tarar, berkata gencatan sementara itu akan bermula tengah malam 19 Mac hingga tengah malam 24 Mac, susulan permintaan beberapa negara termasuk Arab Saudi, Qatar dan Turkey.
“Pakistan menawarkan langkah ini dengan niat baik dan selaras dengan norma Islam,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Namun, beliau memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran akan membawa kepada tindakan segera.
“Sekiranya berlaku serangan rentas sempadan, serangan dron atau insiden keganasan dalam Pakistan, operasi akan disambung semula dengan intensiti lebih tinggi,” tegasnya.
Tidak lama selepas pengumuman itu, jurucakap pemerintah Taleban Afghanistan memaklumkan bahawa pihaknya juga akan menggantung operasi ketenteraan terhadap Pakistan sepanjang tempoh tersebut.
Langkah ini dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan yang meningkat mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Konflik antara kedua-dua negara mencapai tahap paling serius dalam beberapa tahun selepas Taleban melancarkan operasi ketenteraan di sepanjang Garisan Durand pada akhir Februari.
Taleban menyatakan tindakan itu sebagai respons terhadap serangan udara Pakistan yang didakwa mengorbankan orang awam.
Ketegangan semakin memuncak susulan dakwaan Afghanistan bahawa tentera Pakistan bertanggungjawab terhadap serangan udara ke atas sebuah pusat pemulihan dadah di Kabul.
Pemerintah Taleban mendakwa lebih 400 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam serangan tersebut, namun angka itu belum disahkan secara bebas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 143 orang maut dan 119 cedera dalam kejadian di Hospital Rawatan Ketagihan Omar, sebuah kemudahan dengan kapasiti 2,000 pesakit.
Pakistan bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
“Kami hanya menyasarkan infrastruktur pengganas dan lokasi ketenteraan,” menurut kenyataan pihak berkuasa Pakistan.
Seorang bekas pesakit pusat pemulihan itu, Encik Nazar Mohammad, yang kini bekerja sebagai penjaga di kemudahan tersebut, menggambarkan detik serangan sebagai amat mengerikan.
“Saya lihat pesawat menjatuhkan bom,” katanya.
Beliau berkata apabila kembali ke lokasi, keadaan amat menyayat hati.
“Orang menjerit dari semua arah. Ada yang cedera dan mayat bergelimpangan… Kami berjaya menyelamatkan empat orang yang masih hidup tetapi cedera. Selebihnya telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan bahawa trauma akibat serangan itu boleh menyebabkan dirinya kembali kepada ketagihan.
Kejadian itu mencetuskan pertikaian berterusan antara Kabul dan Islamabad mengenai sama ada pusat pemulihan tersebut sengaja disasarkan atau tersilap dikenal pasti sebagai sasaran ketenteraan.
Kumpulan bebas dan saksi di lapangan mengesahkan bahawa kemudahan tersebut terkena serangan, namun motif sebenar masih menjadi perdebatan.
Dalam masa sama, Pakistan menegaskan bahawa serangan mereka bertujuan menghalang kumpulan bersenjata menggunakan wilayah Afghanistan untuk melancarkan serangan ke dalam negara itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa konflik yang semakin sengit memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan di Afghanistan.
Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sekurang-kurangnya enam kemudahan kesihatan telah terjejas sejak akhir Februari.
“Konflik yang semakin meningkat ini menambah tekanan kepada sistem kesihatan dan meningkatkan risiko terhadap kesejahteraan penduduk yang terdedah,” katanya.
Beliau menggesa semua pihak supaya meredakan ketegangan.
“Saya menyeru semua pihak untuk meredakan konflik dan mengutamakan keamanan serta kesihatan,” katanya.
Kementerian Luar Qatar menyambut baik gencatan sementara itu, menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah meredakan ketegangan.
“Langkah ini merupakan isyarat positif yang menyumbang kepada usaha meredakan konflik dan mewujudkan ketenangan antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan kementerian itu.
Qatar turut berharap tempoh gencatan tersebut dapat membuka jalan kepada gencatan senjata yang lebih berkekalan.
“Kami berharap ia menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata yang mampan, yang dapat menyelamatkan nyawa orang awam serta menjamin keselamatan dan kestabilan,” katanya.
Pertempuran antara Pakistan dan Afghanistan kini disifatkan sebagai yang paling serius dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan serangan rentas sempadan, serangan udara serta peningkatan ketegangan politik.
Walaupun terdapat seruan antarabangsa untuk gencatan senjata, pertempuran berterusan menimbulkan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meluas, termasuk perpindahan penduduk secara besar-besaran.
Walaupun gencatan sementara sempena Aidilfitri memberi sedikit ruang kelegaan, amaran keras daripada kedua-dua pihak menunjukkan bahawa konflik ini masih jauh daripada berakhir.
Tempoh rehat tersebut kini dilihat sebagai ujian penting sama ada kedua-dua negara mampu meredakan ketegangan, atau sekadar jeda singkat sebelum pertempuran kembali memuncak. – Agensi berita.

