Kenyataan pertama Khamenei baru: Iran tutup Selat Hormuz, tuntut bela darah rakyat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenyataan pertama Khamenei baru: Iran tutup Selat Hormuz, tuntut bela darah rakyat

Mar 13, 2026 | 9:58 AM

Kenyataan pertama Khamenei baru: Iran tutup Selat Hormuz, tuntut bela darah rakyat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iran, Mojtaba Khamenei, Selat Hormuz, conflict, war, Israel Amerika Syarikat
Imej Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, dipaparkan di televisyen negara Iran ketika seorang penyampai membaca ucapan pertamanya kepada rakyat di Teheran pada 12 Mac 2026. Iran akan terus menyekat Selat Hormuz, menurut kenyataan yang dikaitkan dengan pemimpin baharu itu, yang belum muncul di khalayak sejak menggantikan bapanya sebagai pemimpin tertinggi negara. - Foto EPA

TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei, menegaskan bahawa Teheran akan terus menentang Amerika Syarikat dan Israel serta mengekalkan penutupan Selat Hormuz sebagai alat tekanan strategik dalam perang yang semakin memuncak di Asia Barat.

Dalam kenyataan pertamanya sejak menggantikan bapanya yang terbunuh dalam serangan udara Israel, Ayatollah Khamenei pada 12 Mac memberi amaran bahawa Iran tidak akan berundur walaupun konflik itu berisiko menggoncang ekonomi global.

Dalam kenyataan yang tidak disampaikan secara langsung oleh beliau, sebaliknya dibacakan oleh seorang penyampai di televisyen negara Iran, beliau berkata:

“Yang rakyat jelata mahu ialah meneruskan pertahanan yang berkesan dan mendatangkan penyesalan (kepada pihak musuh). Penutupan Selat Hormuz mesti terus dijadikan alat tekanan terhadap pihak musuh.”

Sejak serangan Israel pada awal perang yang membunuh sebahagian besar keluarganya, termasuk bapanya Ayatollah Ali Khamenei dan isterinya pada 28 Februari lalu, tiada imej atau rakaman video pemimpin baharu itu didedahkan kepada umum.

“Saya memberi jaminan kepada semua bahawa kami tidak akan mengabaikan tuntutan untuk membalas darah para syahid,” kata Ayatollah Khamenei.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan paling penting bagi perdagangan minyak dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melalui kawasan tersebut setiap hari di sepanjang pantai Iran.

Ancaman berterusan terhadap laluan itu telah menyebabkan pasaran tenaga dunia kembali bergolak, dengan harga minyak melonjak semula melebihi AS$100 ($127) setong selepas sebelumnya menurun berikutan harapan konflik akan berakhir lebih cepat.

Di lapangan, konflik terus merebak ke kawasan strategik perkapalan.

Dua kapal tangki dilaporkan terbakar di sebuah pelabuhan di Iraq selepas diserang bot bermuatan bahan letupan yang dipercayai milik Iran.

Serangan tersebut dilihat sebagai mesej jelas kepada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang sehari sebelumnya mendakwa bahawa Washington sudah “memenangi perang”.

Rakaman yang disahkan oleh Reuters menunjukkan kapal-kapal tersebut diselubungi api besar berwarna oren yang menerangi langit malam di pelabuhan Basra.

Sekurang-kurangnya seorang anak kapal dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu. Beberapa jam sebelumnya, tiga kapal lain turut dilaporkan diserang di Teluk.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran mengaku bertanggungjawab sekurang-kurangnya terhadap satu serangan, iaitu ke atas sebuah kapal kargo pukal Thailand yang dibakar.

Sebuah kapal kontena lain pula dilaporkan terkena objek peluru tidak dikenali berhampiran Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berkata keadaan di Selat Hormuz kini tidak lagi sama seperti sebelum perang bermula.

“Selepas peristiwa semasa, secara umum kita tidak boleh kembali kepada keadaan sebelum 28 Februari,” katanya seperti dipetik agensi berita Mehr.

Namun beliau menambah bahawa sesetengah kapal masih boleh melalui selat tersebut jika bekerjasama dengan tentera laut Iran.

Konflik turut melibatkan beberapa medan lain di rantau tersebut.

Pada 12 Mac, serangan udara Israel dilaporkan mengenai sebuah bangunan di tengah Beirut, menyebabkan kepulan asap tebal kelihatan di ruang udara ibu kota Lebanon itu.

Israel juga mengarahkan penduduk meninggalkan beberapa kawasan di selatan Lebanon ketika ia meningkatkan operasi terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Tindakan itu menyusul selepas Hezbollah melancarkan serangan roket terbesar ke atas Israel sejak perang bermula. Sehingga kini, konflik tersebut telah mengorbankan lebih 2,000 orang, termasuk hampir 700 di Lebanon.

Walaupun Amerika dan Israel mendakwa banyak sistem senjata jarak jauh Iran telah dimusnahkan, laporan menunjukkan dron masih dikesan terbang ke beberapa negara Teluk termasuk Kuwait, Iraq, UAE, Bahrain dan Oman.

Situasi itu menunjukkan kemampuan ketenteraan Iran masih berfungsi walaupun negara itu diserang bertubi-tubi.

Asia Barat terus dicengkam pergolakan kian tegang serta meluas selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu. Setakat ini, lebih 1,300 orang terkorban termasuk

Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, serta lebih 150 murid sekolah, selain lebih 10,000 lagi cedera dalam serangan Amerika-Israel.

Susulan itu, Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq dan beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika.

Sekurang-kurang lapan anggota tentera Amerika direkodkan maut sejak perang itu meletus.

Sementara itu, Presiden Trump cuba meredakan kebimbangan terhadap lonjakan harga minyak.

“Amerika Syarikat ialah pengeluar minyak terbesar di dunia. Apabila harga minyak naik, kami juga mendapat keuntungan besar,” tulis beliau di media sosial.

Namun beliau menegaskan bahawa matlamat utama Washington adalah untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

“Perkara yang lebih penting bagi saya sebagai Presiden ialah menghentikan empayar jahat, Iran, daripada memiliki senjata nuklear,” katanya.

Walaupun Amerika kini merupakan pengeksport bersih minyak, negara itu masih merupakan pengguna minyak terbesar dunia.

Ahli ekonomi memberi amaran bahawa kenaikan harga minyak secara berterusan boleh mendorong inflasi global.

Di Iran sendiri, penduduk melaporkan kehadiran pasukan keselamatan semakin meningkat.
Seorang guru di Teheran yang hanya dikenali sebagai Majan berkata keadaan di bandar itu masih terkawal tetapi rakyat berasa cemas.

“Pasukan keselamatan ada di mana-mana, lebih banyak daripada sebelumnya. Orang ramai takut untuk keluar, tetapi pasar raya masih dibuka,” katanya melalui telefon.

Israel pula mendakwa tenteranya telah menyerang beberapa pusat pemeriksaan milik Basij, iaitu militia sukarelawan di bawah Pengawal Revolusi Iran.

Walaupun terdapat laporan bahawa ramai rakyat Iran mahu perubahan politik, setakat ini tiada tanda pemberontakan tersusun ketika negara itu sedang menghadapi serangan luar.

Kenyataan Ayatollah Khamenei menunjukkan bahawa strategi Iran kini memberi tumpuan kepada tekanan ekonomi jangka panjang terhadap Barat melalui pasaran tenaga.

Jurucakap tentera Iran sebelum ini memberi amaran bahawa dunia harus bersedia menghadapi kemungkinan harga minyak mencecah AS$200 setong.

Setiausaha Tenaga Amerika, Encik Chris Wright, berkata kemungkinan itu tidak mustahil tetapi dianggap tidak mungkin berlaku.

“Saya akan katakan ia tidak begitu mungkin, tetapi kami memberi tumpuan kepada operasi ketenteraan dan penyelesaian masalah ini,” katanya kepada CNN.

Walaupun negara-negara maju mengumumkan pelepasan 400 juta tong minyak daripada rizab strategik untuk menstabilkan pasaran, penganalisis berkata langkah itu hanya mampu menampung kira-kira tiga minggu bekalan daripada Selat Hormuz yang kini terancam.

Penganalisis dari ING berkata harga minyak sukar turun selagi laluan itu tidak dibuka semula.
“Satu-satunya cara untuk melihat harga minyak turun secara berterusan ialah memastikan aliran minyak kembali melalui Selat Hormuz,” kata mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg