RIYADH: Pengumuman bahawa Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Lelaki 2034 mencetuskan pelbagai reaksi, dengan pujian dan kritikan datang daripada pelbagai pihak.
Keputusan itu menjadikan Saudi negara Timur Tengah kedua selepas Qatar yang menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak terbesar dunia pada 2022.
Namun, langkah itu turut mengundang persoalan besar tentang hak asasi manusia, prasarana, dan kesan budaya.
Saudi menjadi satu-satunya calon yang mengemukakan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 setelah beberapa negara lain menarik diri atau memilih untuk menyokong bidaan Saudi.
Keputusan itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh dasar “giliran konfederasi” Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Fifa memberikan peluang kepada Asia untuk menjadi tuan rumah selepas Piala Dunia 2030 berlangsung di tiga konfederasi iaitu Eropah, Afrika, dan Amerika Selatan.
Presiden Fifa, Gianni Infantino, menyeru negara Asia agar bersatu dalam bidaan itu, yang menyaksikan sokongan meluas daripada anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia, Erick Thohir, berkata: “Indonesia menyokong bidaan Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
“Kami juga sedang bersiap untuk bidaan selepas 2034 serta kejohanan Fifa lain.”
Salah satu isu utama yang menimbulkan perdebatan adalah rekod hak asasi manusia Saudi, termasuk kebebasan wanita dan masyarakat lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira (LGBTQ).
Walaupun Saudi berjanji untuk memastikan keselamatan dan keterbukaan bagi semua peminat, keraguan tetap wujud.
Saudi sudah melabur jumlah yang banyak dalam sukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini walaupun pengkritik, termasuk kumpulan hak wanita dan anggota masyarakat LGBTQ, mendakwa ia menggunakan Dana Pelaburan Awamnya untuk membersihkan rekod hak asasi manusianya.
Negara tersebut menolak tuduhan terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan menyatakan ia melindungi keselamatan negaranya melalui undang-undangnya.
Menurut Persatuan Bola Sepak England (FA), mereka telah berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi mengenai jaminan keselamatan bagi semua peminat, termasuk peminat LGBTQ.
“Saudi telah memberi jaminan bahawa mereka komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan mesra untuk semua peminat,” kata kenyataan rasmi FA.
Namun begitu, aktivis hak asasi manusia mengingatkan bahawa kenyataan itu perlu disokong oleh tindakan nyata.
Pengamat sosial dari Universiti Indonesia, Lucia Ratih, berkata:
“Walaupun ada janji keterbukaan, cabaran sebenar adalah bagaimana Saudi mampu melaksanakan perubahan budaya dan sosial yang diperlukan.”
Seperti Qatar pada 2022, Saudi berhadapan dengan cabaran iklim yang ekstrem.
Dengan suhu musim panas mencecah 55 darjah Celsius, terdapat kemungkinan kejohanan itu akan diadakan pada bulan lebih sejuk antara Oktober dengan April.
Fifa turut menekankan kepentingan mempertimbangkan perayaan keagamaan seperti Ramadan dalam menentukan jadual kejohanan.
Saudi berjanji untuk membina 11 stadium baru, termasuk sebuah stadium ikonik di Neom, sebuah bandar pintar masa depan.
Stadium itu akan beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
Daripada stadium yang dikenal pasti untuk menganjurkan perlawanan Piala Dunia 2034, hanya empat yang telah dibina setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif bidaan Saudi, Hammad Albalawi, berkata:
“Kami berusaha untuk menyediakan pengalaman luar biasa kepada peminat, dengan menekankan kelestarian dan inovasi dalam semua aspek pembinaan.”
Namun, pembinaan prasarana berskala besar itu menimbulkan persoalan tentang kebajikan pekerja.
Tragedi pekerja migran yang meninggal dunia semasa pembinaan stadium di Qatar masih menjadi kesan negatif kepada kejohanan tersebut.
Saudi perlu memastikan bahawa kebajikan pekerja dilindungi dan piawaian buruh antarabangsa dipatuhi.
Saudi melihat Piala Dunia 2034 sebagai sebahagian daripada Wawasan 2030, program transformasi ekonomi dan sosial yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Melalui projek itu, Saudi berusaha untuk mengurangkan kebergantungannya pada minyak dengan mempelbagaikan sektor seperti pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, dan sukan.
“Ini bukan tentang membuat tajuk utama, tetapi tentang mencipta peluang untuk rakyat kami.
“Kami mahu memastikan rakyat Saudi menikmati kehidupan yang lebih baik, lebih panjang, dan lebih bahagia,” kata Hammad.
Piala Dunia 2034 akan menjadi edisi pertama kejohanan yang menampilkan 48 negara di bawah satu tuan rumah.
Ia menuntut perancangan logistik dan prasarana yang lebih besar.
Walaupun keraguan wujud, pengalaman Qatar 2022 menunjukkan bahawa kejohanan musim sejuk boleh berjaya jika dirancang dengan baik.
Profesor Simon Chadwick dari Sekolah Perniagaan Skema di Perancis berkata: “Piala Dunia di Saudi akan menjadi sebahagian daripada agenda acara mega negara ini.
“Walaupun ia penting untuk imej diri Saudi, ia bukanlah unsur utama dalam transformasi negara ini.”
Kerajaan Saudi sudah memastikan kedudukan sebagai tuan rumah Piala Asia AFC 2027, Piala Dunia Fifa 2034 selain berjaya menarik kemasukan bakat bola sepak terunggul seperti, Cristiano Ronaldo.
Selain bola sepak, Saudi sudah membuat kemajuan ketara dalam sukan lain termasuk golf, sukan elektronik (e-sukan) dan banyak lagi.
Kejayaan penganjuran Piala Dunia Qatar tidak lama dahulu juga membantu memperkasakan lagi wilayah itu dalam industri sukan di peringkat sejagat.
Bagi Saudi, kejohanan itu bukan hanya tentang bola sepak, bahkan peluang untuk menonjolkan transformasi negara mereka kepada dunia.
Seperti yang dikatakan oleh Hammad: “Kami melakukan ini untuk rakyat kami dan untuk masa depan yang lebih baik.”
“
“Saudi telah memberi jaminan bahawa mereka komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan mesra untuk semua peminat.”“
“Walaupun ada janji keterbukaan, cabaran sebenar adalah bagaimana Saudi mampu melaksanakan perubahan budaya dan sosial yang diperlukan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg