Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mesti menghentikan proses pencalonan Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.
Ini kecuali negara itu mengumumkan pembaruan besar untuk mengatasi isu hak asasi manusia sebelum pengundian pada Disember, kata Amnesty International dan Sport & Rights Alliance (SRA).
Badan induk dunia bola sepak itu menganugerahkan gelaran tuan rumah Piala Dunia 2030 kepada Maghribi, Sepanyol dan Portugal pada Oktober 2023 manakala Saudi adalah pembida tunggal untuk edisi 2034.
Amnesty dan SRA berkata mereka telah menilai strategi hak asasi manusia yang dicadangkan oleh negara pembida dan membuat kesimpulan dalam laporan baru bahawa kededua bidaan tidak menggariskan secukupnya bagaimana mereka akan memenuhi piawaian hak asasi manusia yang diperlukan oleh Fifa.
Menurut Amnesty, Saudi ialah negara dengan risiko yang tinggi dan menganjurkan kejohanan di negara Teluk itu akan membawa kepada pencabulan hak asasi manusia yang “teruk dan meluas”.
“Akan ada nyawa manusia yang perlu dikorbankan jika gelaran tuan rumah Piala Dunia 2034 dianugerahkan kepada Saudi, tanpa mendapatkan jaminan reformasi yang boleh dipercayai,” kata Steve Cockburn, ketua hak buruh dan sukan Amnesty, dalam satu kenyataan.
“Peminat akan menghadapi diskriminasi... pekerja asing akan menghadapi eksploitasi, dan ramai yang akan mati.
“Fifa mesti menghentikan proses itu sehingga perlindungan hak asasi manusia yang sewajarnya dilaksanakan untuk mengelak daripada membuat keadaan yang sudah teruk menjadi lebih parah,” tambah Cockburn.
Fifa berkata laporan penilaian bidaan untuk Piala Dunia 2030 dan 2034 akan diterbitkan menjelang Kongres Fifa pada 11 Disember.
“Fifa sedang melaksanakan proses bidaan menyeluruh untuk edisi 2030 dan 2034,” kata jurucakap Fifa.
“Ia selaras dengan proses sebelum ini untuk pemilihan tuan rumah untuk Piala Dunia Wanita 2023 di Australia dan New Zealand, Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada dan Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil.”
Tuan rumah Piala Dunia dijangka dilantik secara rasmi di Kongres Fifa dan bidaan Saudi hampir pasti akan berjaya kerana ketiadaan pencalonan daripada negara lain sebelum tarikh akhir pencalonan itu.
Punca utama yang membimbangkan ialah sama ada individu golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) akan didiskriminasikan di Saudi, di mana orang ramai boleh dihukum mati jika terbukti bahawa mereka telah melakukan perbuatan seksual sejenis.
Hammad Albalawi, ketua unit bidaan Piala Dunia Saudi, berkata pada September bahawa peminat LGBTQ dialu-alukan dan privasi mereka akan dihormati, menunjuk kepada berjuta-juta peminat yang telah melancong ke negara itu untuk acara sukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami komited untuk memupuk lingkungan persaingan yang bebas daripada diskriminasi, dan berusaha untuk menghapuskan diskriminasi terhadap masyarakat terpinggir,” kata Saudi dalam buku bidaan Piala Dunianya.
“Bekerjasama dengan rakan kongsi kerajaan, kami akan mengesahkan bahawa undang-undang kami sejajar dengan komitmen antarabangsa kami dan melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.”
Buku bidaan Saudi menyatakan 15 stadium akan dibina atau diubah suai untuk Piala Dunia, dengan pembinaan dijangka siap menjelang 2032.
Cockburn berkata Saudi memerlukan bekalan tenaga kerja asing yang melimpah untuk mewujudkan impian Piala Dunianya, di mana pihak kerajaan tidak menetapkan gaji minimum untuk pekerja asing mahupun memperkenalkan langkah untuk mencegah kematian pekerja.
Ia serupa dengan kematian pekerja di Qatar, yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, ketika membina stadium baru untuk acara sukan itu.
Akhbar Guardian melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 6,500 pekerja asing telah meninggal dunia di Qatar selepas ia memenangi hak untuk mengadakan acara itu, tetapi jumlah itu dipertikaikan oleh negara Teluk.
“Kami berdedikasi untuk menegakkan komitmen kami mengenai buruh paksa, buruh kanak-kanak, tanpa diskriminasi dan menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Kami akan berusaha untuk memastikan rakan kongsi kami mematuhi piawaian ini,” kata Saudi dalam buku bidaannya. – Agensi berita.
Laporan Amnesty juga mengatakan bahawa isu penindasan kebebasan bersuara juga turut membimbangkan, dengan Cockburn berkata tidak ada komitmen serius untuk melakukan pembaharuan.
“Strategi hak asasi manusia Saudi tidak menangani penindasan teruk kerajaan terhadap kebebasan bersuara dan pendakwaan atas individu yang telah dijatuhkan hukuman penjara selama beberapa dekad hanya kerana menyuarakan pendapat mereka,” kata Cockburn.
Saudi membelanjakan anggaran berbilion untuk mengubah imej globalnya daripada negara yang terkenal dengan sekatan agama yang ketat dan pelanggaran hak asasi manusia kepada hab pelancongan dan hiburan.
Bagaimanapun, ia hampir gagal memenangi kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bulan lepas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg