KAHIRAH: Ketika rakyat Palestin di Gaza cuba mencari perlindungan ketika Israel melancarkan serangan sebagai tindakan balas terhadap serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober, timbul persoalan mengapa negara jiran Mesir dan Jordan tidak menerima mereka.
Kedua-dua negara – yang diapit Israel di sisi bertentangan dan berkongsi sempadan dengan Gaza dan Tebing Barat yang diduduki – masing-masing telah menjawab dengan penolakan keras.
Jordan sudah mempunyai pelarian Palestin yang ramai.
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sissi, dalam kenyataan paling keras pada Rabu, menyatakan perang semasa bukan hanya bertujuan untuk memerangi Hamas yang memerintah Jaluran Gaza, “malah juga percubaan untuk mendorong penduduk awam untuk ... berhijrah ke Mesir.”
Beliau memberi amaran ini boleh merosakkan keamanan di rantau itu.
Raja Jordan Abdullah II memberikan mesej yang sama sehari sebelumnya, dengan berkata: “Tiada pelarian di Jordan, tiada pelarian di Mesir.”
Kemarahan membuak-buak dan semakin meluas apabila peperangan berterusan dan belum nampak noktahnya.
Lebih 1,400 orang terbunuh dan kira-kira 200 ditangkap sebagai tebusan dalam serangan berbilang barisan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh kumpulan Hamas.
Keengganan kedua-dua negara itu berakar umbi daripada kebimbangan bahawa Israel mahu memaksa pengusiran kekal rakyat Palestin ke negara mereka dan membatalkan tuntutan Palestin untuk kenegaraan.
Encik el-Sissi juga berkata pergerakan besar-besaran akan berisiko membawa militan ke Semenanjung Sinai Mesir, dari mana mereka mungkin melancarkan serangan ke atas Israel, membahayakan perjanjian damai 40 tahun kedua-dua negara.
Perpindahan telah menjadi tema utama sejarah Palestin.
Dalam perang 1948, dianggarkan 700,000 rakyat Palestin telah diusir atau melarikan diri dari apa yang kini dikenali sebagai Israel.
Rakyat Palestin merujuk peristiwa itu sebagai Nakba, bahasa Arab untuk ‘malapetaka’.
Dalam perang Timur Tengah 1967, apabila Israel merampas Tebing Barat dan Jaluran Gaza, 300,000 lagi rakyat Palestin melarikan diri, kebanyakannya ke Jordan.
Pelarian dan keturunan mereka kini berjumlah hampir enam juta, kebanyakannya tinggal di kem dan komuniti di Tebing Barat, Gaza, Lebanon, Syria dan Jordan.
Diaspora telah merebak lebih jauh, dengan ramai pelarian membina kehidupan di negara-negara Teluk Arab atau Barat.
Selepas pertempuran dihentikan dalam perang 1948, Israel enggan membenarkan pelarian pulang ke rumah mereka.
Sejak itu, Israel telah menolak tuntutan Palestin untuk mengembalikan pelarian sebagai sebahagian daripada perjanjian damai, dengan alasan ia akan mengancam majoriti Yahudi di negara itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg