KAHIRAH: Beribu-ribu orang di Gaza telah berkumpul di persimpangan sempadan Rafah dengan Mesir, ketika usaha diplomatik terus dibuat bagi membukanya sebelum Israel dijangka memulakan serangan darat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata belum ada kemajuan dalam rundingan mengenai pembukaan semula lintasan Rafah itu.
Kahirah menyalahkan Israel kerana “tidak memberi kerjasama sewajarnya”.
Semua laluan keluar dari Gaza ditutup, kerana Israel meneruskan serangan udaranya sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, tiba di Israel pada Isnin untuk kali kedua dalam masa kurang seminggu.
Selepas lawatannya ke enam negara Arab di Timur Tengah, beliau kembali ke Israel dalam usaha mendesak membuka semula lintasan Rafah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dan memindahkan pemegang pasport asing.
Kedua-dua Encik Blinken dan Setiausaha Luar United Kingdom, Encik James Cleverly berkata mereka bekerjasama dengan Israel, Mesir dan “suara politik terkemuka lain di rantau ini” untuk buka semula lintasan itu.
Tentera Israel mengarahkan sekatan ke atas Gaza dan memutuskan bekalan air, makanan dan bahan api minggu lalu sebelum melancarkan gelombang serangan udara sebagai membalas serangan maut Hamas ke atas Israel di mana kumpukan itu menyerang masyarakat, menculik orang awam dan tentera serta membunuh lebih 1,400 orang.
Pada pagi Isnin, beribu-ribu orang awam dilihat bergegas ke persimpangan Rafah berikutan laporan bahawa ia akan dibuka semula buat sementara waktu semasa gencatan senjata ringkas pada Isnin.
Kedua-dua Israel dan Hamas dengan pantas menafikan bahawa sebarang perjanjian sedemikian telah dibuat.
Seorang wartawan di selatan Gaza mengesahkan serangan udara telah melanda kawasan sekitar lintasan tersebut, merosakkan sebuah bangunan.
Israel telah menyerang kawasan sekitar persimpangan Rafah sekurang-kurangnya tiga kali sejak ia memulakan serangan udaranya di Gaza.
Lintasan itu mewakili satu-satunya titik keluar dari Gaza manakala pengepungan Israel terhadap pintu masuk lain ke wilayah yang dikuasai Hamas diteruskan.
Berpuluh-puluh lori yang membawa bahan api dan bekalan bantuan kekal di sebelah Mesir di persimpangan Rafah, menunggu kebenaran untuk masuk, ketika masalah kemanusiaan di Gaza semakin memburuk.
Israel berkata kepungan tidak akan berakhir sehingga Hamas membebaskan semua tebusannya.
Pihak Israel percaya 199 orang ditahan di Gaza, meningkat daripada anggaran awal 155 orang.
Kira-kira 2,750 orang telah terkorban di Gaza sejak serangan Hamas dan lebih sejuta orang telah kehilangan tempat tinggal.
“Terdapat keperluan mendesak untuk mengurangkan penderitaan orang awam Palestin di Gaza,” kata Menteri Luar Mesir, Encik Sameh Shoukry, pada pagi Isnin, sambil menambah bahawa perbincangan dengan Israel tidak membuahkan hasil. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg