GAZA: Dalam suasana ketegangan perang yang masih menyelubungi Gaza, rakyat Palestin semakin hilang harapan kepada siapa pun yang rasmi memenangi kerusi presiden Amerika Syarikat.
Mereka berpendapat bahawa hasil pilihan raya Amerika pada 5 November tidak akan memberi sebarang perubahan ketara dalam dasar Washington yang dianggap terus menyokong Israel dari sudut politik dan ketenteraan.
Kedua-dua calon – Cik Kamala Harris daripada Parti Demokrat dan mantan Presiden Donald Trump daripada Parti Republikan – dilihat sama sahaja oleh rakyat Palestin, yang berasa Amerika akan terus memihak kepada kepentingan Israel di sebalik kesengsaraan di Gaza.
Pada 6 November, Encik Trump dilaporkan memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika dengan meraih lebih 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk kembali ke Rumah Putih.
Sejak tercetusnya serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, angka kematian semakin membimbangkan, dengan lebih 43,100 mangsa terkorban, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Berlatarkan keadaan itu, rakyat Palestin berasa Amerika memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan kedudukan Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Encik Mahmoud Nawajaa, penyelaras Jawatankuasa Nasional bagi pergerakan oleh Palestin untuk Boikot, Jual Aset dan Sekat (BDS), menyatakan bahawa dasar Amerika adalah penyebab utama kematian dan kemusnahan itu.
“Genosid yang sedang berlaku ke atas rakyat kami di Gaza serta jenayah lain di Palestin dan Lebanon tidak mungkin berlaku tanpa sokongan Amerika,” ujarnya dalam satu temu bual dengan agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi.
Encik Nawajaa turut menyifatkan Israel sebagai “ketua projek imperialis” di Timur Tengah, yang disokong sepenuhnya oleh Amerika.
Beliau yakin tiada sebarang perubahan akan berlaku dalam dasar Amerika walau siapa pun yang disahkan menang pada pilihan raya ini.
“Pentadbiran Amerika ialah sekutu dan rakan kongsi dalam jenayah genosid yang berlaku,” tegasnya, yang menambah bahawa seluruh wilayah Arab perlu bersatu untuk menekan kuasa kolonial yang menyokong dasar Israel.
Senada dengan Encik Nawajaa, penyelaras kempen Tembok Anti-Apartheid Palestin, Encik Jamal Juma, menyatakan ketidakpercayaan penuh beliau terhadap pilihan raya Amerika.
“Selama bertahun-tahun, kedua-dua parti Amerika telah membuktikan bahawa mereka adalah dua muka syiling yang berbeza tetapi sebenarnya sama,” ujar Encik Juma.
Beliau juga menganggap golongan Zionis mengawal dasar Amerika melalui penguasaan mereka terhadap sektor kewangan dan media, seperti yang terbukti ketika pentadbiran Encik Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel pada 2017.
“Malah, Presiden Joe Biden telah melakukan sesuatu yang lebih buruk dengan terus-menerus memberikan pewajaran terhadap genosid yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau menekankan bahawa isu utama yang dihadapi rakyat Palestin ialah sikap Amerika yang dianggap rasialis dan tidak berperikemanusiaan terhadap perjuangan Palestin.
“Amerika menunjukkan kecenderungan yang berat sebelah terhadap Israel dan tiada satu pun pentadbiran yang benar-benar peduli terhadap hak asasi rakyat Palestin,” tambah Encik Juma.
Aktivis politik Palestin, Encik Omar Assaf, turut menyuarakan kekecewaannya terhadap apa jua keputusan pilihan raya Amerika.
Baginya, harapan rakyat Palestin terhadap perubahan dasar Amerika hanyalah satu ilusi.
Encik Assaf menjelaskan: “Amerika beroperasi melalui institusi yang berat sebelah dan jelas memihak kepada Israel.”
Beliau menambah bahawa “Amerika ialah sekutu utama Israel dalam genosid dengan menyediakan pesawat dan bom, malah kedua-dua calon berlumba-lumba menawarkan sokongan paling besar kepada rejim pendudukan ini”.
Menurut Encik Assaf, Palestin perlu bergantung kepada kekuatan dan daya tahan rakyatnya sendiri, bukan kepada hasil pilihan raya Amerika.
“Mereka akan terus menyokong serangan Israel dan tidak akan teragak-agak memberi perlindungan politik kepada tindakan tersebut,” katanya.
Serangan Israel ke atas Gaza baru-baru ini telah memperlihatkan ‘wajah sebenar’ Amerika, kata seorang jurutera Palestin, Encik Osama Abdel Karim.
Beliau yakin bahawa rakyat Palestin tidak akan bergantung kepada mana-mana calon dalam pilihan raya Amerika.
“Setiap pentadbiran Amerika, sama ada daripada Parti Republikan atau Demokrat, tetap mempunyai dasar menyokong Israel secara politik dan ketenteraan serta menyediakan pelindungan di platform antarabangsa.
“Kami tidak bergantung pada pilihan raya ini,” jelas Encik Abdel Karim.
Bagi sesetengah rakyat Palestin, sokongan Amerika terhadap pendudukan Israel bukan sahaja di Gaza, malah juga di Tebing Barat, adalah bukti bahawa Amerika ialah rakan kongsi utama dalam konflik ini.
“Sokongan Amerika terhadap pembinaan petempatan dan proses pengesahan Baitulmakdis menunjukkan bahawa mereka langsung tidak peduli terhadap tuntutan Palestin,” tambahnya.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh pelajar universiti, Cik Obadah Muhaysen, dari Bethlehem di Palestin.
Beliau melihat peperangan di Gaza sebagai bukti jelas bahawa Amerika tidak tekal dengan nilai moral dan hak asasi manusia yang selalu dilaungkan.
“Perang Israel di Gaza, yang mendapat dana Amerika telah menyingkap wajah sebenar negara itu.
“Saya tidak fikir ada rakyat Palestin atau Arab yang masih mengharapkan sesuatu yang positif daripada pentadbiran Amerika,” katanya.
Ahli politik dan penganalisis Palestin yang dihormati, Dr Mustafa Barghouti, menyatakan bahawa ramai rakyat Palestin kini semakin pesimis tentang janji kosong Amerika.
“Secara keseluruhan, Demokrat dianggap buruk, tetapi jika Trump sah menang, ia akan menjadi lebih buruk.” ujar Dr Barghouti kepada BBC.
Beliau turut mengulas bahawa satu-satunya perbezaan yang mungkin adalah jika Cik Harris menang, beliau mungkin lebih sensitif terhadap perubahan pendapat awam Amerika, yang semakin mendesak untuk gencatan senjata.
Namun, beliau menegaskan bahawa isu penubuhan negara Palestin yang merdeka masih jauh daripada agenda utama Amerika.
“Isu negara Palestin hanyalah satu slogan kosong yang tidak pernah dijadikan realiti,” katanya.
Pandangan rakyat Palestin terhadap pilihan raya Amerika ini penuh dengan kekecewaan dan rasa tidak percaya.
Dengan rekod sokongan Amerika terhadap Israel yang dilihat tidak pernah berkurang, mereka semakin sedar bahawa hanya perjuangan dalaman yang boleh membawa perubahan terhadap nasib mereka.
Ramai yang kini beralih tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Arab dan peringkat sejagat tentang kezaliman yang berlaku, dengan harapan bahawa tekanan antarabangsa yang lebih kuat dapat mengubah pandangan dan dasar kuasa-kuasa besar terhadap Palestin. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg