RAMALLAH: Pilihan raya majlis perbandaran Palestin yang berlangsung pada 25 April lalu memberi isyarat penting bahawa ruang politik Palestin sedang melalui perubahan, walaupun masih dibayangi perang, krisis kemanusiaan dan perpecahan lama antara kelompok utama.

Bagi ramai rakyat Palestin, undian kali ini bukan sekadar memilih wakil tempatan.

Ia menjadi peluang untuk menyuarakan harapan terhadap pentadbiran yang lebih bertanggungjawab, lebih dekat dengan keperluan rakyat dan lebih bersedia membina semula kehidupan selepas tempoh konflik yang panjang.

Media Al-Ain dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan bahawa pilihan raya itu merupakan ujian pilihan raya pertama sejak perang Gaza bermula.

Pusat mengundi dibuka pada pagi 25 April di Tebing Barat dan di beberapa kawasan tengah Gaza, termasuk Deir al-Balah.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat di Ramallah, kira-kira 1.5 juta pengundi di Tebing Barat layak membuang undi, selain sekitar 70,000 pengundi di kawasan Deir al-Balah, tengah Gaza.

Aktivis politik Palestin, Encik Samer Sinijlawi, menyifatkan suasana di Ramallah sebagai bukti keinginan rakyat untuk terlibat dalam proses demokrasi masih ada.

“Bagi ramai rakyat Palestin, ini lebih daripada sekadar undi majlis perbandaran. Ia adalah detik yang lama dinanti-nantikan,” katanya.

Menurut beliau, selepas bertahun-tahun tanpa pilihan raya nasional, tindakan mengundi membawa makna yang jauh lebih besar daripada pentadbiran tempatan.

“Ia mencerminkan keinginan mendalam rakyat untuk didengar, untuk mengambil bahagian, dan untuk membentuk masa depan melalui institusi, bukan slogan,” ujarnya.

Beliau berkata orang ramai yang beratur untuk mengundi di Ramallah bukan sahaja memilih majlis bandaran, bahkan menyampaikan tuntutan lebih luas terhadap perwakilan, kebertanggungjawapan dan perubahan.

“Apabila rakyat sanggup beratur untuk mengundi, walaupun kecewa dan berdepan kebuntuan politik, ia menunjukkan keyakinan terhadap kehidupan sivik masih wujud. Itu mungkin perkembangan paling penting,” katanya.

Rakyat Palestin tidak mengadakan pilihan raya legislatif sejak 2006.

Selepas pilihan raya itu, Hamas mengambil alih Gaza, manakala Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, terus memegang kuasa di Tebing Barat.

Sejak itu, pilihan raya sering tertangguh.

PA sering menangguhkan pilihan raya dengan alasan Hamas tidak membenarkan proses pengundian dijalankan di Gaza.

Pada masa yang sama, Hamas pula mahu pilihan raya diadakan di Tebing Barat, kerana kawasan itu berada di bawah pentadbiran PA, tetapi tidak membuka ruang yang sama di Gaza yang dikuasainya sejak 2007.

Isu Baitulmakdis Timur juga sering menjadi alasan penting, dengan pihak Palestin mendakwa Israel menghalang pengundian di kawasan tersebut.

Dalam keadaan pilihan raya nasional tidak diadakan, pilihan raya tempatan dan pemilihan wakil pelajar di universiti sering dijadikan petunjuk tidak rasmi untuk menilai arah sokongan rakyat, khususnya generasi muda, terhadap Fatah, Hamas, calon bebas dan kelompok politik lain.

Menurut Al-Ain, kebanyakan senarai calon dalam pilihan raya kali ini berkait dengan Fatah atau calon bebas, manakala tiada senarai yang dikaitkan secara langsung dengan Hamas.

Senarai lain turut melibatkan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin, sebuah gerakan berhaluan kiri.

Namun, tidak semua rakyat melihat pilihan raya itu dengan keyakinan penuh.

Seorang sumber di Tulkarm memberitahu agensi berita, AFP, bahawa sama ada calon bebas atau parti, ia tidak banyak mengubah keadaan bandar.

“Pendudukan adalah pihak yang memerintah Tulkarm. Apa yang berlaku hanya gambaran untuk media antarabangsa, seolah-olah kami mempunyai pilihan raya, negara atau kemerdekaan,” katanya.

Salah satu aspek paling penting adalah pilihan raya itu turut berlangsung di sebahagian Gaza, khususnya Deir al-Balah di kawasan tengah.

Kawasan itu antara sedikit tempat di Gaza yang penduduknya tidak berpindah secara besar-besaran sepanjang perang.

Di Deir al-Balah, pilihan raya berlangsung dalam keadaan luar biasa.

Banyak bangunan rosak atau musnah, menyebabkan pusat mengundi didirikan dalam khemah sementara di kawasan terbuka.

Seorang penduduk, Encik Badwan, menyifatkan hari pengundian itu sebagai detik yang menggembirakan, terutama bagi generasi muda yang tidak pernah rasai pengalaman mengundi.

“Saya sangat gembira hari ini, kerana ini benar-benar satu perayaan demokrasi Palestin.

“Banyak generasi telah dinafikan peluang ini selama lebih 21 tahun, dan hari ini anak perempuan saya mengundi buat kali pertama,” katanya kepada Al Jazeera.

Baginya, kepentingan pilihan raya itu memberi peluang kepada rakyat Gaza untuk mencapai perubahan melalui cara aman dan demokratik.

“Kita mesti mengubah segala-galanya melalui peti undi. Sesiapa yang menang, itu hak mereka, tetapi bukan melalui pewarisan. Perubahan mesti berada di tangan rakyat,” tambahnya.

Namun, beliau mengakui keadaan Deir al-Balah kekal rumit.

Bandar itu kini menjadi tempat perlindungan ratusan ribu penduduk yang dipindahkan dari seluruh Gaza, sekali gus memberi tekanan besar kepada air, sistem kumbahan, pengurusan sisa dan kemudahan awam.

“Kami mahu pasukan majlis perbandaran yang sangat kuat, tidak berpihak kepada mana-mana kelompok, dan mampu mendapatkan sokongan negara penderma serta memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Anak perempuan Encik Badwan, Cik Dunia Salma, 18 tahun, yang merupakan pelajar tahun pertama kejururawatan di Universiti Al-Aqsa, tidak menyembunyikan kegembiraannya selepas mengundi buat kali pertama.

“Saya sangat gembira kerana dapat mengundi di negara dan bandar saya, Deir al-Balah, dan akhirnya dapat mengambil bahagian serta mempunyai suara seperti generasi saya yang lain,” katanya.

Cik Dunia berkata beliau memilih senarai calon yang banyak dianggotai golongan muda kerana percaya mereka lebih mampu membawa pendekatan cekap dalam pentadbiran bandar.

“Keadaan bandar selepas perpindahan penduduk sangat tidak stabil. Kebersihan, jalan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan semuanya dalam keadaan sangat buruk,” katanya.

Beliau berharap pilihan raya itu dapat membantu memulihkan sekolah, menyediakan tempat tinggal alternatif untuk penduduk yang dipindahkan dan memperbaiki perkhidmatan asas.

“Kami mahu keadaan kembali seperti dahulu. Sekolah harus kembali kepada pelajar, bukan menjadi tempat perlindungan, hospital mesti diperbaiki dan jalan raya mesti dibersihkan,” katanya.

Penyelaras daerah pilihan raya Deir al-Balah, Encik Mohammad Abu Nada, berkata proses itu “lahir daripada ketiadaan” kerana kemudahan amat terhad.

Menurut beliau, kebanyakan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan, manakala bahan pilihan raya yang biasanya dibawa dari Ramallah tidak dibenarkan masuk ke Gaza.

Peti undi, cop, kertas dan bahan kempen terpaksa disediakan secara tempatan.

“Kami terpaksa bergantung kepada kemampuan tempatan. Peti undi direka dan dibuat di Deir al-Balah sendiri, dan ia berfungsi sepenuhnya,” kata beliau.

Dakwat pilihan raya juga tidak tersedia.

Sebaliknya, pihak penganjur menggunakan dakwat yang pernah digunakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam kempen vaksinasi.

“Kami mengujinya, dan ia kekal di jari selama beberapa hari serta berfungsi dengan baik,” katanya.

Walaupun harga barangan meningkat berlipat ganda, petugas pilihan raya terus bekerja siang dan malam untuk memastikan proses berjalan.

“Hari ini, di hadapan semua orang, kami melaksanakan hak pilihan raya kami walaupun dalam semua keadaan ini. Itu sendiri satu kejayaan,” katanya.

Pilihan raya tersebut tidak menyelesaikan semua persoalan politik Palestin.

Ia tidak serta-merta menamatkan perpecahan antara Hamas dengan Fatah, tidak menghapuskan kemusnahan akibat perang, dan tidak memberi jawapan mudah kepada masa depan Gaza.

Namun, dari sudut politik, ia memberi isyarat positif bahawa rakyat Palestin masih melihat institusi awam, pengundian dan pentadbiran tempatan sebagai jalan untuk membina semula kehidupan.

Bagi Deir al-Balah, pilihan raya itu ialah langkah kecil dalam keadaan yang amat sukar.

Tetapi dalam masyarakat yang terlalu lama hidup dalam perang, perpindahan dan kekecewaan politik, langkah kecil itu tetap membawa makna besar.

Seperti kata Encik Abu Nada, “Mudah-mudahan, ini adalah langkah pertama di jalan yang lebih panjang.” – Agensi berita