Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta kebal Israel gempur Gaza, penduduk lapor serangan besar

Berpuluh maut, pasukan kecemasan tidak dapat sampai kepada mereka kerana serangan berterusan
Jul 8, 2024 | 8:11 PM
Kepulan asap kelihatan di bandar Gaza sedang Israel melancarkan serangan udara.
Kepulan asap kelihatan di bandar Gaza sedang Israel melancarkan serangan udara. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Tentera Israel menggempur bandar Gaza pada awal 8 Julai, dengan mengerah angkatan kereta kebal ke tengah bandar dari arah berbeza dalam apa yang dikatakan penduduk sebagai salah satu serangan paling berat sejak 7 Oktober.

Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza berkata ia percaya berpuluh-puluh orang terbunuh, tetapi pasukan kecemasan tidak dapat sampai kepada mereka kerana serangan berterusan di Daraj dan Tuffah di timur dan Tel Al-Hawa, Sabra dan Rimal di lebih jauh ke barat.

Kereta kebal Israel setakat ini ditempatkan di beberapa kawasan Tel Al-Hawa dan Sabra tetapi tidak maju jauh ke tiga daerah lain, yang menurut penduduk dibom sepanjang malam hingga awal pagi.

Beberapa bangunan bertingkat musnah, tambah mereka.

Sebuah kereta kebal Israel mara, memaksa orang ramai pergi ke arah jalan barat berhampiran Mediterranean, menurut penduduk.

“Musuh di belakang kita dan laut di hadapan kita. Ke mana kita akan pergi?” kata Encik Abdel-Ghani, seorang penduduk di Bandar Gaza, yang tidak memberikan nama penuhnya.

“Peluru kereta kebal dan peluru berpandu dari pesawat jatuh di jalan raya dan rumah seperti api dari gunung berapi. Orang ramai berlari ke semua arah dan tiada siapa tahu ke mana hendak pergi,” katanya kepada agensi berita Reuters menerusi sebuah aplikasi sembang.

Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan ia telah melancarkan operasi terhadap prasarana pemberontak di Jaluran Gaza, dan ia telah mengeluarkan lebih 30 anggota kumpulan yang menimbulkan ancaman kepada tentera Israel.

Serangan baru Israel itu berlaku sedang Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat meningkatkan usaha sebagai pengantara bagi satu perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan penguasa Hamas Palestin, sedang perang Gaza memasuki bulan ke-10.

Penduduk Gaza berkata kereta kebal mara dari sekurang-kurangnya tiga arah dan sampai ke tengah-tengah Bandar Gaza, disokong oleh tembakan berat Israel dari udara dan darat.

Itu memaksa beribu-ribu orang keluar dari rumah mereka untuk mencari tempat perlindungan lebih selamat, yang bagi kebanyakan orang mustahil ditemui, dan ada yang tidur di tepi jalan.

Pakar perubatan di Hospital Al-Ahli Arab Baptist di Bandar Gaza terpaksa memindahkan pesakit ke Hospital Indonesia yang sudah sesak dan kurang kelengkapan di utara Jaluran Gaza, kata pegawai kesihatan Palestin.

Tentera Israel berkata ia memberi amaran kepada orang awam tentang operasinya, dan laluan akan dibuka supaya orang awam boleh berpindah dari kawasan terjejas.

Ia berkata anggota Hamas dan kumpulan sekutunya, Jihad Islam, bersembunyi di sebalik prasarana awam untuk menyerang tentera Israel.

Briged Syuhada Fatah Al-Aqsa Palestin berkata ia melepaskan bom mortar terhadap tentera Israel semasa serbuan di barat daya Bandar Gaza.

Peperangan itu tercetus pada 7 Oktober apabila anggota Hamas, yang mengawal Gaza, menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan mengambil kira-kira 250 tebusan.

Lebih 38,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel, menurut pegawai kesihatan Gaza.

Harapan dalam kalangan penduduk Gaza untuk berhenti seketika dalam pertempuran itu kembali pulih selepas Hamas menerima bahagian penting dalam cadangan gencatan senjata Amerika, mendorong seorang pegawai dalam pasukan perunding Israel berkata ada peluang sebenar untuk mencapai perjanjian.

Hamas telah menggugurkan tuntutan supaya Israel terlebih dahulu melakukan gencatan senjata kekal sebelum ia menandatangani perjanjian.

Sebaliknya, kumpulan militan itu berkata ia akan membenarkan rundingan mencapai perkara tersebut sepanjang fasa pertama enam minggu, sumber Hamas memberitahu Reuters pada 6 Julai.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bagaimanapun, menegaskan perjanjian itu tidak boleh menghalang Israel meneruskan pertempuran hingga matlamat perangnya tercapai.

Matlamat itu ditakrifkan pada permulaan perang sebagai membongkar keupayaan tentera dan pemerintahan Hamas, serta mengembalikan tebusan Israel. – Reuters.

Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, berkata pada 8 Julai adalah satu kesilapan besar untuk menghentikan serangan Israel sekarang.

Encik Smotrich, yang mengetuai parti propeneroka yang merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintah Encik Netanyahu, menulis di platform media sosial X:

“Hamas semakin runtuh dan memohon gencatan senjata. Inilah masanya untuk memerah leher mereka hingga kita hancurkan dan pecahkan musuh.

Jika kita berhenti sekarang, sebelum tamat, dan biarkan ia pulih dan melawan kita semula, ia adalah satu kebodohan yang tidak masuk akal.”

Pengarah Agensi Risik Pusat Amerika Syarikat (CIA), Encik William Burns, akan bertemu Perdana Menteri Qatar dan ketua perisikan Israel dan Mesir pada 10 Julai di Doha, kata sumber yang mengetahui isu itu, yang meminta tidak dikenal pasti lebih lanjut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg