Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta kebal Israel gempur lebih dalam ke Rafah

May 15, 2024 | 12:54 PM
Gaza
Tentera Israel dilaporkan mengebom timur Rafah pada 13 Mei sebagai sebahagian daripada operasi kententeraan untuk menghapuskan Hamas di Gaza. - Foto AFP

KAHIRAH: Kereta-kereta kebal Israel menggempur lebih dalam ke Rafah sehingga dekat dengan beberapa kawasan perumahan di bandar sempadan selatan Gaza dan tenteranya mengepung utara kawasan itu ekoran serangan paling sengit dalam beberapa bulan.

Sekutu antarabangsa Israel dan kumpulan bantuan kemanusiaan telah berulang kali memberi amaran terhadap pencerobohan darat ke Rafah – tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung.

Namun, Israel tetap meneruskan rancangannya atas alasan empat batalion Hamas bersembunyi di Rafah yang mesti ia tumpaskan.

Rumah Putih berkata penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, Encik Jake Sullivan, akan melawat Israel dan Arab Saudi hujung minggu ini.

Pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, enggan mengulas mengenai laporan Axios bahawa Israel bersetuju untuk tidak meluaskan operasi di Rafahnya dengan ketara sebelum lawatan Encik Sullivan.

Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata Israel berjanji tidak akan melakukan langkah besar di Rafah tanpa memaklumkan Washington.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, mendakwa pihaknya telah membunuh kira-kira 100 militan Hamas dan menemui 10 laluan terowong dan banyak senjata di Rafah sejak permulaan operasi seminggu lalu.

Pertempuran semakin sengit dilaporkan di beberapa kawasan lain di seluruh Jaluran Gaza termasuk di utara – dengan tentera Israel kembali ke kawasan itu yang ia dakwa telah membongkar Hamas pada 14 Mei.

Penduduk mendakwa pertempuran pada 14 Mei adalah yang paling sengit dalam beberapa bulan.

“Kami beroperasi dengan penuh tekad di ketiga-tiga bahagian Jaluran Gaza. Pasukan dari udara, darat dan laut menyerang sasaran Hamas secara serentak,” kata Laksamana Muda Hagari, merujuk kepada utara, tengah dan selatan wilayah itu.

Menurut pegawai kasihatan Gaza, angka kematian rakyat Palestin dalam perang itu kini telah melepasi 35,000.

Pertempuran sengit dilaporkan berlaku di Jabalia, utara Gaza.

“Ramai orang terperangkap di kem mereka,” kata Encik Nasser, 57 tahun, ayah kepada enam anak, melalui telefon.

Israel membunuh kira-kira 80 anggota Hamas dan memusnahkan pelancar roket dan kemudahan menghasilkan senjata di tengah-tengah Jabalia, kata Encik Hagari sambil menambah 13 askar Israel cedera empat daripadanya parah, dalam pertempuran pada 14 Mei.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, berkata rundingan gencatan senjata yang berlangsung baru-baru ini telah menemui jalan buntu.

Sementara itu, Encik Biden menggesa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya tidak menyerang Rafah tanpa perlindungan untuk orang awam.

Minggu lalu, Amerika telah menangguhkan penghantaran bom ke Israel.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mengecam peningkatan Israel di Rafah dan serangan roket Hamas yang sewenang-wenangnya di sana, kata jurucakapnya.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Al Qassam, berkata ia telah memusnahkan sebuah kapal pengangkut tentera Israel di daerah Al-Salam timur, membunuh beberapa anak kapal dan mencederakan yang lain.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) menganggarkan kira-kira 450,000 orang telah meninggalkan Gaza sejak 6 Mei.

Sebahagian besar penduduk Gaza berada di ambang kebuluran dan terdesak untuk mendapatkan bahan api dan bekalan penting lain seperti ubat-ubatan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg