Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertempuran sengit di Gaza, AS beri amaran porak-peranda, pemberontakan

May 14, 2024 | 1:57 PM
Asap berkepul-kepul di ruang angkasa selepas tentera Israel melakukan pengeboman di timur Rafah pada 13 Mei.
Asap berkepul-kepul di ruang angkasa selepas tentera Israel melakukan pengeboman di timur Rafah pada 13 Mei. - Foto AFP

BANDAR GAZA: Israel memerangi Hamas di Gaza termasuk di selatan Rafah, di sebalik amaran Amerika Syarikat terhadap pencerobohan besar-besaran Israel ke atas bandar yang sesak itu dan ancaman berlakunya hura-hara atau pemberontakan selepas perang.

Pertempuran juga berlaku di utara dan tengah Gaza ketika Israel menyambut Hari Peringatan yang suram, diikuti dengan Hari Kemerdekaan bermula pada malam 13 Mei.

Rakyat Israel bertafakur seketika dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berikrar bahawa “perang kemerdekaan kita belum berakhir. Ia berterusan sehingga hari ini... kami berazam untuk memenangi perjuangan ini”.

Wartawan agensi berita AFP di Gaza melaporkan serangan helikopter dan bedilan artileri di timur Rafah, serta pertempuran di kem pelarian Jabalia di utara Gaza dan kejiranan Zeitun di Bandar Gaza.

Israel minggu lalu mengingkari amaran termasuk daripada sekutu utama Washington yang menghentikan penghantaran bekalan bom dengan mengerahkan kereta kebal dan tentera ke timur Rafah untuk memburu kumpulan militan Hamas.

Bandar di sempadan Mesir itu menjadi tempat perlindungan 1.4 juta rakyat Palestin tetapi operasi ketenteraan Israel mencetuskan penghijrahan hampir 360,000 orang dari Rafah setakat ini, kata Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA).

Agensi itu memberi amaran bahawa “tiada tempat yang selamat” di wilayah itu, kebanyakannya telah menjadi padang jarak padang terkukur.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata pada 12 Mei bahawa Washington tidak melihat sebarang rancangan Israel untuk melindungi orang awam di Rafah dan “kami juga tidak melihat rancangan apa yang berlaku sehari selepas perang di Gaza berakhir”.

“Israel berada di persimpangan, berpotensi mewarisi pemberontakan oleh ramainya baki kumpulan Hamas bersenjata, atau jika ia berundur, kekosongan yang wujud bakal dipenuhi keadaan huru-hara dan mungkin diisi semula oleh Hamas,” katanya kepada stesen NBC.

Israel sebelum ini mengisytiharkan struktur perintah Hamas telah dibongkar tetapi seorang jurucakap tentera Israel berkata terdapat “percubaan oleh Hamas untuk membina semula keupayaan ketenteraannya”.

“Tentera menebarkan risalah dan mesej pada telefon bimbit memberi amaran kepada penduduk supaya segera meninggalkan kem pelarian Jabalia”, kata seorang pelarian Palestin, Cik Umm Adi Nassar, selepas tiba di Bandar Gaza.

Sayap bersenjata Hamas, briged Ezzedine al-Qassam, berkata kumpulannya terlibat dalam pertempuran darat di Rafah dan Jabalia.

PBB berkata pada 13 Mei bahawa seorang anggota perkhidmatan keselamatannya terbunuh dan seorang lagi cedera “apabila kenderaan PBB diserang ketika dalam perjalanan ke Hospital Eropah di Rafah”.

Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 dan menawan 240 tebusan.

Pengeboman dan serangan Israel di Gaza sehingga kini telah membunuh sekurang-kurangnya 35,091 orang. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg