RAFAH: Keluarga Cik Mai Anseir segera memuatkan barang-barang keperluannya di atas kereta dengan tujuan menyelamatkan diri sebelum serangan darat Israel di Rafah.
Seperti beliau, lebih sejuta penduduk Gaza yang menyangka mereka akan selamat di tempat perlindungan terakhir di Rafah itu terpaksa berpindah lagi akibat asakan tentera Israel.
Cik Anseir dan keluarga besarnya seramai 25 orang – yang sudah tiga kali berpindah bagi menghindari pengeboman Israel – berkata bahawa mereka kehabisan pilihan ketika tentera Israel semakin hampir ke tempat perlindungan mereka.
“Kami tidak boleh tinggal lagi di tempat ini kerana tiada perkhidmatan, tiada air, tiada elektrik... tiada kehidupan dan keadaan amat menyedihkan,” katanya ketika ditemui di bangunan bekas sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat perlindungan keluarganya sejak beberapa bulan lalu.
Israel mengarahkan penduduk keluar dari timur Rafah minggu lalu, dan melanjutkan perintah itu ke kawasan tengah bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kereta-kereta kebal Israel kini telah menutup Salahuddin Road – jalan raya utama yang memisahkan daerah timur dan tengah Rafah.
Dengan arahan pemindahan dan pertempuran yang berlaku, hospital segera ditutup dan bekalan bantuan terputus. Penduduk menyatakan mereka tidak tahu ke mana mereka harus pergi.
Cik Anseir berkata beliau memerlukan susu dan rawatan perubatan untuk anaknya yang menghidap penyakit jantung tetapi tidak boleh mendapatkannya lagi.
“Hidup dan mati kini sama. Kami berharap akan ada ketenteraman nanti. Kami hanya bergantung kepada belas ihsan badan-badan kemanusiaan,” ujar Cik Anseir.
Adik iparnya, Cik Abeer, yang mempunyai lapan orang anak, berkata bantuan makanan amal yang diterima keluarganya sebelum ini sudah putus sama sekali. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg