BANGKOK: Kerja kecemasan membaik pulih jalan utama yang runtuh di Jalan Samsen, Bangkok, terpaksa dihentikan selepas kira-kira 1,500 tan konkrit yang dituang untuk menutup rekahan didapati meresap ke dalam rangkaian terowong bawah tanah.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, yang melawat lokasi kejadian di hadapan Hospital Vachira pada 26 September mengesahkan operasi terpaksa dihentikan sementara bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan pembaikan.
“Kami menuang konkrit malam tadi untuk menutup kebocoran, tetapi sebahagiannya mengalir masuk ke terowong bawah tanah. Jurutera perlu menunggu konkrit awal ini mengeras sebelum kami boleh teruskan,” katanya kepada media.
Menurut pasukan teknikal, jumlah konkrit keseluruhan yang diperlukan boleh mencecah 2,400 tan sebelum fasa seterusnya iaitu pembinaan dinding struktur kekal dapat dimulakan.
Walaupun lubang runtuhan dilaporkan stabil, Encik Chadchart memaklumkan berlaku gelinciran tanah sedalam 50 sentimeter malam sebelumnya. “Tiada kerosakan atau kecederaan tambahan, tetapi kami kekal berhati-hati,” jelasnya.
Keselamatan struktur bangunan berhampiran menjadi keutamaan pihak berkuasa. Balai Polis Metropolitan Samsen serta beberapa pangsapuri berhampiran kekal ditutup dan dikosongkan.
Untuk memantau sebarang pergerakan tanah atau getaran, pakar dari Universiti Kasetsart dan Universiti Chulalongkorn telah memasang peralatan pemantauan tambahan, memandangkan balai polis itu tidak mempunyai tembok penahan.
Dalam masa yang sama, Hospital Vachira memulakan semula perkhidmatan pesakit luar di Bangunan Tipangorn Rasamichote selepas kawasan hospital disahkan selamat. Struktur hospital yang menggunakan cerucuk dalam serta memiliki tembok penahan enam meter dari zon runtuhan memberi perlindungan yang kukuh.
Pegawai teknikal juga telah turun ke dalam terowong untuk menilai tahap kerosakan, termasuk kebocoran dinding seluas kira-kira 30 meter persegi. Dalam kejadian awal, dua kenderaan polis sebuah trak tunda dan kereta persendirian turut terperangkap di tingkat bawah balai polis berkenaan.
Pihak Berkuasa Transit Pantas Massa Thailand (MRTA) memaklumkan akan membantu mengeluarkan kenderaan itu selepas kerja pembaikan selesai dan berjanji menggantikan kenderaan yang rosak dengan unit baru.
Cuaca turut menambah cabaran kepada operasi pembaikan. Dengan ramalan hujan sehingga 70 peratus pada pada 26 September, terutama di kawasan timur Bangkok seperti Min Buri dan Nong Chok, pihak berkuasa telah memasang empat pam berkapasiti tinggi dan beg pasir di sekeliling kawasan runtuhan bagi mengelakkan air bertakung.
“Keutamaan kami ialah pastikan air hujan tidak masuk ke kawasan kerja, supaya struktur yang sedang diperkuatkan tidak terjejas,” kata Encik Chadchart.
Walaupun kerja kecemasan sedang dijalankan, aliran trafik di sekitar jambatan Krung Thon dilaporkan sesak tetapi terkawal. Laluan lencongan telah diwujudkan bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Insiden lubang benam ini mencetuskan kebimbangan keselamatan infrastruktur di Bangkok yang sering berdepan masalah tanah mendap akibat sistem terowong bawah tanah yang rumit. Pihak berkuasa memberi jaminan kerja pembaikan akan dilakukan secara menyeluruh untuk mengelakkan risiko baharu kepada penduduk setempat.
“Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami. Kami bergerak berhati-hati tetapi tetap pantas,” tegas Encik Chadchart. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg