BANGKOK: Sebuah lubang benam besar sedalam kira-kira 50 meter terbentuk di hadapan Hospital Vajira, di Jalan Samsen di daerah Dusit, Bangkok, pada pagi 24 September, hingga mencetuskan panik, pemindahan ribuan pesakit dan penutupan jalan utama.
Dalam kejadian sekitar 7.15 pagi itu, jalan di hadapan hospital itu runtuh secara tiba-tiba.
Menurut laporan awal, lubang itu, yang luasnya sekitar 30 meter kali 30 meter – lebih besar daripada separuh kolam renang Olimpik – dipercayai berpunca daripada kebocoran di terowong projek MRT Stesen Vajira yang sedang dibina.
Gabenor Bangkok, Encik Chadchart Sittipunt, berkata pemeriksaan mendapati tanah telah memasuki ruang bawah tanah melalui bumbung stesen yang rosak.
“Apabila bumbung stesen pecah, tanah di atasnya mengalir ke dalam terowong, menyebabkan bangunan berdekatan turut mendap.
“Bahagian menuju ke Jambatan Sanghi stabil, tetapi bahagian yang runtuh terdiri daripada tanah lembut tanpa sokongan struktur,” katanya kepada media tempatan.
Pihak hospital mengesahkan bahawa perkhidmatan pesakit luar digantung serta-merta, manakala jadual rawatan kira-kira 3,500 pesakit luar akan disusun semula.
Walaupun keadaan panik berlaku, tiada laporan kecederaan diterima setakat ini.
“Keselamatan pesakit adalah keutamaan kami. Semua jadual rawatan akan disusun semula secepat mungkin,” kata jurucakap Hospital Vajira.
Penduduk di deretan rumah berdekatan turut diarahkan berpindah selepas imej dan rakaman video menunjukkan keseluruhan jalan tersebut retak dengan sebuah trak putih berada di tepi cerun curam dan hampir terjatuh ke dalam lubang itu.
Lubang benam itu turut menelan dua tiang elektrik dan sebuah trak tunda milik balai polis Samsen.
Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan segera melaksanakan langkah keselamatan, termasuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan berisiko.
Menurut Khaosod English, pegawai bomba dan penyelamat Samsen menemui paip bawah tanah pecah di lokasi itu, yang dipercayai menyumbang kepada keruntuhan itu.
Penutupan jalan diumumkan segera, bagi kawasan dari simpang Vajira hingga ke simpang Sanghi.
Polis trafik Bangkok memaklumkan kesesakan teruk berlaku di sepanjang Jalan Samsen hingga ke Jambatan Krung Thon (Sanghi), dengan aliran trafik tersangkut berkilometer panjang.
“Laluan depan hospital dan kawasan sekitar ditutup untuk memberi ruang kepada kerja-kerja pembaikan segera. Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif,” kata pihak berkuasa daerah Dusit.
Pegawai daripada Pentadbiran Metropolitan Bangkok dan agensi berkaitan kini giat berusaha menstabilkan kawasan mendap bagi mengelakkan keruntuhan lebih besar, selain mempercepatkan usaha memulihkan semula lalu lintas.
Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan keadaan masih terkawal, sambil memberi jaminan bahawa siasatan penuh akan dijalankan.
“Keutamaan kami adalah keselamatan orang awam. Kami akan pastikan pemulihan berjalan segera dan mengelakkan tragedi sama berulang,” tegas Gabenor Chadchart. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg