BANGKOK: Pihak Berkuasa Pengangkutan Transit Aliran Massa Thailand (MRTA) mengakui bertanggungjawab atas kejadian tanah mendap besar yang mengakibatkan lubang benam sedalam kira-kira 50 meter di hadapan Hospital Vajira, Bangkok.
Insiden yang berlaku pada 24 September itu mengganggu perkhidmatan penting termasuk air dan elektrik, memutuskan laluan utama dan mencetuskan kebimbangan keselamatan awam.
Lubang mendap itu meliputi kawasan seluas 900 meter persegi dan terletak di bawah Kontrak 1 projek Laluan Ungu MRT, iaitu seksyen Taopoon ke Perpustakaan Negara sejauh 4.8 kilometer dengan kos bernilai 19.43 bilion baht (S$778 juta). Kontrak ini dikendalikan usaha sama CKST-PL, yang terdiri daripada CH Karnchang dan Sino-Thai Engineering & Construction.
Rakaman di media sosial menunjukkan jalan di hadapan hospital perlahan-lahan tenggelam ketika air memancut dari paip saliran, menumbangkan tiang elektrik. Hospital segera mengumumkan tidak menerima pesakit baru bagi memastikan keselamatan.
“Tanah dari pembinaan terowong MRT menggelongsor ke bawah,” kata Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul. “Syukurlah tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.”
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, menambah bahawa paip pecah telah menjejaskan bekalan air dan elektrik di kawasan itu. “Hospital kini selamat, tetapi kami bimbangkan balai polis berhampiran yang masih berisiko, dan orang ramai telah dipindahkan,” katanya.
Menjelang tengah hari 25 September, pihak berkuasa mengesahkan pergerakan tanah berjaya dihentikan dan kawasan itu dipantau rapat. Gabenor MRTA, Encik Gardphajon Udomdhammabhakdi, melawat lokasi bersama pegawai Kementerian Pengangkutan.
“Keutamaan kami ialah mengenal pasti punca sebenar dan memastikan tiada lagi pergerakan tanah dan air di bawah,” kata Encik Gardphajon. “Jika kita menimbus semula kawasan ini tanpa mengetahui punca sebenar, masalah yang sama boleh berulang lagi.”
MRTA juga mengarahkan kerja pembinaan di kawasan terjejas dihentikan serta-merta dan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa Air Metropolitan, Elektrik Metropolitan, syarikat telekomunikasi dan polis tempatan bagi memulihkan keadaan dengan segera.
Dalam masa yang sama, polis trafik menutup sebahagian Jalan Samsen selepas air dikesan meresap keluar kira-kira dua kilometer dari lokasi utama kejadian, berdekatan kilang Boon Rawd Brewery. Bentuk permukaan jalan yang membengkak mencetuskan kebimbangan berulangnya kejadian mendap.
Menurut Enci Gardphajon, tanah di hadapan Hospital Vajira runtuh akibat pergerakan tanah dan air bawah tanah berhampiran terowong sedalam 20 meter, menyebabkan anjakan antara struktur terowong dan dinding stesen sehingga tanah permukaan menyusut.
Kejadian itu turut menyebabkan paip air utama pecah, membolehkan air dan tanah masuk ke kawasan terowong. Punca sebenar masih disiasat bersama badan kejuruteraan berkaitan.
Bagaimanapun MRTA menegaskan akan memikul tanggungjawab sepenuhnya bagi sebarang kerosakan dan memastikan keselamatan awam terjamin. Penduduk berhampiran telah dipindahkan bagi mengelakkan risiko.
Walaupun kerja terowong utama Laluan Ungu di kawasan itu disahkan siap tiga bulan lalu, pihak berkuasa percaya faktor luaran boleh menyumbang kepada insiden berbahaya ini. “Kemungkinan kebocoran pada bahagian sambungan atau tekanan air bawah tanah yang tinggi menjadi penyebab. Semua titik lemah perlu diperiksa,” kata Timbalan Gabenor MRTA bahagian kejuruteraan dan pembinaan, Encik Kittikorn Tanpao.
Syarikat Sino-Thai Engineering & Construction mengesahkan mereka tidak lagi melakukan penggerudian di kawasan tersebut. “Kerja pembinaan utama telah siap beberapa bulan lalu. Kini kami meneliti punca kemasukan air dan tanah,” kata wakil syarikat itu.
MRTA memberi jaminan setiap kontraktor diwajibkan mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sepadan dengan kerumitan projek. Susulan insiden ini, pemeriksaan menyeluruh akan dilakukan ke atas semua terowong Laluan Ungu bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
Encik Gardphajon mengakui jadual pembukaan Laluan Ungu mungkin tertangguh daripada sasaran asal 2028. “Kebarangkalian kejadian ini berulang sangat rendah, tetapi kami mahu pastikan keselamatan dan keyakinan awam,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg