PARIS: Barang kemas yang dirompak daripada Louvre di Paris dianggarkan bernilai 88 juta euro ($133 juta), kata seorang pendakwa raya Perancis pada 21 Oktober, ketika pengarah muzium itu berdepan dengan soalan keselamatan daripada jawatankuasa Senat berhubung rompakan hujung minggu itu.
Pengarah Muzium, Cik Laurence des Cars, tidak membuat sebarang kenyataan umum sejak perompak melarikan barang kemas diraja dalam kejadian siang hari pada 19 Oktober yang mengambil masa hanya tujuh minit.
Louvre dijangka dibuka semula pada 22 Oktober berikutan dua hari ditutup untuk siasatan – sesuatu yang mengecewakan beribu-ribu pelancong.
Kecurian itu mencetuskan perbalahan berhubung kekurangan kawalan keselamatan di muzium Perancis, selepas dua institusi lain dilanda masalah yang sama pada September.
“Kurator Louvre menganggarkan kerugian sebanyak 88 juta euro,” kata pendakwa raya Paris Cik Laure Beccuau pada 21 Oktober.
Tetapi beliau berkata kerugian yang lebih besar melibatkan warisan sejarah Perancis, sambil menambah bahawa perompak tidak akan mendapat wang sepenuhnya jika mereka mencairkan barang-barang hasil rompakan itu.
Sebilangan besar penyiasat masih memburu pelaku berdasarkan teori bahawa ia adalah kumpulan jenayah terancang yang memanjat tangga di atas trak untuk memecah masuk ke muzium dan melakukan rompakan tersebut.
Namun, mahkota bertatahkan berlian terjatuh ketika mereka melarikan diri.
Mahkota yang dipakai oleh Permaisuri Perancis Eugenie, menjadi sasaran perompak dalam kejadian pada 19 Oktober itu.
Cik Beccuau mengesahkan bahawa empat orang terlibat dalam rompakan tersebut dan pihak berkuasa sedang menganalisis cap jari yang ditemui di tempat kejadian.
Detektif sedang memeriksa rakaman kamera video dari sekitar Louvre dan lebuh raya utama di luar Paris untuk menjejaki empat perompak yang melarikan diri dengan skuter itu.
Cik des Cars, yang telah mengendalikan Louvre sejak 2021, akan hadir di hadapan jawatankuasa kebudayaan Senat mulai 4.30 petang waktu tempatan pada 22 Oktober.
Laporan oleh Mahkamah Juruaudit Perancis meliputi 2019 hingga 2024 menunjukkan berlakunya kelewatan “berterusan” dalam peningkatan keselamatan di Louvre.
Hanya seperempat daripada satu sayap dilindungi oleh pengawasan video.
Pada Januari, Cik des Cars memberi amaran kepada Menteri Kebudayaan Cik Rachida Dati tentang “tahap usang yang membimbangkan”, memetik keperluan mendesak untuk pengubahsuaian besar-besaran muzium tersebut.
Menteri Dalam Negeri Encik Laurent Nunez berkata beliau akan mengetatkan keselamatan di luar kesemua institusi kebudayaan. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg