PARIS: Bedah siasat mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang hilang di Perancis dipercayai dirogol sebelum meninggal dunia, sekali gus mengesahkan syak wasangka dalam kes yang mencetuskan kemarahan besar rakyat negara itu.

Mangsa dikenali sebagai Lyhanna dilaporkan hilang pada 29 Mei lalu di bandar Fleurance, barat daya Perancis, sebelum mayatnya ditemui hampir seminggu kemudian di dalam sebuah silo terbiar.

Sumber yang mengetahui siasatan berkata hasil bedah siasat menunjukkan terdapat unsur rogol terhadap mangsa sebelum kematiannya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Perancis masih belum mengumumkan secara rasmi punca kematian kanak-kanak tersebut dan setakat ini suspek utama hanya didakwa atas kesalahan penculikan.

Kes itu mencetuskan kemarahan ramai selepas diketahui bahawa suspek utama, seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga bapa kepada rakan sekolah mangsa, pernah dua kali disiasat dalam kes rogol kanak-kanak sebelum ini.

Namun, kedua-dua siasatan terdahulu sama ada digugurkan atau tergendala tanpa tindakan lanjut.

Dalam kes terbaru yang difailkan pada Ogos 2025, polis dilaporkan masih belum memanggil suspek untuk disoal siasat walaupun aduan sudah dibuat.

Suspek yang tinggal di sebuah kampung berhampiran bersama keluarganya sebelum ini juga pernah bekerja di sekolah.

Pendedahan mengenai kelemahan siasatan terdahulu meningkatkan tekanan terhadap pihak berkuasa dan sistem kehakiman Perancis.

Peguam keluarga mangsa, Francois Roujou de Boubee, meminta supaya privasi keluarga dihormati ketika mereka berdepan tragedi itu.

“Berhadapan dengan perkara paling buruk yang boleh berlaku kepada seorang kanak-kanak dan ibu bapa, kemarahan mereka hanya dapat ditandingi dengan rasa jijik,” katanya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kepercayaan rakyat kepada institusi negara susulan kelemahan dalam siasatan terhadap suspek utama.

Beliau memberi bayangan bahawa kegagalan pihak berkuasa bertindak lebih awal mungkin menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan kanak-kanak di Perancis.

Kes Lyhanna sekali lagi membuka perdebatan mengenai kelemahan siasatan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak di negara itu.

Laporan pemerintah Perancis pada 2022 sebelum ini mendedahkan kekurangan kakitangan dan masa menjadi antara faktor utama yang menyebabkan banyak kes penderaan seksual kanak-kanak tidak disiasat secara menyeluruh.

Laporan itu mendapati dalam 70 peratus kes, pihak penyiasat tidak melakukan pemeriksaan lanjut terhadap bahan bukti seperti telefon bimbit, kamera atau komputer selepas mengambil keterangan suspek.

Keadaan itu menyebabkan banyak bukti penting berpotensi terlepas pandang.

Menurut Suruhanjaya Bebas mengenai Inses dan Keganasan Seksual terhadap Kanak-kanak (CIIVISE), hampir tiga daripada empat aduan penderaan seksual kanak-kanak di Perancis akhirnya digugurkan.

Data suruhanjaya itu turut menunjukkan hanya tujuh peratus aduan serangan seksual terhadap kanak-kanak membawa kepada sabitan mahkamah.

Bagi kes rogol kanak-kanak pula, hanya tiga peratus aduan berakhir dengan sabitan.

Pemerhati sosial dan pertubuhan hak kanak-kanak menyifatkan angka itu sebagai membimbangkan dan mencerminkan kegagalan sistem melindungi golongan paling rentan.

Kes Lyhanna kini menjadi simbol kemarahan rakyat terhadap kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan kegagalan pihak berkuasa bertindak lebih pantas dalam menangani dakwaan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Media Perancis turut memberi perhatian meluas terhadap kes itu dengan banyak pihak mempersoalkan bagaimana seorang suspek yang pernah disiasat sebelum ini masih bebas tanpa pemantauan ketat.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak pendakwa raya dijangka menentukan sama ada pertuduhan tambahan termasuk rogol dan pembunuhan akan dikenakan terhadap suspek utama. - Agensi berita