DENPASAR (Bali): Seorang lelaki warga Singapura yang ditahan pihak polis Indonesia kerana didakwa membunuh kekasihnya di Pedungan, Denpasar, Bali, telah dikenal pasti sebagai Muhammad Zulhelmi Muhammad Nadzlie.

Berita tempatan melaporkan, suspek berusia 25 tahun itu menafikan telah secara sengaja memukul kekasihnya, Cik Angelica Suherman, 26 tahun, sebaliknya mendakwa mangsa terlepas daripada pegangannya lalu jatuh ke lantai.

Dakwaan tersebut dibuat Zulhelmi semasa siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (Mapolresta) Denpasar, selepas pasukan perubatan forensik menemui beberapa kesan lebam pada bibir kiri, dahi kanan, pelipis, serta kesan pendarahan pada kepala mangsa.

Zulhelmi berulang kali cuba meyakinkan pegawai penyiasat bahawa dia tidak melakukan sebarang kekerasan fizikal lain terhadap mangsa selain daripada tindakan mencekik leher mangsa.

“Selain daripada itu? Tiada apa-apa lagi, Pak,” kata Zulhelmi semasa disoal siasat oleh pegawai penyiasat mengenai petunjuk adanya kekerasan fizikal lain di luar tindakan mencekik.

Pegawai penyiasat yang curiga dengan penemuan kesan lebam pada kepala mangsa kemudian mendesak suspek untuk mendapatkan pengakuan lanjut.

Ini termasuk kemungkinan wujudnya tindakan menghentak tubuh mangsa secara sengaja ke dinding bilik sewa berkenaan.

Namun, suspek segera menepis tuduhan tersebut dan mendakwa bahawa hentakan itu berlaku secara tidak sengaja di atas lantai.

“(Saya) pasti, tidak ada (tindakan lain) lagi. Beliau terlepas (daripada pegangan) dan jatuh,” katanya.

Suspek kemudian mendedahkan detik-detik ketika tubuh kekasihnya terhentak ke lantai bilik dengan kuat.

Mengikut dakwaannya, insiden Cik Angelica terjatuh berlaku ketika dia sedang mengangkat tubuh mangsa dari atas katil.

“Saya angkat beliau dari katil, lalu beliau terjatuh dan terkena kepalanya,” kata Zulhelmi.

Meskipun suspek mendakwa bahawa luka pada muka mangsa itu terjadi akibat terjatuh ke lantai selepas terlepas daripada pegangannya, pihak polis tidak terus menerima dakwaan berkenaan.

Pegawai penyiasat cuba memadankan pengakuan Zulhelmi dengan hasil bedah siasat dan autopsi daripada doktor forensik di Hospital Besar Prof Ngoerah, Bali.

Doktor forensik mengesahkan bahawa punca utama kematian mangsa adalah akibat kecederaan daripada objek tumpul, iaitu cekikan kuat yang mematahkan tulang lidah mangsa.

Hingga kini, proses siasatan terhadap Zulhelmi terus berjalan di bawah kawalan ketat Bahagian Siasatan Jenayah (Satreskrim) Ibu Pejabat Polis Denpasar.

Suspek kini berdepan hukuman maksimum 15 tahun penjara mengikut Seksyen 458 fasal (1) Kanun Keseksaan Indonesia.

Polis Denpasar dalam sidang media pada 16 Julai lalu mendedahkan bahawa mereka mengesyaki pembunuhan itu berpunca daripada konflik dalam hubungan mereka. – Agensi berita.