Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes kuota haji bekas Menteri Agama: 181 jemaah bayar AS$905,000 percepat giliran
Kes kuota haji bekas Menteri Agama: 181 jemaah bayar AS$905,000 percepat giliran
JAKARTA: Seorang bekas kakitangan Kementerian Agama Indonesia memberi keterangan bahawa bayaran AS$5,000 ($6,400) bagi setiap jemaah dikutip untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji khas pada 2023, dengan 181 jemaah membabitkan kutipan keseluruhan AS$905,000.
Encik Ridwan Kurniawan, bekas kakitangan kontrak kementerian itu, memberi keterangan di Mahkamah Rasuah Jakarta Pusat pada 8 September dalam perbicaraan bekas Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, dan tiga tertuduh lain.
Kes itu membabitkan dakwaan rasuah dalam pengurusan kuota tambahan haji bagi 2023 dan 2024.
Menurut Encik Ridwan, bayaran tersebut dikutip melalui syarikat pengendali ibadah haji khas (PIHK) daripada jemaah yang mendapat peluang berangkat lebih awal.
Bakal jemaah haji Indonesia lazimnya berdepan tempoh menunggu bertahun-tahun sebelum dapat menunaikan ibadah itu.
Kuota haji biasa diperuntukkan pemerintah, manakala program haji khas mempunyai aturan berbeza dan dalam keadaan tertentu menawarkan tempoh menunggu lebih singkat.
Ini menyebabkan peluang mendapatkan kuota tambahan atau mempercepatkan keberangkatan mendapat permintaan tinggi.
Encik Ridwan berkata jumlah bayaran bagi mempercepatkan keberangkatan dikurangkan kepada AS$2,500 bagi setiap jemaah pada 2024.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah jemaah yang terlibat atau keseluruhan wang yang dikutip pada tahun tersebut.
Dalam keterangannya, Encik Ridwan berkata beliau tidak menentukan bagaimana wang yang dikutip itu dibahagikan.
Beliau mendakwa hanya diarahkan memasukkan jumlah wang yang telah ditetapkan ke dalam sampul sebelum menyerahkannya kepada Encik Rizky Fisa Abadi, pegawai kementerian yang terlibat dalam pelesenan dan akreditasi haji khas.
Pendakwa raya mengira tiga agihan bernilai AS$181,000 setiap satu berjumlah AS$543,000.
Jumlah itu, apabila dicampurkan dengan AS$271,500 yang didakwa diperuntukkan kepada Encik Yaqut, menjadi AS$814,500, meninggalkan baki AS$90,500 daripada keseluruhan AS$905,000 yang dikatakan dikutip.
Encik Ridwan bagaimanapun mempertikaikan pengiraan itu dan berkata terdapat keterangan lain dalam fail kes yang menjelaskan mengenai baki wang tersebut.
Keterangannya turut menimbulkan persoalan mengenai dakwaan aliran wang kepada Encik Yaqut.
Ketika ditanya di mahkamah mengenai penerima wang tersebut, Encik Ridwan berkata nama bekas menteri itu tidak tercatat sebagai penerima.
“Tidak ada nama Gus Yaqut sebagai penerima,” katanya kepada panel hakim.
Keterangan itu menjadi perhatian kerana kenyataan Encik Ridwan yang direkodkan sebelum ini dalam Berita Acara Pemeriksaan (BAP) menjadi sebahagian bahan kes yang dikaitkan dengan dakwaan aliran wang dalam pengurusan kuota haji khas.
Dalam keterangan berasingan, bekas pegawai Kementerian Agama, Encik Abdul Muhyi, mendedahkan senarai pengagihan kuota haji khas yang mengandungi nama beberapa individu dan pertubuhan.
Menurut Encik Muhyi, senarai yang berasal daripada Encik M. Agus Syafii, pegawai kementerian yang menyelia urusan haji khas pada 2023 dan 2024, mengandungi 6,543 kuota yang diperuntukkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 4,031 kuota akhirnya digunakan.
Antara yang disenaraikan ialah bekas pembantu Encik Yaqut, Encik Ishfah Abidal Azis, atau Gus Alex, yang pada awalnya diperuntukkan 1,260 kuota tetapi akhirnya menerima 1,388.
Senarai itu turut mengandungi individu yang dikenal pasti sebagai “Iwan BIN”, yang dikaitkan dalam perbicaraan dengan Badan Intelijen Negara (BIN). Beliau diperuntukkan 270 kuota tetapi 25 direalisasikan.
Pengerusi persatuan Kesthuri, Encik Asrul Azis Taba, pula disenaraikan dengan 202 kuota, manakala 204 direalisasikan.
Pesuruhjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), yang antara lain mengawasi hal ehwal agama, disenaraikan menerima 105 kuota dan kesemuanya direalisasikan.
Encik Budi Dermawan, Pengerusi Dewan Kehormat Himpunan Penyelenggara Umrah dan Haji (HIMPUH), pula diperuntukkan 793 kuota, dengan 817 direalisasikan.
Keterangan kedua-dua saksi itu menjadi sebahagian usaha pendakwa raya untuk menentukan bagaimana kuota tambahan haji diagihkan serta bagaimana bayaran untuk mempercepatkan keberangkatan jemaah haji khas dikutip dan disalurkan.
Encik Yaqut didakwa bersama tiga tertuduh lain, iaitu Encik Asrul, Gus Alex dan Pengarah Operasi PT Makassar Toraja (Maktour), Encik Ismail Adham.
Pendakwa raya mendakwa aturan pengagihan kuota itu menyebabkan kerugian negara sebanyak 622.09 bilion rupiah ($47 juta) dan memperkayakan Encik Yaqut sebanyak AS$271,500.
Pendakwaan turut mendakwa 313 syarikat pengendali haji khas mendapat manfaat daripada pengagihan tersebut, yang dikatakan melibatkan urus niaga kuota haji khas, kuota pegawai haji serta bayaran untuk mempercepatkan giliran keberangkatan.
Semua dakwaan terhadap Encik Yaqut dan tiga tertuduh lain masih belum dibuktikan di mahkamah. - Agensi berita
