Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes rasuah bekalan elektrik terputus Sumatera cetus perhatian terhadap agensi penguat kuasa
Kes rasuah bekalan elektrik terputus Sumatera cetus perhatian terhadap agensi penguat kuasa
Hubungan polis, tentera dan pendakwa jadi tumpuan
Kes rasuah bekalan elektrik terputus Sumatera cetus perhatian terhadap agensi penguat kuasa
JAKARTA: Siasatan besar-besaran terhadap dakwaan rasuah dalam perolehan arang batu bagi syarikat utiliti elektrik milik negara Indonesia, PLN, kini memasuki fasa baharu apabila polis memperluaskan siasatan kepada kesalahan pengubahan wang haram, sekali gus menarik perhatian terhadap hubungan antara Polis Republik Indonesia (Polri), Pejabat Peguam Negara (AGO) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Walaupun timbul pelbagai spekulasi susulan beberapa operasi berprofil tinggi minggu ini, ketiga-tiga institusi terbabit menegaskan mereka menghormati proses perundangan dan komited memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus serta profesional.
Perhatian mula tertumpu kepada kes itu selepas penyiasat Kor Siasatan Jenayah Rasuah Polis Indonesia (Kortas Tipidkor) bersama Polis Jakarta mengadakan serbuan di de’CLAN Signature Cafe dan Koin Money Changer di Cipete, Jakarta Selatan, pada 8 Julai.
Serbuan itu adalah sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam pembekalan arang batu kepada loji jana kuasa PLN yang dipercayai menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Sumatera, Kalimantan dan Jawa.
Menurut polis, siasatan awal mendapati terdapat unsur manipulasi terhadap kualiti arang batu serta jumlah penghantaran oleh dua syarikat perlombongan yang hanya dikenali sebagai PT OBP dan PT BRA.
Penyelewengan itu dipercayai menyebabkan kerugian negara dianggarkan mencecah 5 trilion rupiah ($395 juta).
Status kes itu turut dinaik taraf kepada siasatan jenayah rasmi selepas penyiasat menemui bukti awal yang mengaitkan beberapa transaksi kewangan mencurigakan dengan kontrak pembekalan arang batu sejak 2018.
Dalam operasi bersepadu di 12 lokasi, polis merampas wang tunai dan aset bernilai tinggi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Jurucakap Polis Indonesia berkata pihaknya merampas wang tunai kira-kira 67.2 bilion rupiah, selain 74 kilogram jongkong emas sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah dan pengubahan wang haram.
Salah satu rampasan terbesar dibuat di de’CLAN Signature Cafe apabila penyiasat menemui sebuah peti besi keluli setinggi dua meter yang disembunyikan di sebalik rak pameran dan dibina di dalam dinding bangunan.
Peti besi itu mengandungi wang tunai serta mata wang asing bernilai kira-kira 60 bilion rupiah.
Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Sentul, Jawa Barat, polis menemui sebuah lagi peti besi yang mengandungi 74 kilogram jongkong emas serta sejumlah mata wang asing.
Walaupun jumlah rampasan yang ditemui agak besar, polis menegaskan siasatan masih di peringkat awal dan sehingga kini belum ada individu dinamakan sebagai suspek.
Kes itu turut mencetuskan perhatian selepas anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilihat mengawal kediaman Penolong Peguam Negara bagi Jenayah Khas, Encik Febrie Ardiansyah, di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.
Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara mahupun polis tidak mengesahkan bahawa Encik Febrie menjadi sasaran siasatan.
TNI kemudian menjelaskan bahawa penugasan anggotanya dibuat atas permintaan rasmi Pejabat Peguam Negara selaras dengan Peraturan Presiden mengenai perlindungan keselamatan kepada pendakwa raya ketika menjalankan tugas.
Jurucakap TNI, Brigedier Jeneral Muhamad Nas, menegaskan bahawa penugasan itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan polis.
“TNI tidak campur tangan dalam proses undang-undang yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Penugasan anggota kami tidak menjejaskan proses perundangan yang sedang berlangsung,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan wujud konflik antara TNI dengan mana-mana agensi penguat kuasa.
“Kami memberi jaminan bahawa tiada campur tangan dan TNI menghormati setiap proses penguatkuasaan undang-undang yang sedang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Peguam Negara, Encik Anang Supriatna, berkata institusinya menghormati sepenuhnya siasatan yang dijalankan oleh polis.
“Kami menghormati siasatan polis dan akan menunggu hasilnya, termasuk tujuan serbuan, bahan bukti yang dirampas serta individu yang mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya.
Beliau berkata setiap individu perlu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.
“Kami menghormati kebebasan dan kuasa setiap agensi penguat kuasa dalam melaksanakan tugas masing-masing,” katanya.
Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Soedeson Tandra, pula menggesa semua institusi negara memberikan sokongan penuh kepada penyiasat.
“Semua institusi perlu berdiri teguh di belakang penyiasat supaya kes ini dapat dibongkar sepenuhnya dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Penganalisis politik daripada Lembaga Survei Indonesia (LSI), Encik Yoes Kenawas, berkata kes itu memperlihatkan pentingnya penyelarasan antara institusi negara dalam mengendalikan siasatan berprofil tinggi.
Menurut beliau, komunikasi yang baik antara polis, pendakwa raya dan TNI amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan terus terpelihara.
Pada masa sama, pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International Indonesia menggesa semua pihak memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus serta mengikut undang-undang bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap institusi negara.
Kes perolehan arang batu PLN kini menjadi antara siasatan rasuah terbesar di Indonesia tahun ini.
Dengan rampasan wang tunai dan emas bernilai tinggi serta peluasan siasatan kepada aspek pengubahan wang haram, pihak berkuasa dijangka terus meneliti aliran kewangan dan mengenal pasti semua pihak yang terlibat. – Agensi berita.
