Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes seksual pakar bedah Perancis babit 299 mangsa: ‘Mereka tahu tapi diam’, mangsa kecam sistem perubatan

Feb 18, 2025 | 8:30 PM
Seorang bekas pakar bedah dibicarakan akhir bulan Februari kerana didakwa merogol atau menyerang secara seksual hampir 300 bekas pesakit, kebanyakannya kanak-kanak yang berada dalam keadaan tidak sedar ketika perbuatan jijik itu dilakukan lebih suku abad di barat Perancis.
Perbicaraan terhadap Joel Le Scouarnec, 74 akan berjalan selama empat bulan, dijangka bermula 24 Februari ini dan bakal memberi impak yang besar di dalam dan luar negara.
Seorang bekas pakar bedah dibicarakan akhir bulan Februari kerana didakwa merogol atau menyerang secara seksual hampir 300 bekas pesakit, kebanyakannya kanak-kanak yang berada dalam keadaan tidak sedar ketika perbuatan jijik itu dilakukan lebih suku abad di barat Perancis. Perbicaraan terhadap Joel Le Scouarnec, 74 akan berjalan selama empat bulan, dijangka bermula 24 Februari ini dan bakal memberi impak yang besar di dalam dan luar negara. - Foto REUTERS

RENNES: – Seorang bekas pakar bedah Perancis, Joel Le Scouarnec, akan dibicarakan atas dakwaan merogol dan melakukan serangan seksual terhadap hampir 300 pesakit, kebanyakannya kanak-kanak, walaupun beliau telah disabitkan kesalahan memiliki imej penderaan kanak-kanak sejak 2005.

Kejadian ini menimbulkan persoalan besar mengenai kegagalan sistem yang membenarkan beliau terus berkhidmat di hospital selama berdekad-dekad tanpa sebarang siasatan lanjut.

Le Scouarnec, 74 tahun, kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah pada 2020 atas kesalahan mencabul empat kanak-kanak, termasuk dua anak saudaranya sendiri.

Dalam perbicaraan berasingan yang dijadualkan selama empat bulan bermula 24 Februari, beliau berdepan tuduhan menyerang atau merogol 299 pesakit, kebanyakannya ketika mereka berada di bawah bius am di lebih daripada 12 hospital antara tahun 1989 dan 2014.
Secara keseluruhan, 256 daripada 299 mangsa adalah bawah umur 15 tahun, dengan yang termuda berusia satu tahun dan yang tertua berusia 70 tahun.

Penyiasat hanya menemui jenayah yang didakwa dilakukan olehnya selepas dia bersara pada 2017, apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun menuduhnya merogol dan polis menemui beribu-ribu catatan dalam diarinya yang memperincikan jenayahnya selama bertahun-tahun

Mangsa dan aktivis hak kanak-kanak mendakwa sistem perubatan Perancis telah gagal melindungi pesakit.

“Berapa ramai yang tahu dia seorang pedofil tetapi tetap membiarkannya merawat kanak-kanak?” ujar salah seorang mangsa yang enggan dikenali kepada AFP. “Mereka tahu, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa.”

Pada tahun 2004, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah memberi amaran kepada pihak berkuasa Perancis bahawa Le Scouarnec adalah antara ratusan individu di Perancis yang mengakses imej penderaan seksual kanak-kanak dalam talian.

Mahkamah di bandar Vannes kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat bulan pada 2005, namun pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan secara bersyarat. Pada waktu itu, beliau telah berpindah ke sebuah hospital di Quimperlé, wilayah Brittany.

Walaupun rekod jenayahnya wujud, hospital tersebut tetap mengambilnya kerana berdepan dengan kekurangan tenaga pakar bedah.
“Kehadiran pakar bedah baru ketika itu pasti menjadi satu kelegaan buat hospital,” kata Datuk Bandar Quimperlé, Encik Michael Quernez.

Namun, kehadiran Le Scouarnec mula menimbulkan kebimbangan. Seorang pakar psikiatri yang bekerja di hospital sama, Dr. Thierry Bonvalot, mendapat tahu tentang kes lampau pakar bedah itu dan mula mengesyaki sesuatu yang lebih besar.

“Dia membela seorang pakar radiologi di hospital yang dituduh merogol pesakit wanita,” kata Dr Bonvalot. Pakar radiologi itu, Mohamed Frehat, kemudiannya dipenjara 18 tahun kerana menyerang seksual 32 pesakit, termasuk lapan kanak-kanak perempuan.

Dr Bonvalot juga terkejut dengan tingkah laku Le Scouarnec ketika membincangkan pembedahan seorang kanak-kanak lelaki.
“Dia menjelaskan prosedur tersebut menggunakan terlalu banyak metafora seksual. Saya benar-benar terkejut,” katanya.

Ketika Dr Bonvalot mendesaknya, Le Scouarnec akhirnya mengakui bahawa dia pernah disabitkan kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak. “Saya sedar dia berbahaya dan meminta dia meletakkan jawatan, tetapi dia menolak,” Dr Bonvalot.

Pada 14 Jun 2006, Dr Bonvalot menulis surat kepada pengarah hospital bagi mempersoalkan sama ada Le Scouarnec selamat untuk merawat kanak-kanak. Sebulan kemudian, beliau menghantar salinan surat itu kepada Majlis Perubatan Wilayah Finistère, badan yang bertanggungjawab mengawasi amalan perubatan di sana. Namun, tiada sebarang tindakan diambil.

Malah, pada 1 Ogos 2006, Le Scouarnec dinaikkan pangkat sebagai ketua jabatan pembedahan hospital tersebut.
Majlis Perubatan hanya mula meminta rekod kes mahkamahnya pada Julai tahun itu, tetapi mahkamah mengambil masa empat bulan untuk menyerahkannya.

Pada masa itu, pihak hospital sudah pun memberikan penilaian positif terhadapnya, menyatakan dia seorang doktor yang “serius dan berwibawa” serta “mempunyai hubungan baik dengan pesakit serta kakitangan”.

Pada Disember 2006, Majlis Perubatan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu ini. Sejumlah 18 daripada 19 doktor mengundi untuk tidak mengenakan tindakan terhadap Le Scouarnec, sebaliknya menyerahkan keputusan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Pegawai kesihatan, Encik Yvon Guillerm, memulakan siasatan rasmi pada Mac 2007 selepas seorang pesakit wanita meninggal dunia semasa menjalani pembedahan yang dikendalikan oleh Le Scouarnec.

Dalam laporannya kepada Kementerian Kesihatan, Encik Guillerm menyatakan bahawa pakar bedah itu tidak mempunyai integriti moral untuk terus berkhidmat dan mencadangkan tindakan segera diambil.

Namun, tidak ada tindakan susulan, dan hospital hanya menutup beberapa jabatan termasuk unit obstetrik dan pembedahan pada Jun 2007.

Selepas meninggalkan Quimperlé, Le Scouarnec terus bekerja di beberapa hospital lain, termasuk di Jonzac, barat daya Perancis, selama hampir sedekad sebelum bersara pada 2017.

Peguam kumpulan advokasi kanak-kanak La Voix de l’Enfant, Encik Frédéric Benoist, menyifatkan kes ini sebagai bukti kegagalan kolektif pihak berkuasa.
“Tidak masuk akal bagaimana seseorang yang telah disabitkan kesalahan berkaitan kanak-kanak masih dibenarkan bertugas selama ini,” ujar Encik Benoist.

Kes ini akhirnya membuka ruang kepada siasatan rasmi oleh pejabat pendakwa di Lorient, tetapi bagi ratusan mangsanya, keadilan telah tertangguh terlalu lama. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg