Kes tembakan di Canada: Suspek dikenal pasti remaja bertukar jantina berusia 18 tahun
Kes tembakan di Canada: Suspek dikenal pasti remaja bertukar jantina berusia 18 tahun
TUMBLER RIDGE, British Columbia: Pihak berkuasa Canada pada 11 Februari mengenal pasti suspek dalam insiden tembakan beramai-ramai di sebuah komuniti terpencil di wilayah British Columbia sebagai seorang remaja berusia 18 tahun yang didakwa membunuh ibu dan abang tirinya sebelum menembak mati beberapa pelajar di sebuah sekolah menengah tempatan.
Pesuruhjaya Timbalan Polis Berkuda Diraja Canada bagi British Columbia, Dwayne McDonald, berkata lapan mangsa terbunuh dalam insiden tersebut, sekali gus membetulkan angka awal yang sebelum ini dilaporkan sebagai sembilan orang.
“Secara keseluruhan, suspek membunuh lapan orang dan kemudian mati akibat tembakan yang dilakukan ke atas dirinya sendiri,” katanya dalam sidang media.
Menurut Encik McDonald, kebanyakan mangsa di bandar kecil Tumbler Ridge yang mempunyai kira-kira 2,400 penduduk itu ialah pelajar berusia 12 dan 13 tahun yang ditembak di perpustakaan sekolah.
Suspek dikenal pasti sebagai Jesse Van Rootselaar. Encik McDonald memaklumkan bahawa suspek dilahirkan sebagai lelaki dan memulakan proses peralihan jantina kepada perempuan enam tahun lalu. Beliau berkata pihak polis akan terus merujuk suspek sebagai wanita.
Motif serangan masih belum diketahui. “Pada ketika ini, kami belum dapat memastikan sebab suspek melakukan pembunuhan ini. Ia antara insiden paling buruk dalam sejarah Kanada,” katanya.
Menurut beliau, keluarga suspek sudah lama dikenali pihak berkuasa. Polis kali terakhir mengunjungi kediaman tersebut pada musim bunga lalu berkaitan isu kesihatan mental termasuk perbuatan mencederakan diri.
“Polis telah hadir ke kediaman itu beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini berhubung kebimbangan berkaitan kesihatan mental suspek,” katanya, merujuk kepada rumah di mana ibu suspek, 39 tahun, dan abang tirinya yang berusia 11 tahun ditemui mati.
Pada salah satu lawatan terdahulu, polis turut merampas senjata api dari rumah berkenaan.
Insiden dipercayai bermula di kediaman suspek, di mana ibu dan abang tirinya ditemui mati akibat tembakan. Seorang ahli keluarga yang masih kecil berjaya melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan, sebelum jiran tersebut segera menghubungi polis. Selepas kejadian di rumah itu, suspek dipercayai bergerak ke Sekolah Menengah Tumbler Ridge, lokasi serangan seterusnya berlaku.
Di sekolah berkenaan, seorang mangsa ditemui di tangga manakala selebihnya dipercayai ditemui di perpustakaan. Encik McDonald berkata tiada maklumat menunjukkan mana-mana mangsa di sekolah disasarkan secara khusus. “Setakat ini tiada bukti bahawa sesiapa disasarkan secara spesifik,” katanya.
Polis yang tiba di sekolah hanya dua minit selepas menerima panggilan kecemasan berkata mereka ditembak ketika sampai di lokasi. Pihak berkuasa merampas sepucuk senapang panjang dan sepucuk pistol yang telah diubah suai dari tempat kejadian.
Selain lapan yang maut, dua mangsa dilaporkan cedera parah dan diterbangkan ke hospital. Mereka kini dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Polis turut menjelaskan bahawa 25 individu dinilai bagi kemungkinan kecederaan, namun majoritinya tidak mengalami kecederaan fizikal.
Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, dalam ucapan di Parlimen menyifatkan tragedi itu sebagai detik paling menyayat hati buat komuniti kecil tersebut. “Pagi ini, keluarga di Tumbler Ridge bangun dalam dunia yang berbeza,” katanya. “Ibu bapa, datuk nenek, adik beradik memulakan hari ini tanpa insan tersayang yang amat mereka kasihi.”
Dalam nada penuh emosi, beliau menambah: “Tiada ibu bapa sepatutnya takut anak mereka tidak pulang dari sekolah. Tiada ibu bapa sepatutnya mengebumikan anak sendiri.”
Bendera di bangunan kerajaan akan dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari sebagai tanda berkabung.
Pemimpin Parti Konservatif dan ketua pembangkang, Encik Pierre Poilievre, turut menyatakan solidariti. “Negara ini berkabung bersama keluarga mangsa,” katanya.
Tragedi ini merupakan insiden paling maut di Canada sejak 2020 apabila seorang lelaki bersenjata membunuh 13 orang di Nova Scotia dan menyebabkan kebakaran yang meragut sembilan lagi nyawa.
Bagi penduduk Tumbler Ridge, kesan tragedi ini amat mendalam. Bandar yang pernah berkembang pesat hasil industri perlombongan arang batu dan kini cuba bangkit melalui pelancongan alam semula jadi itu digambarkan sebagai komuniti yang saling mengenali antara satu sama lain.
“Ia bandar pekerja lombong, guru, pekerja binaan dan keluarga yang sentiasa membantu sesama sendiri ketika kemelesetan, kebakaran hutan dan krisis lain,” kata Encik Carney. “Tumbler Ridge melambangkan ketabahan dan kekuatan Canada.”
Seorang penduduk, Cik Shelley Quist, berkata jirannya kehilangan anak lelaki berusia 12 tahun.
“Kami dengar ibunya menjerit di jalan. Beliau menangis dan mahu melihat jasad anaknya,” katanya.
Anaknya, Darian Quist, 17 tahun, berada dalam keadaan berkunci di sekolah lebih dua jam. “Kami guna meja untuk menghalang pintu,” katanya. Rakan pelajar menghantar gambar darah melalui telefon ketika mereka bersembunyi di dalam kelas.
Cil Shelley berkata beliau hampir berlari ke sekolah apabila tembakan bermula, namun ditenangkan rakan sekerja di hospital berdekatan. “Saya hanya lega apabila dapat bercakap dengan Darian dan tahu dia selamat,” katanya.
Rakaman video menunjukkan pelajar berjalan keluar dengan tangan diangkat ketika kenderaan polis mengepung bangunan dan helikopter berlegar di udara.
Insiden tembakan di sekolah jarang berlaku di Canada yang mempunyai undang-undang kawalan senjata ketat. Kerajaan sebelum ini memperluas larangan terhadap senjata yang diklasifikasikan sebagai senjata serangan selepas beberapa tragedi tembakan besar. - Agensi berita

