Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Anggota Pengawal Kebangsaan yang ditembak telah meninggal dunia

Nov 28, 2025 | 3:01 PM
presiden donald trump
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Staf Sarjan Tentera Udara Andrew Wolfe masih dalam keadaan kritikal. - Foto AFP

WASHINGTON: Seorang anggota Pengawal Kebangsaan West Virginia yang ditembak dalam serangan berhampiran Rumah Putih telah meninggal dunia selepas berada dalam keadaan kritikal, kata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 27 November.

Pakar Tentera Darat Amerika Syarikat, Cik Sarah Beckstrom, 20 tahun, yang berasal daripada Webster Springs, West Virginia, ditembak pada 26 November di Washington, D.C.

Seorang lagi, Staf Sarjan Tentera Udara Amerika, Encik Andrew Wolfe, 24 tahun, juga ditembak dan kini masih dalam keadaan masih kritikal.

“Seperti yang anda tahu, seorang anggota sedang bertarung nyawa,” kata Encik Trump semasa panggilan dengan beberapa anggota perkhidmatan.

“Beliau berada dalam keadaan yang sangat teruk, sedang bertarung nyawa dan diharapkan kita akan mendapat berita yang lebih baik mengenai keadaannya,” tambahnya.

Pihak berkuasa persekutuan telah mengenal pasti suspek penembak sebagai Rahmanullah Lakanwal, 29 tahun, seorang warga Afghanistan yang sebelum ini bekerja dengan pasukan Amerika dan Agensi Risik Pusat (CIA) di Afghanistan sebelum tiba di Amerika pada 2021.

Dia segera ditahan sejurus selepas kejadian tembakan itu.

Encik Trump berkata dia berada dalam keadaan serius.

Peguam Negara, Cik Pam Bondi berkata pada 27 November bahawa beliau akan menuntut hukuman mati ke atas Lakanwal jika salah seorang daripada mangsa tembakan itu meninggal dunia.

Cik Beckstrom memulakan perkhidmatan ketenteraannya pada Jun 2023.

Beliau dan Encik Wolfe telah berada di Washington sejak permulaan pengerahan Pengawal Kebangsaan di ibu negara Amerika pada Ogos.

Peguam untuk Washington D.C., Cik Jeanine Pirro, berkata pada sidang media bahawa suspek kini menghadapi tiga pertuduhan dengan niat membunuh ketika menggunakan senjata.

Encik Trump dan Naib Presiden, Encik J.D. Vance dengan cepat menyalahkan pentadbiran mantan Presiden Joe Biden kerana membiarkan Lakanwal masuk ke Amerika.

Mereka turut menggunakan kejadian itu untuk mendesak sekatan imigresen yang lebih ketat, termasuk menghentikan semakan prosiding imigresen melibatkan warga Afghanistan dan mengarahkan semakan ke atas mereka yang sudah berada di Amerika.

Ini menimbulkan prospek bahawa hak penempatan untuk sekutu Afghanistan dalam pasukan Amerika mungkin dikurangkan.

Encik Trump, dalam ucapan video yang diterbitkan oleh Rumah Putih pada 26 November, berkata: “Kita mesti meneliti semula setiap warga asing yang telah memasuki negara kita dari Afghanistan di bawah Presiden Biden.

“Dan kita mesti mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan pengusiran mana-mana warga asing dari mana-mana negara yang tidak membawa manfaat kepada negara kita.”

Pada 27 November, Encik Joseph Edlow, ketua Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika, berkata agensinya, di bawah arahan Encik Trump, sedang menjalankan pemeriksaan semula berskala penuh dan ketat terhadap setiap warga asing pemegang kad hijau.

Beliau tidak menamakan negara tertentu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg