BANGKOK: Polis Thailand yang menyiasat kes tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi, sedang memeriksa aktiviti dalam talian suspek berusia 14 tahun itu selepas mendapati dia telah mencari maklumat tentang kejadian tembakan sekolah di Amerika Syarikat.

Motif tindakannya yang menyebabkan tujuh orang maut juga sedang disiasat.

Polis percaya bahawa remaja itu membunuh nenek dan datuknya di rumah mereka di Bang Khu Rat, daerah Bang Bua Thong, sebelum pergi ke sekolah pada pagi 7 Ogos.

Mayat mereka berdua ditemui selepas pegawai dan pasukan forensik memasuki kediaman itu.

Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Encik Wattana Yichin, menyatakan pemeriksaan ke atas rumah itu dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan.

Menurut polis, pintu depan rumah berkenaan telah dikunci dari luar.

Penyiasat percaya bahawa remaja itu meninggalkan rumah selepas menembak datuk dan neneknya dan kemudian pergi ke Sekolah Debsirin Nonthaburi, tempat kejadian tembakan yang menyebabkan tujuh orang maut.

Dia kemudian menembak dirinya sendiri.

Penyiasat menjalankan analisis komputer remaja berkenaan bagi menentukan apa yang membawa kepada serangan itu.

Pemeriksaan awal mendapati dia bermain permainan komputer yang mengandungi tema ganas dan telah mencari maklumat tentang kejadian tembakan sekolah di Amerika.

Dia melakukan pencarian itu sejak 30 Julai.

Polis belum dapat mengesahkan sama ada permainan ganas atau sejarah pencarian tersebut menyebabkan atau mendorong dia melakukan tembakan tersebut.

Penyiasat juga sedang meneliti sama ada terdapat masalah yang melibatkan remaja tersebut di sekolah.

Kata polis, senjata api yang digunakannya telah didaftarkan secara sah atas nama datuknya.

Polis berkata siasatan masih tertumpu kepada menentukan urutan kejadian dan faktor yang menyumbang kepada serangan tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Thailand akan meneliti langkah meningkatkan keselamatan di sekolah selepas kejadian tembakan yang menyebabkan lapan orang, termasuk pelaku, maut dan 23 yang lain cedera, kata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

Bagaimanapun, tiada rancangan konkrit pada masa ini, katanya, sambil menambah bahawa langkah memasang pengesan logam di sekolah adalah “tidak normal”.

“Tetapi Menteri Pendidikan telah memberitahu saya bahawa beliau perlu melakukan sesuatu untuk memberi jaminan kepada ibu bapa semua pelajar bahawa kami akan mengambil langkah perlindungan yang lebih baik berkenaan kanak-kanak yang membawa senjata api ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Debsirin Nonthaburi, tempat kejadian tembakan itu. – Agensi berita.