Keputusan pada 26 Januari 2024 oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel, mempunyai alasan sejarah yang mendalam untuk kedua-dua Israel dan Palestin. Tetapi ia kekurangan kesan praktikal serta-merta.
Mahkamah Dunia tidak memerintahkan penghentian pertempuran di Jaluran Gaza, dan tidak juga membuat sebarang percubaan untuk memutuskan merit kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, satu proses yang akan mengambil masa berbulan-bulan – jika tidak bertahun-tahun – untuk disempurnakan.
Tetapi mahkamah telah mengarahkan Israel supaya mematuhi Konvensyen Genosid, untuk membolehkan penghantaran lebih banyak bantuan ke Gaza, dan memaklumkan kepada mahkamah tentang usahanya untuk berbuat demikian.
Langkah sementara itu dirasakan seperti teguran kepada ramai rakyat Israel, dan kemenangan moral kepada ramai rakyat Palestin.
Bagi kebanyakan rakyat Israel, hakikat bahawa sebuah negara yang ditubuhkan selepas Holocaust telah dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai, adalah satu “simbol yang hebat,” kata Encik Alon Pinkas, seorang ahli politik Israel, pengulas dan bekas duta, selepas keputusan mahkamah di The Hague.
“Bahawa kita juga disebut dalam ayat yang sama sebagai melakukan pembunuhan beramai-ramai – bukan kekejaman, bukan kekerasan yang tidak seimbang, bukan jenayah perang, tetapi pembunuhan beramai-ramai – itu sangat tidak selesa,” tambahnya.
Bagi kebanyakan rakyat Palestin, campur tangan mahkamah antarabangsa itu menawarkan sedikit pengesahan terhadap penderitaan mereka. Israel jarang dipertanggungjawabkan atas tindakannya, kata rakyat Palestin dan penyokong mereka.
Keputusan mahkamah itu dirasakan seperti pengecualian yang dialu-alukan di tengah-tengah salah satu peperangan yang paling mengerikan dalam abad ini.
“Penyembelihan sedang berlangsung, pembunuhan beramai-ramai berterusan, kemusnahan keseluruhan sedang berterusan,” kata Encik Hanan Ashrawi, bekas pegawai Palestin.
Tetapi keputusan mahkamah mencerminkan “transformasi serius dalam cara Israel dilihat dan diperhatikan secara global,” katanya.
“Israel dipertanggungjawabkan buat kali pertama – dan oleh mahkamah tertinggi, dan keputusan hampir sebulat suara,” tambahnya.
Bagi rakyat Gaza, campur tangan itu akan membawa sedikit kelegaan.
Kempen Israel di Gaza telah membunuh lebih daripada 26,000 penduduknya, kata seorang pegawai, dan merosakkan kebanyakan bangunan di wilayah itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lebih empat daripada lima penduduk telah berpindah dari rumah mereka, sistem kesihatan telah runtuh, dan PBB telah berulang kali memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya kebuluran.
Dengan memerintahkan pematuhan Konvensyen Genosid, mahkamah mendesak Israel supaya patuh kepada undang-undang antarabangsa 1948.
Persetujuan itu melarang negara yang telah menandatanganinya, melakukan pembunuhan terhadap anggota sesuatu kaum, kumpulan atau agama dengan tujuan memusnahkan, walau sebahagian daripada anggota kumpulan tertentu itu.
Bagi kebanyakan warga Israel, keputusan itu kelihatan seperti contoh terbaru sikap berat sebelah terhadap Israel yang dibuat dalam satu forum antarabangsa.
Mereka mengatakan bahawa dunia memegang Israel pada standard yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara-negara lain.
Dalam arus perdana Israel, perang adalah satu keperluan dan kelangsungan hidup – dipaksa ke atas Israel oleh serangan Hamas pada 7 Oktober, yang membunuh lebih 1,400 orang dan menculik 240 yang lain ke Gaza, menurut anggaran Israel.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoava Gallant, yang kenyataannya menghasut tentang perang, telah dipetik oleh mahkamah dalam mukadimah keputusannya, menyifatkan keputusan mahkamah sebagai anti-Semitic atau anti-Yahudi.
“Negara Israel tidak perlu diceramahkan tentang akhlak, untuk membezakan antara pengganas dengan penduduk awam di Gaza,” kata Encik Gallant.
“Mereka yang mencari keadilan tidak akan menemuinya di atas kerusi kulit di dalam bilik mahkamah The Hague,” tambahnya.
Namun, arahan mahkamah mungkin memberi momentum dan perlindungan politik kepada pegawai Israel yang telah mendesak secara dalaman untuk meredakan tindakan tentera di Gaza dan mengurangkan bencana kemanusiaan di wilayah itu, menurut Cik Janina Dill, pakar dalam undang-undang antarabangsa di Universiti Oxford.
“Pembunuhan beramai-ramai adalah bayangan ke atas sejarah orang Yahudi, dan ia saling berkaitan dengan pengalaman peribadi saya sendiri,” tulis seorang peguam Israel, Encik Aharon Barak.
“Idea bahawa Israel kini dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai, adalah sangat sukar bagi saya secara peribadi untuk menerimanya, kerana saya sendiri adalah salah seorang yang menjadi mangsa aksi pembunuhan beramai-ramai semasa Holocaust.”
Dengan latar belakang yang kompleks itu, Encik Barak memilih untuk mengundi menentang beberapa langkah yang diluluskan oleh mahkamah.
Tetapi beliau menyertai rakan-rakannya menyeru Israel supaya membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza dan menghukum orang yang menghasut pembunuhan beramai-ramai.
Walaupun ramai rakyat Israel menyatakan kekecewaan terhadap keputusan itu, ada yang berasa lega kerana mahkamah tidak memerintahkan Israel agar menghentikan operasi ketenteraannya.
Menurut Encik Barak, jika perintah itu dikenakan, Israel “tidak dapat bertahan dalam menghadapi serangan kejam, tidak dapat memenuhi tugas paling asasnya terhadap rakyatnya.”
Tetapi bagi sesetengah rakyat Palestin, khususnya di Gaza, keputusan itu merupakan suatu pengkhianatan.
Ramai yang berharap mahkamah akan meminta Israel menghentikan perang sepenuhnya – satu langkah yang hampir mustahil untuk dikuatkuasakan.
Enam jam selepas keputusan mahkamah itu diumumkan, Kementerian Kesihatan Gaza mengeluarkan angka terbaru mangsa peperangan itu.
Tambahan 200 warga Gaza telah terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata kementerian itu pada petang 26 Januari. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg