BAGHDAD: Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammed Mustafa, berkata bahawa Penguasa Palestin (PA) bersedia untuk menubuhkan semula kepimpinan Palestin “bersatu” selepas perang Gaza.
Kepimpinan Palestin telah berpecah sejak 2007, dengan PA, diketuai oleh Encik Mahmoud Abbas, memegang kuasa terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel, manakala Hamas mengawal Jaluran Gaza.
“Kami bersedia, sebagai rakyat Palestin, untuk memikul tanggungjawab kami dari hari selepas perang Gaza berakhir untuk membantu memulihkan perpaduan rakyat dan kepimpinan Palestin,” kata Encik Mustafa semasa sidang akhbar dengan Menteri Luar Iraq, Encik Fuad Hussein pada 6 Jun di Baghdad.
“Kami juga perlu membuat persediaan dengan baik untuk mewujudkan sebuah negara Palestin dan menggalas tanggungjawab yang ada,” tambahnya.
Encik Mustafa bercakap beberapa hari selepas Sepanyol, Ireland, Norway dan Slovenia mengiktiraf negara Palestin.
Bagaimanapun, peranan PA selepas perang masih tidak pasti, sebahagiannya disebabkan pengaruhnya yang terhad di Gaza dan penentangan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, terhadap pembentukan negara Palestin.
Malah, terdapat perpecahan dalam pemerintah Israel mengenai rancangan pascaperang untuk Gaza.
Pada Mac, Amerika Syarikat berkata Penguasa Palestin yang “dihidupkan semula” boleh membantu menstabilkan kedua-dua Tebing Barat dan Gaza, suatu tanggapan yang telah ditolak Encik Netanyahu dengan alasan PA “menyokong” dan “membiayai keganasan”.
Kepimpinan Palestin sebahagian besarnya berpecah apabila Hamas menguasai Gaza pada 2007, menyingkirkan semua pegawai dari kumpulan Fatah, parti yang memerintah di Tebing Barat.
Israel telah berikrar bahawa Hamas tidak akan dapat memainkan apa-apa peranan dalam memerintah Jaluran Gaza selepas perang berakhir dan Encik Netanyahu telah menolak gesaan antarabangsa supaya PA yang dihidupkan semula diberi kuasa mengawal Gaza.
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pada 4 Jun memberitahu Encik Netanyahu bahawa PA harus “dipastikan mentadbir urus” Jaluran Gaza, kata pejabat presiden.
Encik Macron dalam perbincangan telefon dengan Encik Netanyahu menyokong cadangan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan yang dibentangkan oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden.
Beliau berkata: “Perjanjian ini seharusnya membuka semula perspektif yang boleh dipercayai bagi pelaksanaan penyelesaian dua negara, satu-satunya yang mampu memberikan Israel jaminan keselamatan yang diperlukan dan untuk bertindak balas terhadap aspirasi sah rakyat Palestin.”
“Gaza mesti menjadi sebahagian daripada negara Palestin pada masa depan dan PA yang diperbaharui dan diperkukuh, dengan bantuan masyarakat antarabangsa, harus memastikan tadbir urusnya,” tambah Encik Macron. – AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg