Keselamatan New York satukan perbezaan ideologi Datuk Bandar dan Ketua Polis
Keselamatan New York satukan perbezaan ideologi Datuk Bandar dan Ketua Polis
NEW YORK: Beberapa hari selepas Encik Zohran Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar New York City, satu persoalan besar mula berlegar dalam kalangan warga kota, komuniti perniagaan dan kepimpinan politik negeri: adakah Pesuruhjaya Polis, Cik Jessica Tisch, akan kekal berkhidmat di bawah pentadbiran baharu yang secara ideologi dilihat sangat berbeza?
Soalan itu turut dibincangkan secara peribadi di meja makan keluarga Cik Tisch di Upper East Side, ketika makan tengah hari Shabbat, iaitu hari rehat mingguan dalam tradisi Yahudi yang lazim diraikan dengan perhimpunan keluarga dan jamuan bersama dari petang Jumaat hingga petang Sabtu. Dalam suasana itu, bapa Jessica, Encik James Tisch, bertanya secara terus terang: “Jadi, apa yang kamu akan lakukan?”
Ketika itu, ramai di seluruh bandar turut tertanya-tanya perkara sama. Cik Jessica Tisch, yang dilantik sebagai pesuruhjaya polis oleh Datuk Bandar terdahulu Encik Eric Adams pada 2024, telah membina reputasi sebagai pemimpin yang berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah.
Namun, adakah beliau sesuai dengan pentadbiran Encik Mamdani, seorang ahli politik berusia 34 tahun yang beragama Islam dan dikenali dengan pandangan kritikal terhadap Israel serta kritikan lampau terhadap Jabatan Polis New York?
Secara zahirnya, gabungan itu kelihatan sukar dibayangkan. Mamdani pernah menyifatkan polis New York sebagai “perkauman, anti-LGBTQ dan ancaman besar kepada keselamatan awam”.
Cik Tisch pula beragama Yahudi, penyokong Israel, dan berasal daripada keluarga bilionair berpengaruh, dengan saudara-mara yang menyumbang lebih AS$1 juta (S$1.28 juta) kepada kempen pencabar utama Encik Mamdani, bekas Gabenor Encik Andrew M. Cuomo.
Namun, dalam kalangan komuniti perniagaan, kegusaran terhadap kebangkitan politik Mamdani yang dianggap tidak berpengalaman dan berhaluan kiri telah menimbulkan satu harapan jelas: Cik Jessica Tisch mesti kekal. Pendapat itu turut dikongsi oleh Gabenor New York, Cik Kathy Hochul.
Menjadi pesuruhjaya polis adalah impian kerjaya Cik Jessica Tisch sejak sekian lama. Pada Oktober lalu, Encik Mamdani memberi isyarat bahawa beliau akan meminta Cik Tisch untuk terus berkhidmat. Namun keputusan muktamad masih menjadi tanda tanya, termasuk di kalangan keluarga sendiri.
Menurut sumber yang mengetahui perbincangan itu, keputusan tersebut akhirnya dipengaruhi oleh suara yang tidak disangka. Anak lelaki Cik Tisch yang berusia 10 tahun, Harry, menyuarakan pandangannya bahawa ibunya patut menerima tawaran itu. Katanya, rakyat di seluruh negara akan terdorong dan yakin melihat dua tokoh yang sangat berbeza latar belakang mampu bekerjasama serta melangkaui perbezaan.
Kata-kata itu disambut dengan persetujuan tersirat daripada ibu Jessica, Cik Merryl Tisch, yang sekadar mengangkat bahu sambil berkata, “Daripada mulut kanak-kanak.” Tidak lama kemudian, selepas hanya satu pertemuan rasmi, Encik Mamdani secara rasmi meminta Cik Tisch untuk kekal sebagai Pesuruhjaya Polis, dan beliau menerima tawaran tersebut.
Namun, persoalan sebenar masih belum terjawab: sejauh mana kedua-duanya mampu bekerjasama dalam jangka panjang? Dengan mengekalkan Cik Tisch, Encik Mamdani mempertaruhkan masa depan politiknya pada seorang pegawai yang pendekatannya terhadap kepolisan bercanggah dengan banyak prinsip yang membentuk perjalanan politiknya sendiri.
Risikonya nyata. Jenayah boleh meningkat. Ancaman keganasan boleh kembali. Demonstrasi besar, sama ada berkaitan Israel atau penguatkuasaan imigresen, boleh tercetus. Dan seperti yang sering berlaku di New York, drama yang tidak dijangka boleh muncul pada bila-bila masa.
Namun begitu, dalam pandangan ramai pemerhati, peranan Cik Tisch dilihat sebagai faktor paling kritikal dalam menentukan kejayaan kepimpinan Encik Mamdani. Tinjauan pendapat menunjukkan keselamatan awam kekal sebagai keutamaan nombor satu penduduk New York. Tanpa rasa selamat di jalanan, agenda kos sara hidup yang diperjuangkan Mamdani hampir pasti akan kehilangan sokongan.
“New York sentiasa seperti kawah yang boleh meletup pada bila-bila masa, selalunya dengan perkara yang langsung tidak dijangka,” kata Dr Ester Fuchs, profesor dasar awam di Universiti Columbia.
Walaupun kedua-duanya enggan mengulas secara rasmi, buat masa ini Encik Mamdani dilihat memberi ruang luas kepada Cik Tisch dalam hal-hal kepolisan. Namun pendekatan itu tidak disenangi semua pihak.
Sebahagian penyokong akar umbi Encik Mamdani kecewa, melihat langkah itu sebagai pengkhianatan terhadap idealisme kempen. Sebaliknya, komuniti perniagaan meraikannya sebagai satu kemenangan besar.
Pengaruh Cik Tisch jelas kelihatan pada Disember lalu di Bilik Rainbow, ketika 300 pemimpin perniagaan menghadiri mesyuarat tahunan Perkongsian untuk Bandar Raya New York. Dalam ucaptamanya, Cik Tisch membentangkan data penurunan jenayah dan kejayaan menarik rekrut baharu, sehingga mendapat tepukan berdiri.
Tokoh media dan perniagaan, Encik Barry Diller, menyatakan secara terbuka bahawa sokongan terhadap Cik Tisch dalam kalangan pemimpin perniagaan sangat kuat, sehingga ada yang berharap beliau sendiri bertanding sebagai datuk bandar.
“Pada mulanya saya berharap kamu akan memegang jawatan yang lebih tinggi, tetapi buat masa ini saya bersyukur kamu masih berada dalam peranan ini,” katanya, seperti dipetik oleh Cik Kathryn Wylde, bekas ketua eksekutif organisasi tersebut.
Kebimbangan terhadap Encik Mamdani bukan tanpa sebab. Tidak lama dahulu, beliau menyokong idea mengurangkan peruntukan polis dan mengkritik beberapa taktik kepolisan, termasuk pangkalan data berkaitan geng serta Pasukan Tindak Balas Strategik.Beliau juga bercadang menubuhkan agensi baru untuk menangani krisis kesihatan mental, sebagai pelengkap kepada peranan polis.
Namun, sejak mula bekerjasama, Encik Mamdani dan Cik Tisch dilihat membina hubungan profesional yang selesa, dengan mesyuarat mingguan secara bersemuka. Hubungan itu diuji awal Disember lalu apabila sebuah laporan media memetik kenyataan salah seorang adik Cik Tisch yang menggelar Mamdani sebagai “musuh” orang Yahudi.
Cik Tisch segera memohon maaf, dan kedua-duanya bergerak ke hadapan.
Ujian sebenar tercetus hanya seminggu selepas Encik Mamdani mengangkat sumpah, apabila dua insiden tembakan maut melibatkan polis berlaku. Kenyataan awal beliau yang bersifat berhati-hati mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota pasukan. Sebaliknya, Cik Tisch tampil dengan pendirian jelas, menyifatkan tindakan anggota terlibat sebagai wajar dan mencerminkan keberanian dalam melaksanakan tugas.
Namun, detik paling menyatukan kedua-duanya berlaku selepas seorang pegawai polis, Encik Didarul Islam, terbunuh ketika bertugas. Encik Mamdani, yang berada di luar negara, segera menghubungi Cik Tisch dari Uganda. Beliau kemudian terus menemui keluarga mangsa sebaik pulang.
Di masjid Bronx, Cik Tisch menyampaikan ucapan penghormatan yang menyentuh hati, merujuk konsep Jannah dalam Islam. Encik Mamdani hadir sebagai jemaah, duduk dengan penuh hormat. Kepekaan kedua-duanya meninggalkan kesan mendalam antara satu sama lain.
Tekanan politik untuk mengekalkan Cik Tisch sebenarnya telah bermula lebih awal. Peguam Negara New York, Cik Letitia James, serta pemimpin masyarakat Al Sharpton menyokong langkah tersebut. Gabenor Hochul juga memberi isyarat sokongan.
Walaupun ada kecaman daripada kumpulan kiri pro-Palestin, Mamdani mempertahankan keputusannya. “Saya mengekalkan Pesuruhjaya Tisch kerana kerja yang beliau lakukan,” katanya. “Beliau mengetuai jabatannya.”
Pada sidang media bersama pertama mereka di One Police Plaza, perbezaan gaya kepimpinan jelas terserlah. Cik Tisch membentangkan data terperinci mengenai penurunan kadar jenayah, manakala Encik Mamdani merumuskan makna di sebalik angka tersebut dengan nada empati: “Setiap peratusan itu membawa makna sebuah meja makan yang tidak lagi kehilangan ahli keluarga.”
Buat masa ini, hubungan kerja antara mereka masih di peringkat awal. Namun bagi dua tokoh yang sama-sama komited kepada perkhidmatan awam, perbezaan pendekatan yang pada awalnya menimbulkan persoalan kini dilihat berpotensi menjadi kekuatan bersama — bermula daripada satu perbincangan peribadi di meja makan keluarga, sehingga berkembang menjadi keputusan yang membentuk hala tuju kepimpinan bandar raya terbesar di Amerika Syarikat. - Agensi berita

