SRINAGAR/PIR CHINASI (Pakistan): Hotel dan bot rumah di Kashmir India menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi menarik semula pelancong ekoran serangan maut pada April.
Di pihak Pakistan, kawasan tumpuan pelancong di sekitar sempadan telah ditutup apabila laungan perang antara dua negara jiran bermusuhan itu semakin kuat bergema.
Penduduk di wilayah Himalaya yang terkenal dengan puncaknya dilitupi salji, sungai yang mengalir deras dan taman zaman Mughal yang megah, sangat bergantung kepada sektor pelancongan, tetapi mata pencarian mereka terjejas akibat permusuhan terbaru antara Pakistan dengan India.
Negara jiran bersenjata nuklear itu telah berperang dalam dua peperangan ke atas wilayah yang dipertikaikan itu.
Kedua-dua negara saling menuntut sepenuhnya semasa memerintah sebahagiannya.
Pertempuran antara tentera yang ditempatkan di sepanjang sempadan de facto itu telah menjadikan Kashmir sebagai barisan hadapan perselisihan mereka.
Tetapi penurunan mendadak kegiatan militan dan gencatan senjata yang dilaksanakan selama empat tahun, telah mencetuskan ledakan pelancongan pada 2024, dengan lebih tiga juta pelancong berkunjung ke bahagian India di Kashmir manakala hampir 1.5 juta pula di bahagian Pakistan.
Kenaikan bilangan pelancong itu telah disebut-sebut sebagai kisah kejayaan besar bagi pemerintah India pimpinan Perdana Menteri Encik Narendra Modi.
Namun, tindakan beliau menarik balik status autonomi Kashmir pada 2019 membawa kepada pergolakan besar-besaran.
Hotel, rumah bot dan teksi hampir penuh ditempah pada permulaan musim panas tahun ini, sebelum serangan pada April 2025 ke atas pelancong yang menyaksikan 26 orang terbunuh.
India telah menyalahkan Pakistan atas serangan itu dan mengumumkan beberapa siri langkah diplomatik dan ekonomi terhadap negara jiran itu.
Pakistan telah menafikan sebarang peranan tetapi membalas tindakan yang dilakukan oleh India dan memberi amaran tentang serangan tentera yang akan dilakukan negara jirannya itu.
Encik Yaseen Tuman, yang mengendalikan agensi pelancongan berusia lebih 100 tahun dan mengendalikan beberapa bot rumah di Srinagar, bandar utama Kashmir India, berkata hampir semua pelanggannya telah membatalkan tempahan dan bot-bot rumahnya kosong.
“Dulu rumah bot kami penuh sesak dan kini kami tiada tetamu,” keluh Encik Tuman ketika ditemui di salah satu bot rumahnya di Tasik Nigeen.
Laman web tempahan pelancongan India menunjukkan bot rumah dan hotel menawarkan diskaun besar, tetapi Encik Tuman berkata beliau tidak akan mengurangkan bayaran kerana tidak menjangkakan bilangan pelancong yang besar. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg