Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua agensi antirasuah Indonesia disiasat berkaitan kes peras ugut mantan menteri

Oct 20, 2023 | 2:15 PM
KETUA AGENSI PENCEGAH RASUAH: Encik Firli Bahuri, ketua badan pencegah rasuah Indonesia, telah dipanggil Polis Metro Jakarta, untuk siasatan dakwaan kes pemerasan.
KETUA AGENSI PENCEGAH RASUAH: Encik Firli Bahuri, ketua badan pencegah rasuah Indonesia, telah dipanggil Polis Metro Jakarta, untuk siasatan dakwaan kes pemerasan. - Foto TEMPO

JAKARTA: Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia, Encik Firli Bahuri, dipanggil untuk disoal di Polis Metro Jakarta pada Jumaat berhubung dakwaan beliau terlibat dalam kes peras ugut melibatkan mantan Menteri Pertanian, Encik Syahrul Yasin Limpo.

Demikian menurut Pengarah Siasatan Jenayah Khas di Polis Metro Jaya, Ketua Pesuruhjaya, Encik Ade Safri Simanjuntak, dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Tempo.

Encik Syahrul telah ditangkap sebelum ini kerana didakwa terlibat dalam rasuah di Kementerian Pertanian.

Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pertanian beberapa hari selepas KPK melakukan serbuan mengejut di rumahnya dan merampas wang tunai berjumlah berbilion rupiah.

Menurut Encik Ade, bahagian rasuah Polis Metro Jaya akan menyiasat kes melibatkan Encik Firli.

Sementara itu, Ketua Pengawas Polis Indonesia (IPW), Encik Sugeng Teguh Santoso, percaya penyiasat polis mempunyai cukup bukti untuk menamakan Encik Firli sebagai suspek.

Justeru, Encik Sugeng berpendapat penyiasat akan segera menamakan beliau secara rasmi sebagai salah seorang suspek selepas siasatan.

“IPW menganalisis bahawa selepas Firli disiasat dan keterangannya disifatkan mencukupi, penyiasat akan menjalankan perbicaraan awal untuk memutuskan suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Polis Metro Jakarta telah meminta KPK menyelia siasatan kes tersebut.

“IPW percaya permintaan penyeliaan oleh Polis Metro Jaya kepada KPK adalah berani dan menunjukkan polis bersedia untuk diawasi oleh suruhanjaya itu,” rumus Encik Sugeng.

Dalam pada itu, Encik Ade juga menyatakan polis akan menyiasat lapan saksi berhubung dakwaan kes peras ugut melibatkan Encik Firli.

“Siasatan dijadualkan hari ini (Khamis), terhadap lapan saksi mengikut surat saman yang dihantar oleh penyiasat,” kata Encik Ade dalam satu kenyataan, lapor Tempo.

Encik Ade menyebut lapan saksi itu terdiri daripada enam kakitangan KPK, seorang dari Pusat Data dan Maklumat Kementerian Kesihatan, dan seorang lagi tidak diketahui asalnya.

Beliau juga tidak memberikan butiran mengenai nama setiap saksi.

“Siasatan akan bermula pada 10 pagi waktu tempatan,” katanya.

Pada Rabu, Polis Metro Jaya menjadualkan menyoal siasat 19 saksi.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka tidak hadir, termasuk Pembantu Pegawai dari Kementerian Pertanian.

Sementara itu, antara 16 saksi yang disiasat polis ialah mantan Naib Ketua KPK, Encik Mochammad Jasin.

Encik Ade mengatakan bahawa sejak 9 Oktober, 45 saksi disiasat polis berhubung dakwaan kes peras ugut melibatkan Encik Firli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg