JAKARTA: Ketua Agensi Pemakanan Nasional Indonesia (BGN), Nanik Sudaryati Deyang, meletakkan jawatan selepas hanya kira-kira 45 hari memegang jawatan itu atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi perubahan kepemimpinan kedua dalam tempoh lebih sebulan bagi agensi yang mengendalikan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) Presiden Prabowo Subianto.

Peletakan jawatan itu berlaku ketika program utama pentadbiran Prabowo berdepan satu lagi pengurangan bajet, selain terus dihimpit pelbagai cabaran termasuk siasatan rasuah, masalah logistik, isu kualiti makanan dan beberapa insiden keracunan makanan sejak ia dilancarkan pada Januari 2025.

Menerusi hantaran di Facebook pada 22 Julai, Cik Nanik berkata beliau terpaksa berundur selepas disahkan menghidap masalah jantung dan akan berlepas ke luar negara pada hari sama bagi mendapatkan pandangan perubatan kedua.

“Dengan seribu kemaafan, saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ketua BGN demi kesihatan saya.

Presiden berasa simpati dengan keadaan saya dan bersetuju menerima peletakan jawatan ini,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, beliau berkata doktor memaklumkan saluran arterinya tersumbat akibat tekanan kerja yang melampau.

Menurut Cik Nanik, Presiden Prabowo bukan sahaja menerima peletakan jawatannya, malah meminta beliau terus membantu agensi itu dalam kapasiti berbeza.

“Presiden meminta saya terus memantau BGN. Kemungkinan sebuah lembaga penyelia akan ditubuhkan dan saya diminta mengetuainya,” katanya.

Beliau berkata masih mampu memberi nasihat dan memantau perjalanan agensi, namun tidak lagi mahu terbabit dalam urusan kewangan.

“Jika sekadar memberi pandangan dan memantau, saya masih boleh melakukannya. Asalkan tidak melibatkan pengurusan wang... saya sudah trauma,” katanya.

Cik Nanik dilantik menerajui BGN pada Jun lalu selepas bekas ketua agensi itu, Dadan Hindayana, dipecat dan ditahan atas dakwaan penyelewengan dana program bernilai berbilion rupiah itu bersama dua timbalannya.

Beliau merupakan satu-satunya timbalan yang dikekalkan Prabowo selepas rombakan besar-besaran susulan siasatan rasuah terhadap agensi berkenaan.

Sepanjang tempoh singkat memimpin BGN, Cik Nanik melaksanakan beberapa pembaharuan besar bagi memperkemaskan pelaksanaan program MBG.

Antara langkah yang diperkenalkan ialah menilai hampir 28,000 dapur komuniti di seluruh Indonesia, mewujudkan sistem penggredan untuk kira-kira 3,000 dapur serta menghentikan pembukaan dapur baharu di kawasan yang sudah mempunyai kapasiti mencukupi.

Pembantu khas Presiden, Encik Dirgayuza Setiawan, berkata pembaharuan yang diperkenalkan Cik Nanik berjaya menjimatkan ratusan bilion rupiah.

Beliau berkata Cik Nanik turut mengambil tindakan terhadap 414 dapur yang bermasalah, menubuhkan 11 pasukan reformasi dalaman dan mengalihkan tumpuan program kepada golongan paling memerlukan.

Peletakan jawatan beliau berlaku hanya sehari selepas BGN mengumumkan bajet program MBG bagi 2026 dipotong sekali lagi.

Bajet program itu kini dikurangkan kepada 229 trilion rupiah (kira-kira S$18.7 bilion) berbanding 268 trilion rupiah sebelum ini.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding peruntukan asal sebanyak 335 trilion rupiah yang diumumkan bagi mencapai sasaran 83 juta penerima menjelang akhir 2026.

Setiausaha BGN, Cik Lili Khamiliyah, berkata angka 229 trilion rupiah itu masih bersifat sementara kerana Prabowo memberi tempoh sebulan kepada agensi tersebut untuk memuktamadkan semula jumlah perbelanjaan selepas semakan dalaman selesai.

Timbalan Ketua BGN, Cik Agustina Arumsari, pula berkata pemerintah tidak lagi terlalu menumpukan sasaran jumlah penerima, sebaliknya mahu memastikan mutu makanan dipertingkatkan.

“Akan berlaku pengurangan jumlah penerima. Presiden tidak lagi menetapkan sasaran tertentu, sebaliknya mahu meningkatkan kualiti supaya tiada lagi kes keracunan makanan,” katanya.

Program MBG merupakan janji pilihan raya terbesar Prabowo ketika kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024.

Program itu bertujuan menyediakan makanan berkhasiat secara percuma setiap hari kepada kanak-kanak dan wanita hamil di seluruh Indonesia sebagai usaha meningkatkan tahap pemakanan rakyat serta melahirkan “Generasi Emas Indonesia”.

Namun sejak dilaksanakan, program itu berdepan pelbagai kritikan.

Menurut pertubuhan bukan pemerintahRangkaian Pemantau Pendidikan, sekurang-kurangnya 33,000 murid dilaporkan mengalami keracunan makanan sehingga April lalu yang dikaitkan dengan program berkenaan.

Selain itu, program tersebut turut menjadi perhatian kerana kosnya yang tinggi dan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan negara.

Walaupun tidak lagi menerajui BGN, Cik Nanik menegaskan beliau akan terus menyokong usaha Encik Prabowo menjayakan program itu.

“Saya akan terus berjuang dan menyokong presiden yang sedang bekerja tanpa mengenal penat demi meningkatkan taraf hidup rakyat Indonesia,” katanya.

Beliau berkata selepas 14 tahun bekerja bersama Encik Prabowo, beliau yakin program MBG tidak pernah diwujudkan untuk kepentingan politik.

“Program Makanan Berkhasiat Percuma benar-benar bertujuan meningkatkan pemakanan kanak-kanak supaya mereka membesar sebagai Generasi Emas, di samping melindungi kesihatan mereka,” katanya.

Sehingga kini, pemerintah Indonesia belum mengumumkan pengganti Nanik, namun beliau memaklumkan jawatan itu dijangka diisi oleh seorang pegawai kanan dalam BGN. - Agensi berita