Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua makanan percuma Indonesia dilapor disiasat selepas dipecat
Ketua makanan percuma Indonesia dilapor disiasat selepas dipecat
Ketua makanan percuma Indonesia dilapor disiasat selepas dipecat
JAKARTA: Pejabat Pejabat Peguam Negara Indonesia menyerbu ibu pejabat Badan Gizi Nasional (BGN) di Jakarta pada awal pagi 3 Jun, hanya beberapa jam selepas Presiden Prabowo Subianto menggugurkan ketua agensi itu, Encik Dadan Hindayana.
Serbuan itu sekali gus meningkatkan tekanan terhadap program Makanan Bergizi Percuma (MBG), projek utama pentadbiran Encik Prabowo yang bernilai berbilion dolar tetapi sejak awal pelaksanaannya terus dibayangi isu keracunan makanan, pembaziran bajet dan dakwaan penyelewengan.
Media tempatan turut melaporkan bahawa Encik Dadan dikatakan telah dibawa pihak berkuasa bersama seorang lagi bekas pegawai kanan BGN, manakala seorang lagi individu sedang dikesan di Jawa Barat.
Namun sehingga kini, pihak berkuasa Indonesia belum mengesahkan secara rasmi penahanan tersebut.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara mengesahkan operasi tersebut kepada agensi berita Reuters, namun enggan mengulas lanjut mengenai siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut beberapa sumber, pasukan penyiasat tiba di bangunan BGN di kawasan Kebon Sirih, Jakarta Pusat, sekitar 2 pagi waktu tempatan dengan beberapa kenderaan.
Bangunan itu kemudian dikunci dan dikawal ketat sehingga lewat pagi, menyebabkan kakitangan yang hadir bekerja tidak dibenarkan memasuki pejabat.
“Ada individu yang sedang diburu di Jawa Barat. Pasukan kejaksaan sudah berada di BGN sejak jam 2 pagi,” kata satu sumber kepada media tempatan.
Tinjauan di lokasi menunjukkan aktiviti pejabat hampir lumpuh sepenuhnya apabila pekerja hanya duduk di luar bangunan sambil menunggu arahan lanjut.
Pegawai keselamatan mengarahkan semua kakitangan berada di luar kerana operasi pihak pendakwa raya sedang dijalankan di dalam bangunan.
Beberapa pekerja memberitahu Reuters bahawa mereka tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Salah seorang kakitangan berkata operasi serbuan dipercayai tertumpu di tingkat dua bangunan, lokasi pejabat kepimpinan tertinggi BGN.
Serbuan itu berlaku kurang 24 jam selepas Encik Prabowo mengumumkan rombakan besar pada kepimpinan BGN.
Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, berkata pemecatan Encik Dadan dibuat selepas Presiden menilai prestasi agensi berkenaan sepanjang satu setengah tahun lalu.
“Presiden memutuskan untuk melakukan perubahan kepimpinan di BGN,” katanya pada sidang media di Kompleks Istana Presiden di Jakarta pada 2 Jun.
Jawatan Encik Dadan kini digantikan oleh timbalannya, Cik Nanik Sudaryati Deyang, bekas wartawan yang turut terlibat dalam pasukan kempen Encik Prabowo semasa pilihan raya 2024.
Encik Prasetyo berkata antara isu utama yang menjadi perhatian ialah disiplin dalam tadbir urus dan kawalan standard kualiti makanan.
“Terdapat isu berkaitan disiplin pelaksanaan tadbir urus termasuk disiplin dalam menjaga standard mutu makanan yang sepatutnya dibentuk oleh BGN,” katanya.
Program MBG dilancarkan pada Januari 2025 dan menjadi janji utama Encik Prabowo dalam kempen presidennya.
Pemerintah memperuntukkan sekurang-kurangnya AS$15 bilion ($19.2 bilion) bagi menyediakan makanan percuma kepada kira-kira 83 juta kanak-kanak serta wanita hamil di seluruh Indonesia.
Namun program itu terus menerima kritikan hebat selepas beberapa siri kes keracunan makanan melibatkan pelajar sekolah dilaporkan di pelbagai wilayah.
Menurut organisasi pemantau pendidikan, Rangkaian Pemantau Pendidikan, sekurang-kurangnya 33,000 kanak-kanak terjejas akibat keracunan makanan sehingga April lalu.
Data Kementerian Kesihatan Indonesia pula menunjukkan sebanyak 446 kes keracunan makanan direkodkan melibatkan 37,693 mangsa di 220 daerah dan bandar sehingga awal Mei.
Kontroversi memuncak pada September tahun lalu apabila 657 pelajar di Jawa Barat dilaporkan keracunan selepas memakan hidangan MBG.
Kes sama turut berlaku di Jawa Tengah, Nusa Tenggara Timur dan Kalimantan Selatan.
Selain isu keselamatan makanan, Encik Dadan juga beberapa kali mencetuskan kontroversi melalui kenyataan awamnya.
Antara kenyataan yang menerima kecaman ialah apabila beliau menceritakan dua anaknya diwajibkan minum dua liter susu setiap hari bagi membantu tumbesaran.
Beliau juga pernah mencadangkan penggunaan serangga seperti belalang dan ulat sagu sebagai sumber protein alternatif dalam menu MBG di kawasan tertentu.
“Boleh jadi ada satu daerah yang biasa makan serangga seperti belalang atau ulat sagu sebagai sumber protein,” katanya dalam satu mesyuarat pada Januari lalu.
BGN turut dikritik kerana beberapa perolehan yang dianggap berlebihan dan mencurigakan.
Antaranya pembelian 21,000 motosikal elektrik bernilai 42 juta rupiah setiap satu, peruntukan hampir 114 bilion rupiah untuk khidmat pengurusan acara serta pembelian tuala mandi dan pengilat kasut bernilai berbilion rupiah.
Pada Mei lalu, Badan Pemantau Rasuah Indonesia (ICW) turut memfailkan aduan terhadap Encik Dadan berhubung dakwaan ketidakpatuhan bajet. – Agensi berita.
