Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua baru agensi ikrar program makanan percuma Indonesia bebas rasuah
Ketua baru agensi ikrar program makanan percuma Indonesia bebas rasuah
Ketua baru agensi ikrar program makanan percuma Indonesia bebas rasuah
JAKARTA: Ketua baharu Agensi Pemakanan Nasional (BGN), Encik Sudaryono, berikrar memperkukuh tadbir urus Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) serta menghapuskan sebarang amalan rasuah dan konflik kepentingan yang menjejaskan pelaksanaan program utama Presiden Prabowo Subianto itu.
Beliau menegaskan dirinya dan ahli keluarganya tidak memiliki sebarang dapur MBG atau Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi (SPPG), sekali gus menolak dakwaan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam operasi program berkenaan.
“Tidak, sama sekali tidak. Saya dan ahli keluarga saya tidak memiliki SPPG. Kami tidak mempunyai sebarang dapur,” katanya kepada media selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Prabowo di Istana Negara, Jakarta, pada 22 Julai.
Encik Sudaryono menggantikan Cik Nanik Sudaryati Deyang yang meletak jawatan pada 22 Julai atas faktor kesihatan selepas menerajui BGN selama kira-kira enam minggu.
Pelantikannya dibuat ketika agensi itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk siasatan rasuah, pemotongan bajet, isu tadbir urus serta beberapa insiden keracunan makanan yang mencetuskan kritikan terhadap program berkenaan.
Beliau berkata MBG ialah program keutamaan nasional yang menguruskan peruntukan kewangan sangat besar, justeru ketelusan dan akauntabiliti mesti menjadi keutamaan bagi memastikan keyakinan rakyat terus terpelihara.
“Program ini mesti diurus secara bersih dan telus. Saya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang amalan rasuah,” katanya.
Encik Sudaryono turut menggesa orang ramai segera melaporkan jika ada pihak yang menggunakan namanya untuk meminta imbuhan, menawarkan perkhidmatan atau mendapatkan projek berkaitan MBG.
Beliau memberi jaminan tidak akan memberi layanan istimewa kepada ahli keluarga, rakan atau kenalan dalam sebarang urusan membabitkan BGN.
“Saya mahu semua masalah diselesaikan mengikut mekanisme dan sistem yang ditetapkan. Tiada siapa akan menerima layanan istimewa,” katanya.
Beliau mengakui BGN masih berdepan pelbagai kelemahan, termasuk salah laku, pelanggaran undang-undang dan kekurangan ketelusan dalam pelaksanaan program.
Menurutnya, sebahagian isu berkenaan sudah disiasat pihak berkuasa, manakala selebihnya sedang dinilai semula bersama kementerian dan agensi berkaitan.
“Semua ini tidak boleh diselesaikan dalam sehari. Saya dan pasukan bersedia menerima pandangan daripada semua pihak bagi memperbaiki keadaan,” katanya.
Encik Sudaryono turut menolak gesaan segelintir pihak supaya BGN dibubarkan berikutan pelbagai kontroversi yang melanda agensi itu.
Katanya, keputusan untuk meneruskan atau menghentikan MBG bukan berada di bawah bidang kuasa BGN kerana program berkenaan adalah mandat politik Presiden Prabowo.
“Program makanan berkhasiat percuma ialah mandat Presiden. Tugas kami ialah memastikan pelaksanaannya menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata program itu disasarkan memberi manfaat kepada 82.9 juta penerima menjelang akhir 2026, termasuk murid sekolah, wanita hamil, ibu menyusu dan warga emas.
Selain meningkatkan pemakanan golongan sasaran, katanya, MBG turut bertujuan merangsang ekonomi tempatan terutama di kawasan luar bandar melalui pembelian bahan mentah daripada pengusaha tempatan.
Bagi memperkukuh tadbir urus, Encik Sudaryono berkata proses yang masih dijalankan secara manual akan didigitalkan supaya semua urusan dapat direkod dan dipantau dengan lebih berkesan.
“Apa yang belum telus akan dijadikan telus. Jika masih ada proses manual, kami akan mendigitalkannya supaya semuanya direkodkan dengan baik. Tiada lagi urusan yang dilakukan secara tertutup,” katanya.
Beliau juga memaklumkan akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pertanian bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada BGN.
Sementara itu, mantan ketua BGN, Cik Nanik, berkata beliau meletakkan jawatan bagi mendapatkan rawatan penyakit jantung di luar negara selepas doktor mengesan saluran arteri jantungnya tersumbat.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata tekanan menguruskan program bernilai ratusan trilion rupiah itu memberi kesan besar terhadap kesihatannya.
“Saya terlalu bimbang menguruskan bajet yang begitu besar sehingga tidak berani menandatangani apa-apa dokumen bersendirian. Setiap keputusan saya semak berulang kali,” katanya.
Beliau menyifatkan tanggungjawab menjaga wang rakyat ibarat “berdiri di tepi gaung”, di mana sedikit kesilapan boleh membawa padah.
Peletakan jawatan Cik Nanik berlaku kurang dua bulan selepas beliau mengambil alih jawatan daripada Encik Dadan Hindayana yang dipecat dan kemudian ditahan dalam siasatan rasuah berkaitan program MBG.
Kes berkenaan mencetuskan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan perolehan serta pengurusan kewangan program itu, termasuk dakwaan Dadan mengendalikan beberapa dapur MBG melalui sebuah yayasan yang mempunyai kaitan dengannya.
Sejak dilancarkan pada Januari 2025, MBG berdepan pelbagai cabaran termasuk kelewatan pelaksanaan, isu kualiti makanan dan beberapa insiden keracunan makanan secara besar-besaran.
Pada minggu ini, BGN turut mengumumkan bajet program bagi 2026 dikurangkan buat kali kedua daripada 268 trilion rupiah kepada 229 trilion rupiah ($12.8 bilion), dengan semakan lanjut masih dijalankan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Encik Sudaryono menegaskan BGN akan terus menambah baik sistem pentadbiran bagi memastikan program itu mencapai matlamat asal untuk meningkatkan pemakanan rakyat, terutama kanak-kanak dan golongan rentan, secara telus dan berintegriti. – Agensi berita.