JAKARTA: Ketua Bursa Saham Indonesia (IDX) mempertahankan kebebasan penyedia indeks antarabangsa Morgan Stanley Capital International (MSCI) selepas mantan menteri perdagangan Indonesia menuduh Singapura merancang untuk menjatuhkan harga saham Indonesia.

Presiden Pengarah IDX, Encik Jeffrey Hendrik, berkata pada 20 Oktober bahawa penyedia indeks beroperasi secara bebas, mengulas dakwaan mantan Menteri Perdagangan, Encik Muhammad Lutfi, bahawa Temasek dan dana kekayaan negara Singapura, Lembaga Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (GIC), memberi tekanan kepada MSCI supaya menurunkan taraf pasaran saham Indonesia kepada ‘pasaran berdiri sendiri’ (standalone market).

“Kami sentiasa percaya bahawa penyedia indeks antarabangsa adalah bebas,” kata Encik Jeffrey kepada pemberita di bangunan IDX di Jakarta.

Encik Lutfi turut menuduh Singapura menggunakan kemerosotan pasaran saham Indonesia dan isu jerebu rentas sempadan untuk menjejaskan kepentingan ekonomi negara itu.

Beliau juga mengecam ahli politik Malaysia yang menggesa agar pembiayaan kepada syarikat perladangan Indonesia disekat.

Encik Jeffrey berkata IDX akan menumpukan usaha memperkukuh pasaran saham selepas MSCI memberi amaran Indonesia mungkin kehilangan taraf sebagai pasaran pesat membangun.

Encik Lutfi, yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran mantan Presiden Indonesia, Encik Susilo Bambang Yudhoyono dan Encik Joko Widodo, menuduh entiti pelaburan Singapura cuba menjatuhkan harga saham Indonesia supaya pelabur asing dapat membeli aset negara itu pada harga murah.

Dalam hantaran Instagram berbahasa Inggeris dan Indonesia, beliau mendakwa pelabur asing telah mengeluarkan sejumlah besar dana dari Indonesia tetapi gagal menurunkan harga saham ke paras yang diinginkan.

“Apabila aliran keluar modal asing gagal membuka ruang membeli semula pada harga rendah, tekanan di sebalik tabir muncul melalui GIC dan Temasek supaya MSCI mengancam menurunkan taraf pasaran Indonesia,” katanya.

“Matlamatnya satu – mencetuskan panik pasaran supaya harga menjunam, kemudian memborong aset strategik kita pada harga diskaun.”

Encik Lutfi, mantan ketua agensi pembangunan pelaburan Indonesia dan duta besar ke Jepun serta Amerika Syarikat, tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Beliau turut membayangkan kaitan antara pergolakan pasaran saham dengan pertikaian berterusan mengenai jerebu rentas sempadan.

“Daripada isu jerebu hingga kejatuhan indeks saham, ini bukan sekadar pematuhan peraturan atau isu alam sekitar, malah siapa yang menguasai aset negara,” katanya.

Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, diburukkan fenomena El Nino, menyebabkan jerebu merebak di rantau ini.

Pada 15 Oktober, MSCI mengumumkan pertimbangan menurunkan Indonesia kepada kelas ‘pasaran berdiri sendiri’ pada 2027.

Langkah itu akan menjadikan saham Indonesia kurang menarik kepada dana pelaburan antarabangsa utama, menyebabkan dana berbilion dolar dikeluarkan dari negara itu.

MSCI menyuarakan kebimbangan mengenai ketelusan pemilikan saham, dagangan mencurigakan dan kelemahan dalam pengawasan pasaran.

Amaran itu mencetuskan kejatuhan saham dua hari paling buruk, menghapuskan nilai AS$82 bilion ($105 bilion), sebelum pasaran pulih sebahagiannya pada 20 Oktober.

Keputusan muktamad MSCI dijangka menjelang akhir Jun 2027.