Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancang serangan 7 Oktober Yahya Sinwar ketua baru Hamas

Aug 7, 2024 | 1:29 PM
Pemimpin Hamas di Gaza, Encik Yahya Sinwar, kini menjadi ketua politik baru kumpulan Palestin itu. Beliau menghabiskan separuh usia dewasanya di penjara Israel.
Pemimpin Hamas di Gaza, Encik Yahya Sinwar, kini menjadi ketua politik baru kumpulan Palestin itu. Beliau menghabiskan separuh usia dewasanya di penjara Israel. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Hamas telah menamakan pemimpinnya di Gaza, Encik Yahya Sinwar, sebagai pengganti bekas ketua politiknya, Encik Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Teheran, Iran, pada 31 Julai.

Ini diumumkan kumpulan Palestin itu pada 6 Julai, dalam satu langkah bagi mengukuhkan pergerakan itu sejak serangannya pada 7 Oktober ke atas Israel.

Encik Sinwar, perancang serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad itu, bersembunyi di Gaza dan menentang percubaan Israel membunuhnya sejak perang bermula menyusuli serangan tersebut.

“Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh, yang dibunuh,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Pelantikan itu diumumkan sedang Israel bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan serangan balas oleh Iran berikutan pembunuhan Encik Haniyeh, dan disambut dengan peluncuran roket dari Gaza oleh kumpulan itu.

“Pelantikan itu bermakna Israel perlu menghadapi Encik Sinwar dalam penyelesaian perang Gaza,” kata seorang diplomat serantau yang biasa dengan rundingan gencatan senjata yang diperantarakan oleh Mesir dan Qatar.

Rundingan itu bertujuan menghentikan pertempuran di Gaza dan membebaskan 115 tebusan Israel dan warga asing yang masih ditahan di wilayah Palestin itu.

Encik Sinwar, yang menghabiskan separuh usia dewasanya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup berikutan pembunuhan Encik Haniyeh.

Pembunuhan Encik Haniyeh menyebabkan wilayah itu berada di ambang konflik serantau lebih luas selepas Iran berikrar akan membalas dendam. Israel tidak mengaku bertanggungjawab bagi pembunuhan itu.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar Khan Younis, di selatan Gaza, Encik Sinwar dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017 selepas mendapat reputasi sebagai penguatkuasa tegas dalam kalangan rakyat Palestin dan musuh ketat Israel.

Ketua jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, menyalahkan Encik Sinwar bagi serangan 7 Oktober dan berkata Israel akan terus menjejakinya.

Seorang pegawai Hamas, Encik Osama Hamdan, berkata pihaknya tetap komited untuk mencapai gencatan senjata dan tugas itu akan diteruskan oleh Encik Sinwar. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg