KAHIRAH: Pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, telah terbunuh di Iran, menurut kumpulan Palestin itu pada 31 Julai, menimbulkan kebimbangan peningkatan yang lebih meluas di wilayah yang digegarkan oleh perang Israel di Gaza dan konflik yang semakin teruk di Lebanon.
Puak Hamas meratapi kematian Encik Haniyeh itu, yang dikatakan terbunuh dalam “serangan Zionis yang khianat ke atas kediamannya di Teheran”.
Pengawal Revolusi Iran mengesahkan Encik Haniyeh terbunuh di Teheran bersama salah seorang pengawal peribadinya, lapor agensi Reuters.
Tiada komen segera daripada Israel.
Tentera Israel berkata ia sedang menjalankan penilaian situasi tetapi tidak mengeluarkan sebarang garis panduan keselamatan baru untuk orang awam.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, berkata Washington akan berusaha meredakan ketegangan tetapi berkata Amerika akan membantu mempertahankan Israel jika ia diserang.
Berita itu, yang datang kurang 24 jam selepas Israel mendakwa telah membunuh komander Hezbollah yang dikatakan berada di sebalik serangan maut di Bukit Golan yang diduduki Israel, nampaknya menghalang peluang sebarang perjanjian gencatan senjata yang akan berlaku di Gaza.
Encik Haniyeh berada di Teheran untuk menghadiri majlis perasmian Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pada 30 Julai.
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Encik Haniyeh di Teheran itu, lapor agensi berita negara Wafa.
Puak-puak kebangsaan dan Islam Palestin menggesa mogok umum dan demonstrasi besar-besaran.
Pembunuhan itu adalah “tindakan pengecut yang tidak akan terlepas daripada hukuman”, TV Al-Aqsa kendalian Hamas memetik pegawai kanan Hamas, Encik Moussa Abu Marzouk, sebagai berkata.
“Pembunuhan oleh pendudukan Israel terhadap saudara Haniyeh adalah peningkatan yang serius yang bertujuan mematahkan kehendak Hamas,” kata pegawai kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri.
Beliau berkata Hamas akan meneruskan jalan yang mereka ikuti, sambil menambah: “Kami yakin dengan kemenangan.”
Encik Haniyeh, yang biasanya berpangkalan di Qatar, menjadi wajah diplomasi antarabangsa kumpulan Palestin itu ketika perang yang dicetuskan oleh serangan yang diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
Tiga anak lelakinya terbunuh dalam serangan udara Israel.
Pejabat pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa meminta waran tangkap ke atasnya atas dakwaan jenayah perang, pada masa yang sama mengeluarkan permintaan yang sama terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Dilantik ke jawatan tertinggi Hamas pada 2017, Encik Haniyeh berulang-alik antara Turkey dengan ibu kota Qatar, Doha.
Ini membolehkannya bertindak sebagai perunding dalam perbincangan gencatan senjata atau bercakap dengan sekutu Hamas, Iran. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg