Rakyat Singapura harus mengelak semua perjalanan ke Jaluran Gaza, Tebing Barat dan sempadan Israel dengan Jaluran Gaza, Lebanon dan Syria, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam nasihat perjalanan yang dikemas kini pada 28 September.
MFA juga menasihatkan rakyat Singapura supaya mengelak perjalanan tidak penting ke Israel sedang konflik berlangsung.
Menambah, MFA berkata khidmat penerbangan komersial ke Tel Aviv mungkin digantung tanpa pemberitahuan awal.
Konflik terkini Israel-Palestin tercetus sekitar setahun lalu, selepas Hamas melaksanakan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Sekitar 1,200 warga Israel terbunuh, dengan lebih 100 menjadi tebusan di Gaza.
Sejauh ini serangan balas Israel telah meragut nyawa sekitar 41,000 rakyat Palestin.
Pada September, Israel melancarkan serangan udara terbesar dalam dua dekad ke atas Lebanon.
Menurut Israel, ia berbuat demikian untuk menyasarkan Hezbollah, yang telah melancarkan roket ke arah Israel untuk menunjukkan sokongan kepada Palestin.
“Warga Singapura di Israel dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga, memantau perkembangan setempat dengan teliti dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Komand Bahagian Dalam Negeri Israel,” kata MFA dalam nasihat yang dimuat naik di laman web pada 23 September.
“Mereka juga harus mengelak pergi ke kawasan yang diketahui biasanya berlaku gangguan awam atau di mana orang ramai berhimpun, seperti di Kota Lama dan Baitulmakdis Timur, termasuk di Haram al-Sharif.
Mereka harus mengambil semua langkah waspada untuk keselamatan peribadi, termasuk membeli insurans perubatan dan perjalanan menyeluruh,” kata MFA.
Rakyat Singapura digalakkan untuk mendaftar secara elektronik dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular ketika berada di Lebanon, boleh menghubungi Konsulat-Jeneral di Beirut, manakala mereka yang berada di Israel, atau Wilayah Palestin boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Tel Aviv. Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Bertugas MFA (24 jam), di talian +65-6379-8800/8855.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg