Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Palestin di serata dunia peringati ulang tahun ‘Nakba’ ke-77

May 16, 2025 | 2:21 PM
palestine, Nakba
Rakyat Palestin mengadakan perhimpunan bagi memperingati tragedi ‘Nakba’ di Ramalah, Tebing Barat, pada 14 Mei. - Foto EPA-EFE

TEBING BARAT: Rakyat Palestin dan aktivis pro-Palestin di serata dunia mengadakan upacara peringatan 15 dan 16 Mei sempena ulang tahun ke-77 ‘Nakba’ yang menyaksikan penyingkiran rakyat Palestin dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada penciptaan Israel.

Para penduduk turun di jalanan di Ramallah dan Hebron di Tebing Barat, serta beberapa ibu kota Eropah, turut mengenang mereka yang terkorban akibat ‘Nakba’ 1948 dan sekali gus mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa kekejamannya masih berterusan hingga ke hari ini.

‘Nakba’ merujuk kepada pemindahan secara paksa dan penghapusan etnik sekitar 750,000 rakyat Palestin dari bandar dan kampung di kawasan yang kini dikenali sebagai Israel pada 1948.

Penunjuk perasaan menjerit slogan yang mengecam pendudukan Israel di Tebing Barat, serangan tentera di Gaza serta menyeru agar rakyat Palestin dibenarkan kembali ke tanah air yang dirampas ketika ‘Nakba’.

Di Madrid, anggota kumpulan pro-Palestin dan parti politik berhaluan kiri seperti Parti Komunis Sepanyol dan Podemos, berarak di ibu negara sambil memegang sepanduk menyeru agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan.

Imej peristiwa 1948 dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza turut dipaparkan.

Di Istanbul, kumpulan Solidariti Palestin Ankara membantah di hadapan kedutaan United Kingdom (UK) kerana keterlibatan Britain dalam peristiwa yang membawa kepada penciptaan Israel.

“Peristiwa ‘Nakba’ kekal tersemat dalam ingatan rakyat Palestin hingga ke hari ini dan setiap hari.

“Perpindahan kejam dan tidak adil terhadap rakyat Palestin oleh kuasa politik Barat tidak berlaku sekali, dan terus berulang seperti yang dilihat di Gaza hari ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Di London, kumpulan hak asasi manusia dan aktivis berhimpun di luar Mahkamah Tinggi, di mana kerajaan UK menghadapi kes berhubung penjualan senjatanya kepada Israel, untuk memperingati ‘Nakba’.

Amnesty International, yang menyifatkan kekejaman yang berterusan di Jaluran Gaza sebagai “pembunuhan beramai-ramai”, berkata “jenayah yang dilakukan pada 1948 mempunyai persamaan dengan tindakan tentera Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023”.

Di Ramallah, rakyat Palestin berarak memegang sepanduk memperingati mereka yang dibunuh dan diusir pada 1948 serta mengibarkan bendera Palestin.

Satu kain rentang berbunyi: “Hak kami tidak boleh dirunding dan tidak tertakluk kepada telunjuk Amerika Syarikat”, merujuk kepada pakatan Amerika dengan Israel semasa pendudukan wilayah Palestin dan serangan ke atas Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg