SEOUL: Ketua parti pemerintah Korea Selatan, Encik Han Dong-hoon, pada 6 Disember menuntut agar Presiden Yoon Suk Yeol disingkirkan daripada memegang jawatan selepas percubaannya untuk mengisytiharkan undang-undang tentera menemui kegagalan. Encik Han memberi amaran bahawa terdapat “risiko besar” bahawa Encik Yoon boleh sekali lagi cuba menggugat pemerintahan awam.
Tindakan Encik Yoon menggantung pemerintahan awam pada malam 3 Disember mendapat tentangan hebat apabila anggota parlimen menghadapi askar di bangunan Parlimen dan membatalkan langkah tersebut. Ribuan rakyat turut turun ke jalan raya memprotes tindakan itu.
“Berdasarkan fakta baharu yang muncul, saya percaya penangguhan segera terhadap tugas Presiden Yoon Suk Yeol adalah perlu untuk melindungi Republik Korea dan rakyatnya,” kata Encik Han dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Encik Han turut menyatakan kebimbangan bahawa tindakan drastik seperti deklarasi undang-undang tentera itu boleh berulang, menyebabkan bahaya besar kepada negara dan rakyatnya.
“Presiden Yoon tidak mengakui bahawa tindakan undang-undang tentera ini adalah salah dan gagal mengambil tindakan terhadap pegawai tentera yang campur tangan secara haram,” katanya.
Encik Han turut mendedahkan bahawa terdapat bukti kukuh bahawa Encik Yoon telah mengarahkan penangkapan beberapa ahli politik utama pada malam 3 Disember dan merancang untuk menahan mereka di fasiliti tertentu.
Ahli parlimen pembangkang, Encik Jo Seung-lae, berkata rakaman kamera keselamatan menunjukkan askar cuba menangkap Ketua Pembangkang Encik Lee Jae-myung; Speaker Dewan Encik Woo Won-shik, dan Encik Han sendiri.
Pembangkang kini telah mengemukakan usul pemecatan terhadap Encik Yoon, yang dijadualkan diundi pada 7 Disember. Usul itu memerlukan sokongan dua pertiga parlimen untuk diluluskan.
“Walaupun terdapat beberapa anggota parti pemerintah yang masih menyokong Yoon Suk Yeol, kenyataan Han menunjukkan keparahan situasi, terutama melibatkan penggunaan agensi perisikan untuk menangkap ahli politik,” kata Profesor Shin Yul dari Universiti Myongji.
Menurut Profesor Shin, kenyataan Encik Han mencerminkan kebimbangan serius bahawa Presiden Yoon mungkin akan cuba mengisytiharkan undang-undang tentera kali kedua.
Sementara itu, tinjauan pendapat terkini menunjukkan sokongan terhadap Yoon berada pada tahap terendah, iaitu 13 peratus. Laporan media turut menyatakan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, membatalkan lawatannya ke Korea Selatan.
Polis telah menubuhkan pasukan siasatan khas untuk menyiasat dakwaan pemberontakan terhadap Encik Yoon dan beberapa pegawai tertinggi. “Jika terdapat bukti persediaan untuk undang-undang tentera kedua, kami akan mengambil tindakan,” kata Pegawai Polis Encik Kim San-ho.
Encik Yoon, yang terus terpalit dengan krisis sejak memegang jawatan pada 2022, tidak dilihat di khalayak ramai sejak ucapan yang disiarkan pada awal pagi 4 Disember. Pejabatnya pada 5 Disember mengesahkan Menteri Pertahanan, Encik Kim Yong-hyun, telah meletak jawatan, namun beberapa sekutunya termasuk Menteri Dalam Negeri, Encik Lee Sang-min masih kekal di jawatan masing-masing.
Langkah Encik Yoon untuk mengisytiharkan undang-undang tentera telah mencetuskan trauma terhadap sejarah autokratik Korea Selatan, di mana kali terakhir undang-undang tentera diumumkan adalah lebih empat dekad lalu.
Ketua Parti Demokratik, Encik Lee Jae-myung, menegaskan, “Kita tidak boleh meletakkan kepercayaan pentadbiran negara kepada presiden yang mengancam kehidupan rakyat melalui tindakan tidak berperlembagaan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg